Pages

Showing posts with label pbnst. Show all posts
Showing posts with label pbnst. Show all posts

Wednesday, April 2, 2014

'Letak jawatan kalau tidak berani buat keputusan'


MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lepas.
   
Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.
   
"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
   
Ahmad berkata, penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.
   
Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.
   
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.
   
Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.
   
"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.
   
'Insiden terowong' berlaku pada 1 Feb lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.
   
Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.  - Bernama

Tuesday, February 11, 2014

PBSNT terima surat peletakan jawatan Irfan

KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah menerima surat peletakan jawatan pemain pertahanan pasukan T-Team, Mohd Irfan Abdul Ghani.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di sini itu.

Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut" kerana menghilangkan diri begitu sahaja.

"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan).

"Maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri dan saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bagus," katanya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain import ni ada undang-undang sendiri. Dia ada ejen dan sebagainya.

Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka. Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.

"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya. - Bernama

Sumber: sinarharian.com.my


Pemain, pengurusan T-Team tunai janji bersumpah

Pemain T-Team, Khairan Izuan Razali melafazkan sumpah berkata benar di hadapan al-Quran dalam majlis perjumpaan pemain Liga Super Terengganu dan T-Team di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU - Penolong jurulatih dan seorang pemain pasukan T-Team bersumpah dengan al-Quran semalam bagi membuktikan kebenaran berhubung insiden dalam terowong yang berlaku di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Upacara angkat sumpah itu berlangsung di Hotel Tabung Haji di sini sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri yang juga Pengurus T-Team, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menjadi saksi pertama yang mengangkat sumpah sebelum diikuti oleh seorang pemain tengah T-Team, Khairan Izuan Razali yang turut berada dalam terowong berkenaan ketika kejadian itu berlaku.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim, Mohd. Irfan Abdul Ghani tidak kelihatan dalam majlis berkenaan kerana dipercayai masih berada di Johor.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.

"Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang dibuat itu benar, sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja mengada-adakan cerita tentang kejadian tersebut.

"Jika Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting melakukan perkara yang sepatutnya kita buat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad mencabar Mohd. Irfan supaya tampil untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya sanggup beli tiket 'flight' untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140211/su_01/Pemain-pengurusan-T-Team-tunai-janji#ixzz2t1L2sc38 © Utusan Melayu (M) Bhd 

Sumber video: Youtube