Pages

Wednesday, January 15, 2014

'Sultan Melaka' ditahan


Noor Jan Tuah (tengah) yang mendakwa sebagai 'Sultan Melaka' ditahan oleh Raja Shahrom Raja Abdullah (kanan) bersama pegawai dan anggota polis yang lain di Jeti Anjung Batu ketika Noor Jan hendak ke Pulau Besar, Melaka, semalam.
MELAKA 14 Jan. - Seorang lelaki yang mendakwa sebagai pewaris takhta Kesultanan Melaka, Noor Jan Tuah, 56, atau lebih dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah ditahan sepasukan polis di Jeti Anjung Batu, Serkam dekat sini hari ini.
Noor Jan ditahan kira-kira pukul 10.50 pagi ketika sedang ditemu bual wartawan daripada Utusan Malaysia, Kosmo dan Harian Metro di jeti tersebut.

Lelaki itu berada di jeti berkenaan bersama-sama lebih 30 pengikutnya untuk menaiki feri menuju ke Pulau Besar bagi menghadiri majlis jamuan kesyukuran sempena sambutan Maulidur Rasul.

Sebaik sahaja ditahan, Noor Jan dibawa menaiki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, Noor Jan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 untuk siasatan lanjut berhubung lapan laporan polis yang dibuat oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Menurutnya, lapan laporan polis itu antara lain menyatakan rasa tidak puas hati dan kegusaran rakyat di negeri ini berhubung tuntutan Noor Jan untuk mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Melaka.

''Situasi yang telah digembar-gemburkan oleh Noor Jan membuat rakyat Melaka berasa curiga atas kebenaran dakwaannya dan lelaki ini juga telah berjaya meraih sokongan daripada masyarakat.

''Mereka mahu polis menjalankan siasatan kerana tingkah laku Noor Jan melalui media sosial telah menghina sistem kerajaan yang telah lama wujud di negeri ini. Lelaki ini juga tahu kerajaan negeri tidak mengiktirafnya sebagai Sultan Melaka," katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Raja Shahrom berkata, mengikut keterangan awal, Noor Jan berasal dari Kampung Teluk Perang, Parit, Perak dan menetap di tiga tempat berasingan iaitu di Kampung Seri Kinta, Perak; Batu Caves, Selangor dan Jalan Sungai Pusu, Gombak.

Selain itu katanya, lelaki tersebut juga mempunyai lima nama lain iaitu Noor Jan Sah Tuah Shah, Raja Alang Noor Jan Raja Tuah, Yang Maha Mulia (YMM) Raja Noor Jan Shah Ibni Yang Mulia (YM) Raja Tuah Shah, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Ahmad Shah Ke-44 dan Pak Ungku.

Menurutnya, Noor Jan telah memberikan kerjasama sewaktu ditahan polis dan beliau tidak memiliki sebarang senjata melainkan dua buah telefon bimbit.

''Kita bawa beliau ke IPD Melaka Tengah untuk tujuan siasatan menyeluruh termasuk dakwaan Noor Jan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengiktirafnya sebagai Sultan Melaka," katanya.

Ditanya adakah isteri dan penyokong lelaki itu akan ditahan polis, Raja Shahrom berkata, keadaan itu bergantung kepada hasil siasatan yang akan dijalankan nanti.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, Noor Jan banyak melakukan aktiviti untuk menghasut dan meraih sokongan rakyat di negeri ini agar menerimanya sebagai Sultan Melaka antaranya majlis jamuan kesyukuran penyembelihan seekor kambing di Pulau Besar hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia


Pendaki Wanita Mati Jatuh Gaung Di Bukit Tabur

Helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa mangsa, Soleha Abd Rahman, 25, yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter di Bukit Tabur, Taman Melawati ke Hospital Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: BERNAMA 
KUALA LUMPUR: Seorang pendaki wanita yang dilaporkan terjatuh ke dalam gaung di Bukit Tabur, Taman Melawati di sini mati selepas ditemui pengsan oleh pasukan mencari dan menyelamat tengah hari Selasa.
Soleha Abd Rahman, 25, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4 petang dan dilaporkan mengalami pendarahan dalaman akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter itu.
Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Khairuldin Saad berkata mangsa meninggal sebaik tiba di hospital.
Pelajar jurusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu mendaki bukit bersama tujuh rakannya kira-kira 8 pagi.
Ketua Bahagian Operasi Pasukan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Juyana @ Azlan Musa berkata mangsa dibawa keluar daripada tempat kejadian ke HKL dengan sebuah helikopter Unit Udara JabatanBomba dan Penyelamat Malaysia.
"Mangsa ditemui pengsan di tebing curam di kawasan berbatu dan mengalami pendarahan di bahagian mulut dan mungkin terdapat kecederaan dalaman," kata Azlan kepada pemberita.
Beliau berkata pasukan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari gaung yang curam itu.
"Mangsa dikatakan terjatuh ketika berada di Check Point 10 untuk ke Check Point 11 manakala tujuh lagi rakannya dilaporkan selamat dengan menuruni bukit menggunakan trek asal.
"Ketika kejadian, kesemua mereka berada pada ketinggian kira-kira 470 meter dari aras laut," katanya.
Insiden ini merupakan kali kedua berlaku di bukit yang sama.
Pada 5 Jan lepas, Noor Hasmahani Hashim, 28, dari Kampung Baru dipercayai mendaki secara bersendirian sebelum dia tergelincir ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
Azlan berkata kontur bukit itu memang menjunam dan tidak selamat kerana pendaki perlu memegang batu-batu kecil dan melepasi pokok-pokok renek ketika mendaki.
Operasi mencari dan menyelamat Soleha disertai 60 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.
Kakak sulung mangsa dari lima beradik itu, Fadilah Ab Rahman, 38, berkata beliau tidak menyangka perkara itu berlaku kepada adiknya.
"Baru bulan lepas saya baca akhbar ada orang jatuh dari Bukit Tabur. Tapi tak sangka perkara ini terjadi pada adik saya pula.
"Arwah memang minat aktiviti lasak tetapi tidaklah terlalu ekstrem sampai mendaki bukit," jelasnya.
Fadilah berkata jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu malam Selasa selepas bedah siasat dan akan dikebumikan pada Rabu.
"Arwah merupakan seorang yang periang dan peramah. Saya reda dengan pemergian dia, Allah lebih sayangkan arwah," katanya.-BERNAMA
Sumber: mStar

Syamsul hanya nampak Puteri Sarah Ketika Berdoa Di Mekah

ss

PENGARAH filem terkenal, Syamsul Yusof bakal bernikah dengan pelakon cantik, Puteri Sarah Liyana bulan depan.

Perkara itu disahkan ibunya sendiri, Datin Patimah Ismail seperti yang dipetik Mstar Online.
Menurut Patimah, majlis pernikahan bulan depan itu atas permintaan Syamsul sendiri.

“Majlis merisik itu diadakan secara ringkas (semalam) dan saya telah menyarungkan sebentuk cincin di jari Sarah namun tiada sebarang majlis pertunangan diadakan kerana Syamsul mahu bernikah terus dengan Sarah.

“Insya-Allah mereka akan disatukan pada Februari ini namun pihak kami masih berbincang tarikh sesuai untuk mengadakan majlis itu,” katanya.

Kata ibunya, Syamsul menyampaikan hasrat untuk berkahwin dengan Sarah selepas pulang daripada mengerjakan umrah di Makkah pada 28 Disember lalu.

Syamsul memberitahu bahawa dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga selepas berdoa di Tanah Suci dan yakin Sarah adalah pilihan terbaik untuk dijadikan isteri.

“Kata Syamsul sepanjang berdoa di Makkah dia hanya nampak Sarah sebagai calon isterinya dan membuatkan dia lebih yakin untuk memperisterikan wanita itu.

“Sekembalinya dia dari umrah dia menyatakan hasratnya dan sebagai ibu sudah tentu saya berasa gembira dengan keputusannya itu,” jelasnya.

Sementara itu, Patimah berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan majlis sambut menantu bersama-sama dengan anak bongsunya, pengarah, Syafiq Yusof yang akan turut berkahwin pada Jun depan.

 ss


Sumber: nescafeais.com

Najwa Latif Nafi Pendapatan Mencecah RM1 Juta, Hanya Bawah 500 Ribu



KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif menafikan laporan sebuah akhbar pada Ahad yang menganggarkan pendapatannya mencecah RM1 juta setahun.

Najwa, 18, menjelaskan pendapatannya sepanjang tahun lalu kurang daripada RM500,000 hasil daripada persembahan pentas, penjualan album dan nada dering selain pelantikannya sebagai duta Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

“Saya masih belum tahap bergelar jutawan seperti dilaporkan namun syukur jika benar pendapatan saya sebanyak itu saya anggap apa yang ditulis sebagai doa,” katanya kepada mStar Online.

Najwa ditemui pada Jelajah Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) di Busana @ Menara Mara di sini, Ahad.
Najwa mengulas mengenai laporan yang menyenaraikannya sebagai salah lima artis wanita muda yang mempunyai pendapatan tertinggi di Malaysia.

Najwa memberitahu dia baharu sahaja membeli sebuah kereta dan kondominium hasil daripada titik peluhnya sejak bergelar artis.

Bagaimanapun Najwa tidak menafikan ada membeli sebuah kereta dan kondominium di Shah Alam sebagai aset untuk masa depannya.

“Impian saya untuk mempunyai kereta dan rumah sendiri akhirnya terlaksana hasil kerja keras saya selama ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Najwa berkata, dia tidak bimbang sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadapnya selepas berita itu disiarkan kerana ia tidak benar.

