Pages

Tuesday, February 5, 2013

Diskaun Tol Di 24 Lebuh Raya Sempena Tahun Baru Cina

SEREMBAN: Sebanyak 24 lebuh raya di seluruh negara akan memberikan diskaun dan rebat tol antara 5 dan 37.5 peratus sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 10 dan 11 Feb ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata bagi lebuh raya kendalian Plus Bhd, pengguna kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik boleh menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus pada 7 Februari dan 15 Februari dan rebat 30 peratus pada 10 Februari.

"Manakala di lebuh raya lain, pengguna akan menikmati diskaun tol di antara 15 peratus hingga 37.5 peratus pada 9, 10 dan 11 Feb," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek pelebaran lorong keempat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan di sini, Isnin.

Mengenai projek pelebaran lebuh raya dari tiga lorong kepada empat lorong di antara persimpangan Shah Alam ke plaza tol Jalan Duta ke Rawang dan dari persimpangan Nilai Utara ke Port Dickson melibatkan beberapa jajaran di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) sepanjang 63.3 kilometer, katanya ia dijadualkan siap pada Disember 2014.

Sehubungan itu, beliau berharap projek pembinaan persimpangan bertingkat Seremban yang baharu akan dapat disiapkan dalam waktu yang sama atau lebih cepat. "Untuk itu, saya telah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia agar berbincang dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk mengeluarkan 'certificate of urgency' supaya kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat yang baharu itu dapat dilakukan (dimulakan) dengan segera. Ini supaya masalah kesesakan yang dihadapi oleh pengguna yang ingin memasuki bandar ini dapat diatasi dengan segera," katanya.

Shaziman juga meminta dihentikan kerja pembinaan di lebuh raya kecuali kerja kritikal bagi mengelakkan gangguan kepada kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh operasi bersepadu Ops Selamat dari 3 Februari hingga 17 Februari.

"Saya juga meminta supaya meningkatkan kadar kekerapan rondaan di lebuh raya bagi persediaan dalam menangani perkara di luar jangkaan. Selain itu, kita minta syarikat konsesi menyediakan lebih banyak data atau informasi bergerak untuk dimaklumkan kepada pengguna apabila berlaku kesesakan dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment