Pages

Saturday, May 10, 2014

Caj tambahan di KLIA2

Aireen (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani di KLIA2, semalam. Foto oleh AZMI ARYANTO
SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd menegaskan syarikat itu perlu mengenakan yuran daftar masuk sebanyak RM3 kepada semua penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, caj itu dikenakan kerana sistem daftar masuk di KLIA2 ialah sistem milik lapangan terbang.

"Berbanding ketika di LCCT, kami gunakan sistem sendiri. Jadi kami tiada pilihan selain mengenakan caj itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah kempen #noweveryonecanfly AirAsia dan AirAsia X di pejabat sementara AirAsia di KLIA2, semalam.

Laman web AskAirAsia turut menjelaskan yuran itu bagi mengimbangi caj  mandatori ke atas syarikat penerbangan untuk kemudahan di KLIA2 seperti sistem daftar masuk SITA dan aerobridge yang dikenakan pihak berkuasa lapangan terbang.

Pengendali KLIA2, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) semalam dalam satu kenyataan sebelum itu memaklumkan menerima pertanyaan orang ramai berhubung caj RM3 dilabelkan sebagai 'yuran KLIA2' dalam harga tiket AirAsia.

"Kami telah meminta AirAsia menjelaskan caj tambahan RM3 ini kerana tidak ada caj seperti itu dikenakan oleh lapangan terbang ini," menurut MAHB.

Sementara itu, Aireen berkata, AirAsia akan memastikan pengurusan dan operasi syarikat itu lebih produktif bagi meminimumkan kos operasi di KLIA2.

"Operasi di KLIA2 lebih besar berbanding di LCCT sebelum ini. Menjadi tanggungjawab kami untuk menguruskan operasi lebih produktif bagi mengelak sebarang caj tambahan dikenakan kepada penumpang kelak,” katanya.

Beliau berkata, memasuki hari kedua operasi AirAsia di KLIA2, segala urusan penerbangan berjalan lancar kecuali beberapa masalah kecil yang berpunca daripada kekeliruan.

AirAsia memulakan operasi secara rasmi di KLIA2 semalam selepas beroperasi selama lapan tahun di LCCT.


Sumber: sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment