Pages

Saturday, May 17, 2014

On Jabbar digantung 20 tahun


PETALING JAYA - 17 Mei: On Jabbar digantung daripada melibatkan diri dengan aktiviti bola sepak selama 20 tahun dan didenda RM50,000 gara-gara menumbuk pengadil, Sukri Abd. Rahman pada 19 April lalu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abd. Razak, berkata, hukuman itu adalah setimpal dengan apa yang dilakukan oleh On, yang ketika itu merupakan pe­ngurus Johor Darul Ta'zim.

"Bekas pengurus JDT II, On Jabbar, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dikemukakan. Kami mengambil kira rayuan yang dikemukakan namun kami di Jawatankuasa Tatatertib melihat kes ini sebagai sangat serius.

"Kami mengambil keputusan menjatuhkan hukuman gantung 20 tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak dan denda RM50,000. Memandangkan On Jabbar juga adalah exco PBNJ maka PBNJ didenda RM40,000.

"Hukuman ini tertakluk kepada Perkara 3.4 iaitu jika didapati bersalah, hukuman minimum adalah digantung dua tahun dan maksimum dikenakan penggantungan seumur hidup.

"Bagaimanapun On dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari selepas surat rasmi hukuman dikeluarkan.

"Ini satu peringatan kepada beliau bahawa tiada jalan pintas untuk mencipta sejarah dalam dunia bola sepak dan semuanya mengikut peraturan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

On menumbuk Sukri ketika pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang ekoran beberapa keputusan yang dianggap tidak adil semasa perlawanan JDT II berdepan UiTM FC sebelum disuraikan oleh pihak polis.

Insiden itu membuatkan ratusan penyokong JDT II berkumpul di perkarangan pintu masuk stadium dan memaksa pengadil keluar dan memohon maaf kepada mereka.

Taufek berkata, On tidak dikenakan penggantungan seumur hidup kerana mengambil kira beberapa hukuman yang telah diterima daripada PBNJ.

"Kami bukannya berlembut apabila menjatuhkan hukuman sebegini. Kami turut mengambil kira rayuan yang dikemukakan oleh On iaitu dia telah diberhentikan daripada jawatan pengurus JDT II dan dikenakan denda sebanyak RM25,00 oleh PBNJ.

"Selain itu, dia juga bertukar menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang ke jawatan lain atas kehendak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) setelah mengambil kira insiden yang berlaku namun dalam masa sama dia masih lagi berminat menguruskan bola sepak pada masa akan datang," katanya.

PBNJ turut dikenakan denda tambahan atas dua tuduhan ber­asingan berkaitan perlawanan yang sama, iaitu sebanyak RM10,000 kerana para penyokong JDT II membaling botol air kepada pegawai perlawanan dan pemain pasukan UiTM FC serta RM20,000 lagi kerana kegagalan keselamatan semasa kejadian berlangsung.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST) pula dikenakan hukuman RM5,000 kerana tindakan para penyokong membakar suar.

Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia juga didenda RM5,000 ekoran tindakan peminat Sarawak yang merupakan penyokong lawan membakar suar pada perlawanan di Stadium Sela­yang 18 Januari lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140517/su_01/On-Jabbar-digantung-20-tahun#ixzz31xGgDisS © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment