Pages

Wednesday, February 12, 2014

7 langkah mudah pakai tudung bawal


WANITA bertudung pada hari ini dilihat bijak mempelbagaikan teknik pemakaiannya supaya mereka boleh tampil menarik dan mengikut gaya terkini.

LIPAT…bagi memudahkan pemakaian, lipatkan tudung bawal berbentuk segi tiga.

SAMA…pastikan hujung tudung sama panjang.

KANAN…bawa hujung tudung kiri ke kanan hingga paras telinga dan pinkan.

RINGKAS…kemaskan bahagian lebihan tudung dengan teknik memintal.

SIAP…ia sesuai dipakai wanita yang tidak memiliki banyak masa untuk bersiap. Jika mahukan penampilan berbeza dengan sedikit sentuhan tambahan, ikut langkah seterusnya.

KEMAS…hujung tudung yang sudah dipinkan tadi dikemaskan dan dibawa ke bahagian kepala.

KIRI…ambil hujung tudung bahagian kanan dan bawa ke bahu kiri.

Pelbagai teknik boleh dipelajari mengenai pemakaian tudung terutama bagi wanita yang masih memilih jenis bawal untuk digayakan setiap hari.

Jika inginkan kelainan, pemilihan jenis tudung bawal sangat penting bagi menampilkan gaya berbeza setiap kali ke majlis istimewa mahupun ke pejabat.

Pemilihan yang bijak dari segi perincian misalnya manik dan batu juga dapat membantu menambah seri kepada wanita yang ingin tampil menarik.

Bagi yang inginkan kelainan, cubalah teknik pemakaian tudung bawal yang ditunjukkan pemilik butik secara dalam talian, Nurul Huda Ibrahim.

sumber: amekaw.com


Kisah sedih ibu muda, hilang bayi kembar serentak

Sharifah Kalsum sebak ketika mencium baju pasangan kembar yang sudah dibelinya, bagi melepaskan rindu.

KUALA PILAH – Ibu mana yang tidak gembira apabila mendapat tahu bayi pertama yang dikandungnya adalah kembar.

Persiapan sudah dilakukan, bahkan barang keperluan termasuk baju baharu untuk menyambut kelahiran pasangan bayi berkenaan sudah dilakukan.

Namun, kegembiraan seorang ibu muda di sini bertukar menjadi saat menyedihkan apabila seorang daripada bayinya meninggal dunia selepas dilahirkan, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan.

Semuanya dikatakan berpunca daripada perkhidmatan sebuah hospital di daerah ini yang didakwa tidak cekap sehingga mengakibatkan Sharifah Kalsum Syed Abu Bakar, 22, lewat menerima rawatan, sebelum terpaksa menjalani pembedahan secara tergesa-gesa.

Sharifah Kalsum berkata, kejadian bermula kira-kira 2.30 petang 14 Januari lalu apabila dia ke hospital itu selepas terasa sakit hendak bersalin.

“Saya rasa sakit di pinggang dan berlaku kontraksi. Waktu di bilik bersalin, tiada doktor pakar, hanya doktor pelatih sahaja.

“Saya merayu kepada jururawat supaya percepatkan proses kelahiran, tapi doktor memberitahu, pembukaan di pangkal rahim saya ketika itu hanya dua sentimeter menyebabkan saya dimasukkan ke wad biasa," katanya yang kemudian diberikan ubat tahan sakit sebelum terlena.

Menurutnya, keesokan harinya, dia sekali lagi memanggil jururawat kerana berasa seperti mahu bersalin.

“Saya sudah tidak bermaya untuk menahan sakit, tetapi jururawat menjawab dengan kurang sopan, malah seolah-olah memerli saya," katanya.

Sharifah Kalsum berkata, antara jam 6.30 dan 7 petang pada 16 Januari, dia dikejutkan jururawat bertugas untuk melakukan pemeriksaan cardiotopograph atau CTG untuk mengesan kadar degupan jantung bayi.

"Ketika itu, saya mendengar degupan jantung sebelah kanan, manakala sebelah kiri tiada apa-apa reaksi atau bunyi degupan jantung.

“Jururawat itu tidak maklumkan apa-apa sehingga jam 7.30 pagi, seorang doktor memeriksa saya. Ketika doktor periksa sekali lagi kira-kira 15 minit kemudian, degupan jantung bayi kiri sudah tiada menyebabkan doktor meminta saya ke bilik bersalin kira-kira 8.30 pagi," katanya.

Katanya, dalam keadaan panik, seorang doktor meminta pembedahan kecemasan segara dijalankan bagi menyelamatkan bayinya.

Menurutnya, kira-kira 10.05 pagi, bayi pertama yang masih hidup dikeluarkan, namun seorang lagi sudah meninggal dunia ketika dikeluarkan seminit kemudian.

"Bayi pertama berat 2.33 kilogram (kg) manakala yang kedua 2.07 kg. Pada mulanya saya ingat bayi pertama yang dikeluarkan berjaya diselamatkan, namun kira-kira 12 tengah hari, suami memberitahu bayi kami itu juga sudah meninggal dunia," katanya.

Bayinya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Melang selepas solat Asar.

Sementara itu, suami Sharifah Kalsum, Muhd Azmi Hashim, 30, berkata, dia kecewa dengan sikap kakitangan hospital terbabit sehingga menyebabkan nyawa anaknya tidak dapat diselamatkan.

Malah, katanya, dia juga kesal kerana pihak hospital belum menjelaskan punca kematian pasangan kembar itu.

“Saya hanya mahu tahu punca sebenar kematian bayi kembar saya. Itu sahaja,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Melang.

Sinar Harian cuba menghubungi pihak hospital dan salah seorang kakitangannya memberitahu, pihak hospital akan memberi maklum balas berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

Sumber: sinarharian.com.my


Fenomena cuaca kering bermula

BUKIT MERTAJAM 11 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang meletakkan kesemua anggota dan pegawainya dalam keadaan bersedia setiap hari bagi menjalankan operasi memadam kebakaran terutama kebakaran lalang dan belukar.

Pengarahnya, Azmi Tamat berkata, dalam keadaan cuaca yang kering dan kemarau yang sedang melanda sebahagian besar negara ketika ini, kebakaran amat mudah berlaku dan merebak.

Beliau berkata, sejak Januari lalu, pihaknya menerima antara 30 dan 40 panggilan kebakaran dengan kira-kira 80 peratus daripadanya adalah kebakaran lalang dan belukar.

"Kita minta orang ramai tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka kerana api mudah merebak dalam keadaan sekarang," katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Tahunan 2014 di Ibu Pejabat Bomba Negeri di Bandar Perda di sini hari ini.

Pada majlis itu, Azmi turut menyerahkan empat kenderaan utiliti jenis Perodua Alza kepada empat zon di negeri itu untuk kegunaan rasmi jabatan berkenaan.

Menurut Azmi, peningkatan panggilan kecemasan melibatkan kes kebakaran amat ketara apabila pihaknya menerima 453 kes daripada keseluruhan 676 panggilan yang dibuat hanya bagi tempoh Januari tahun ini.

"Ini jelas menunjukkan kes kebakaran lebih banyak dilaporkan berlaku di negeri ini berbanding bulan-bulan yang lepas disebabkan oleh fenomena cuaca kering.

"Ketika ini boleh dikatakan setiap hari anggota dan jentera yang keluar untuk melaksanakan operasi memadam kebakaran tidak sempat pulang ke balai selepas operasi berkenaan selesai kerana mereka terpaksa dikejarkan ke lokasi lain bagi operasi yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 4,245 panggilan kecemasan dengan 2,046 daripadanya melibatkan kes kebakaran dan 2,155 panggilan lagi merupakan panggilan menyelamat, selain 44 panggilan khidmat khas.

Menurut beliau, dalam tempoh itu juga, bomba berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM3.1 bilion daripada musnah dalam kebakaran manakala kira-kira RM50 juta lagi gagal diselamatkan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20140212/wu_01/Fenomena-cuaca-kering-bermula#ixzz2t4uKLVuN © Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor juara 32 kali tak gaduh!

Saya berada di stadium semasa Selangor tersingkir ke Divisyen 2 dan kereta Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di terbalikkan.

Saya berada di stadium semasa Selangor kalah pada Perak 4-2 pada Final Piala FA walaupun mendahului 2-0. Saya berada di Stadium semasa Selangor tewas pada zaman kegemilangan Kuala Lumpur dan Kedah.

Saya berada di stadium semasa Selangor kalah pada Kelantan di awal kebangkitan bola sepak Kelantan di Bukit Jalil. Dan sudah tentu saya dan penyokong Selangor yang lain berada di Stadium untuk perlawanan-perlawanan biasa.

Dari Stadium Merdeka ke Stadium Shah Alam tidak pernah seingat saya penyokong Selangor bergaduh besar sehingga membabitkan penglibatan polis.

Yang ada pun bergaduh sesama mereka kerana hal-hal luar antara Budak Gombak dengan Budak Subang di Pintu 30.

Gaduh pun bukan pasal bola atau apa yang terjadi di padang mahupun sebab Selangor kalah tapi gaduh sebab perkara biasa yang orang kita suka gaduh seperti berebut teman wanita, masalah parking dan kadang-kadang pasal ekzos motor yang bising.

Dalam perihal bola sepak adalah wajar semua pasukan mencontohi Selangor samada pemain, pengurusan mahupun penyokong. Apa yang terjadi dalam padang, ditinggalkan di padang dan tidak dibawa melintasi garisan putih ke dalam terowong.

Selangor adalah Juara Piala Malaysia 32 kali, Piala FA lima kali, Piala Sumbangsih lapan kali dan banyak lagi. Selangor memiliki berpuluh zaman kegemilangan yang disertai kejatuhan. Tapi pasukan dan penyokong Selangor tetap kekal rasional dan profesional.

Jika dikaji, ia mungkin disebabkan semangat kenegerian orang Selangor yang menduduki tempat tercorot berbanding negeri lain seperti Kelantan, Kedah, Perak, Terengganu, dan Sabah. Sebagai bukti lihat sahaja politik di Selangor, pemimpin dari luar dibenar memegang jawatan tertinggi di Selangor.

Untuk mengatasi masalah kenegerian yang tinggi ini, difikirkan ada kewajaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan peraturan baru yang melarang pasukan menggunakan bendera negeri. Penyokong juga dilarang membawa bendera negeri apatah lagi politik ke dalam stadium.

Semua pasukan harus mempunyai bendera pasukan yang tidak boleh sama dengan bendera negeri. Sebagai penyokong bola sepak Selangor, saya sarankan pada semua agar buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Pada pasukan dan pemain yang terlibat tidak perlulah 'propa' lebih sangat, buktikan melalui keputusan perlawanan. Buktikan dengan permainan berkualiti tinggi dan peningkatan mutu. Buktikan dengan pencapaian dan menjulang piala.

Bola Sepak bukan permainan lelaki sejati seperi ragbi atau hoki ais. Bola Sepak adalah permainan kepura-puraan, strategi, kemahiran, berpasukan dan sedikit nasib.

Itulah peraturannya dan jika berpegang kepada sifat jujur dalam agama, maka bola sepak Malaysia boleh menggunakan ulangan video seperti dalam permainan tenis. Provokasi adalah perkara biasa dalam bola sepak. Kalau tidak tahan provokasi dan maki, jangan ke stadium, tapi pergilah ke masjid atau perpustakaan ia jauh lebih baik.

Akhir sekali, kalau nak gaduh, jadilah anak jantan, jangan gaduh sesama bangsa dan agama. Boleh ke Syria atau ke Palestin. Barulah anak jantan ayah.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Forum/20140211/fo_01/Selangor-juara-32-kali-tak-gaduh#ixzz2t4t18ObI © Utusan Melayu (M) Bhd