Shah Alam: Kebakaran sebahagian Muzium Lilin The Red Carpet di i-City di sini, Rabu lalu, disyaki perbuatan khianat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di muzium berkenaan.
Berdasarkan rakaman itu, tiga individu memecah masuk bangunan dan melakukan perbuatan terbabit.
Pengurus Maklumat I-Berhad, Tang Soke Cheng, berkata pihaknya sudah menyerahkan rakaman CCTV itu kepada polis kelmarin, bagi membantu siasatan.
“Rakaman itu menunjukkan tiga individu memecah masuk ke dalam bangunan dan memulakan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi Rabu lalu, 10 patung lilin yang mempamerkan figura terkenal terbakar.
Soke Cheng berkata, kejadian itu mengakibatkan kerugian besar berikutan kemusnahan bahagian dalam bangunan termasuk patung lilin interaktif sehingga terpaksa ditutup untuk proses baik pulih.
Muzium Lilin masih dibuka
Bagaimanapun, katanya, muzium itu masih dibuka kepada pengunjung sepanjang Tahun Baharu Cina dan hanya mempamerkan bahagian yang tidak terjejas.
“Kami sudah memindahkan baki pameran yang tidak terjejas ke ruang lebih kecil, tanpa latar belakang supaya pelawat masih boleh melihat pameran pada harga tiket lebih rendah,” katanya.
“Kerja penyelenggaraan dan membaik pulih bahagian yang rosak akan bermula selepas cuti Tahun Baharu Cina dan kami menjangka muzium dibuka sepenuhnya pada awal Mei depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sumber: bharian.com.my, hmetro.com.my
Artikel Berkaitan
10 Patung Lilin i-City Cair Terbakar
No comments:
Post a Comment