Pages

Saturday, February 8, 2014

Melaka Gateway


MELAKA 7 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah mengenal pasti empat trend mega bagi menarik minat pelancong berpendapatan tinggi dan elit dari seluruh dunia untuk datang ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, empat trend itu adalah pewujudan elit global, rentak kehidupan yang lebih rancak, naik turun perdagangan dan kemunculan semakin banyak peneraju baharu pasaran.

Menurutnya, usaha itu dilihat mampu meningkatkan sumber pendapatan negara dalam industri pelancongan dan kini menjadi trend yang semakin berkembang di Asia.

Najib berkata, pewujudan elit global merujuk kepada peningkatan jumlah pengguna berpendapatan atau bernilai tinggi di seluruh dunia.

"Kemampuan menawarkan produk mewah dan perkhidmatan bertahap tinggi kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya," kata beliau ketika berucap melancarkan pelan induk Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; dua bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta Ketua Eksekutif Kumpulan KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD), Datuk Michelle Ong.

Melaka Gateway yang melibatkan kos anggaran pembangunan sebanyak RM40 bilion, merupakan projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau termasuk dua daripadanya buatan manusia dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Sebanyak 15 projek istimewa dirancang menerusi pelan induk tersebut antaranya Malaysia Eye, Sunset Beach, International Designer Street, Melaka Cruise Shopping Gallery, Terminal Kapal Persiaran dan Feri Antarabangsa Melaka serta Melaka Gateway Marina.

Menurut Najib, Melaka Gateway yang merupakan salah satu daripada contoh pewujudan elit global bakal dilengkapi jeti serba mewah untuk kegunaan kapal persiaran antarabangsa dan marina terbesar di Asia yang diyakini akan menarik ramai pelancong.

Kata beliau, setelah melakar pencapaian cemerlang dalam pengendalian pelabuhan kargo dan kontena, kini tibalah masanya Malaysia memberi fokus terhadap pelabuhan kapal persiaran pula.

"Kita yakin kejayaan jeti kapal persiaran antarabangsa Melaka yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway, bukan sahaja akan menarik pengunjung kelas berada yang menggunakan kapal persiaran, tetapi juga merintis jalan ke arah pembukaan pelabuhan kapal persiaran lain di Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, trend kedua iaitu rentak kehidupan yang lebih rancak pula merujuk kepada pengguna yang ingin menikmati percutian singkat dengan sebanyak mungkin sebagai cara untuk mengurangkan tekanan seperti mengunjungi tempat hiburan, spa dan pusat kesihatan.

Trend mega ketiga pula kata beliau, merujuk kepada perbelanjaan berpilih iaitu pengguna akan berbelanja besar untuk sesuatu perkara dan berjimat tentang perkara lain.

Perdana Menteri seterusnya berkata, trend keempat adalah memberi fokus untuk menembusi pendahulu baharu pasaran seperti China, India dan negara Timur Tengah.

Tambah beliau, sumbangan industri pelancongan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan arah aliran meningkat.

Untuk tahun ini kata Najib, sektor ini dijangka menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada KDNK, meningkat berbanding hampir 12 peratus pada tahun lalu.

"Secara tepat hasil sebanyak 12.5 peratus daripada pelancongan adalah berjumlah lebih kurang RM125 bilion dan ini berdasarkan KDNK negara kita pada 2013 yang dijangka mencapai lebih RM1 trilion," kata beliau.



Sumber: utusan.com.my dan google image

No comments:

Post a Comment