Pages

Wednesday, March 5, 2014

Kenyataan Ultras Malaya 5 Mac 2014


Merujuk kepada beberapa jemputan yang diterima oleh kami, Ultras Malaya, daripada pelbagai pihak untuk mengadakan perbincangan.

Ultras Malaya dengan penuh rasa rendah diri dan besar kepala ingin menyatakan bahawa kami tidak akan membuat apa-apa perbincangan dengan mana-mana pihak sebelum Pemilihan Kongres FAM penggal 2014-2018 diadakan.

Kami ingin mengingatkan sekali lagi bahawa kami telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum ini, termasuklah FAM dan KBS. Sukacita kami syorkan kepada mana-mana pihak yang menghadapi masalah kenyanyukan untuk mengingati semula tuntutan-tuntutan kami, agar mengutip semula kertas-kertas cadangan kami yang telah ditongsampahkan bagi tujuan rujukan semula.

Ultras Malaya memikul tanggungjawab dan harapan besar para marhaen pendukung bolasepak, bagi memastikan bahawa barisan kepimpinan FAM yang akan dilantik untuk penggal yang akan datang terdiri daripada individu-individu yang telus dan cekap. Kami belum bersedia untuk melepaskan tanggungjawab dan menguburkan harapan tersebut.

Kami ingin tekankan di sini bahawa kami sepakat menuntut agar 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan'.

Ultras Malaya juga ingin menekankan bahawa kami ialah sebuah gerakan apolitikal. Barisan saf Ultras Malaya menyatukan anak-anak watan tanah tumpah darah ini yang berlatarbelakangkan ideologi nasionalis, Islamis, libertarian, monarkis, green party dan lain-lain lagi. 

Sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin 'membeli' prinsip-prinsip Ultras Malaya dengan apa-apa tawaran 'gula-gula', kami dengan sukacitanya mencadangkan agar anda menyumbat mulut anda sendiri dengan gula-gula tersebut, menyerkup kepala anda dengan baju dan melarikan diri sebelum maruah anda diaibkan oleh barisan anak-anak watan ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber: ultrasmalaya.net

No comments:

Post a Comment