Pages

Showing posts with label bersumpah. Show all posts
Showing posts with label bersumpah. Show all posts

Tuesday, February 11, 2014

Irfan angkat sumpah

JOHOR BAHRU - Pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani, 25, hari ini mengangkat sumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan segala kenyataan yang dibuatnya adalah benar.

Perakuan sumpah itu dibuat Irfan sambil memegang al-Quran dengan disaksikan sekumpulan wartawan serta jurugambar di sebuah restoran di sini.

Minggu lalu, dalam sidang media yang dibuat selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Irfan berkata, perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.

Dalam pada itu, dalam majlis sama, Irfan juga mengakui ada menghantar surat bertarikh 4 Februari lalu, untuk memaklumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan pasukan T-Team dan keputusan terbabit dibuat atas faktor kesihatan ibunya yang tidak menentu.

"Mak saya (berusia 54 tahun) kurang sihat dan saya risau dengan dirinya..atas sebab itu saya meletakkan jawatan secara rela. Di sini juga, saya ingin menegaskan perakuan berkanun dan sumpah al-Quran ini dibuat secara rela hati," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my


PBNJ tidak akan bersumpah


JOHOR BAHRU 11 Jan. - Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tidak akan mengikut langkah dengan bersumpah al-Quran yang diambil pasukan serta pengurusan T-Team seperti disaran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ini kerana, menurut PBNJ, tindakan bersumpah menggunakan al-Quran itu bukan cara yang betul dalam usaha mencari kebenaran berhubung insiden yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini 1 Februari lalu.

Sebaliknya, PBNJ menegaskan, mereka akan mengikut prosedur diperuntukkan undang-undang sekali gus memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sedang giat menjalankan siasatan.

"Selepas mendapat nasihat yang sewajarnya berhubung tindakan bersumpah al-Quran itu, PBNJ memutuskan untuk tidak mengambil langkah serupa memandangkan langkah itu bukan cara yang tepat dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Laporan juga sudah dibuat dan siasatan berhubung perkara itu sedang giat dijalankan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, PBNJ akan memberi komitmen sepenuhnya," kata PBNJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140211/su_11/PBNJ-tidak-akan-bersumpah-al-Quran#ixzz2t1MlesQL © Utusan Melayu (M) Bhd


Pemain, pengurusan T-Team tunai janji bersumpah

Pemain T-Team, Khairan Izuan Razali melafazkan sumpah berkata benar di hadapan al-Quran dalam majlis perjumpaan pemain Liga Super Terengganu dan T-Team di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU - Penolong jurulatih dan seorang pemain pasukan T-Team bersumpah dengan al-Quran semalam bagi membuktikan kebenaran berhubung insiden dalam terowong yang berlaku di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Upacara angkat sumpah itu berlangsung di Hotel Tabung Haji di sini sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri yang juga Pengurus T-Team, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menjadi saksi pertama yang mengangkat sumpah sebelum diikuti oleh seorang pemain tengah T-Team, Khairan Izuan Razali yang turut berada dalam terowong berkenaan ketika kejadian itu berlaku.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim, Mohd. Irfan Abdul Ghani tidak kelihatan dalam majlis berkenaan kerana dipercayai masih berada di Johor.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.

"Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang dibuat itu benar, sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja mengada-adakan cerita tentang kejadian tersebut.

"Jika Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting melakukan perkara yang sepatutnya kita buat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad mencabar Mohd. Irfan supaya tampil untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya sanggup beli tiket 'flight' untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140211/su_01/Pemain-pengurusan-T-Team-tunai-janji#ixzz2t1L2sc38 © Utusan Melayu (M) Bhd 

Sumber video: Youtube