Kata Najwa, apa yang lebih penting dia perlu sentiasa berpijak dibumi nyata dan meningkatkan motivasi diri supaya dapat menghasilkan lagu yang berkualiti kepada peminatnya.

“Bimbang juga laporan itu disalah erti tetapi ia tidak terlalu memberi kesan kerana apa yang lebih penting perhatian terhadap pengajian di UNITAR dan kerjaya nyanyian menjadi keutamaan saya,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai AJL 28, Najwa berkata, persiapannya lebih tertumpu kepada persembahan pada malam itu nanti dan tidak berhasrat untuk bersaing dengan mana-mana pihak.Kata Najwa, dia hanya mahu berseronok membuat persembahan untuk penonton dan teruja berpeluang bertanding di AJL 28 buat kali kedua.
“Soal menang atau kalah bukan perhatian saya tetapi lebih kepada persediaan untuk membuat persembahan kerana ingin berseronok pada malam itu nanti,” ujarnya.

Najwa turut memberitahu dia bakal melancarkan dengan single terbaharunya berjudulHilang awal Februari yang ditulis bersama kakaknya, Syafiqah Latif.

Sumber: mStar


Tolonglah Anak Saya

Komen Admin: Apa yang susah sangat untuk pihak sekolah buat kelas di tingkat bawah. Kalau Darjah 3 yang lain di tingkat atas, salah ke kelas untuk adik ni dibuat dibawah?

Kuala Lumpur: “Mama boleh tak bedah kaki adik dan ganti kaki baru? Adik nak pergi sekolah macam kawan-kawan lain.” Itu permintaan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) selepas terpaksa berhenti sekolah berikutan tiada kemudahan untuk OKU sepertinya disediakan.
Alliy A’fif Kamaron Zaman, 9, yang menghidap penyakit lemah otot sejak berusia enam bulan terkilan selepas permintaannya supaya kelasnya di tingkat tiga ditempatkan ke tingkat bawah tidak dilayan oleh pengurusan sekolah.
Menurut ibu kanak-kanak berkenaan Widyawati Mohd Nor, 35, lebih menyedihkan apabila guru besar sekolah anaknya belajar seolah-olah menghalau Alliy A’fif daripada meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan.
Katanya, berikutan itu, dia hanya mampu meminta surat berhenti sekolah daripada pengurusan sekolah berkenaan selepas anaknya tidak mampu menaiki tangga selain berisiko untuk jatuh. “Pihak sekolah memberi alasan bahawa nama kelas sudah diletakkan di pintu kelas sedia ada dan menyusahkan untuk ditukar ke tingkat lain.
“Saya sedih mengapa sistem semudah ini tidak boleh ditukar sedangkan keadaan anak saya yang tidak boleh berjalan perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Harian Metro turut difahamkan Alliy A’fif memperoleh keputusan memuaskan di sekolah berkenaan ketika tahun satu dan dua, namun pada tahun ini langsung tidak dapat hadir ke sekolah berikutan kedudukan kelasnya di tingkat atas.
WIDYAWATI cekalkan senabgat demi pendidikan dan masa depan Alliy A’fif.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila kelas anaknya itu pada tahun ini terletak di tingkat tiga hingga memerlukan pembantu bagi mengangkat Alliy A’fif yang mempunyai berat badan melebihi 30 kilogram.
Widyawati berkata, dia tidak meminta anaknya itu diberikan layanan istimewa, cukup memadai dia diberikan kelas di tingkat bawah sesuai dengan keadaan fizikalnya.
“Anak saya hingga sekarang tidak dapat ke sekolah dan hanya menunggu jawapan daripada sekolah yang lebih jauh untuk menerimanya memandangkan sekolah itu mempunyai kemudahan lif.
“Saya hanya mahukan anak saya menerima pendidikan seperti kanak-kanak sebaya, bukannya diabaikan seperti ini,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu kini menunggu jawapan daripada Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan untuk menempatkan Alliy A’fif memandangkan hanya sekolah berkenaan yang menyediakan lif. “Kini saya perlu tunggu hingga hujung bulan ini jika sekolah yang dipohon terdapat kekosongan, namun jika tiada, saya buntu untuk menyelesaikan masalah anak saya ini.
“Doktor mengesahkan anak saya hanya tidak berupaya untuk berjalan sendiri dan perlu menggunakan kerusi roda, namun dia normal dari segi tahap intelektual,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai keadaan dihadapi Alliy A’fif.
Pada masa sama, jurucakap Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan berkata, kanak-kanak OKU lebih sesuai ditempatkan di sekolah yang mempunyai kemudahan lif.
“Sebuah sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya boleh mengubah kedudukan kelas atas beberapa faktor seperti mungkin terdapat susunan tertentu bagi sesebuah sekolah itu.
“Bagaimanapun, JPWP sudah dimaklumkan mengenai keadaan Alliy A’fif dan sedang mencuba sedaya upaya untuk ditempatkan ke sekolah yang dipohon,” katanya.
Sumber: Harian Metro