Pages

Showing posts with label Tol. Show all posts
Showing posts with label Tol. Show all posts

Thursday, July 10, 2014

Tol elektronik penuh Tol Batu Tiga, Sungai Rasau


KUALA LUMPUR 10 Julai - Sistem kutipan tol elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Klang bermula 1 September depan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (Plus), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, semua transaksi tol di kedua-dua plaza tol itu akan dikendalikan menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTAG.

"Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Plus menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang mudah dan selesa serta membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lancar di plaza tol berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang menggunakan kedua-dua plaza tol berkenaan digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin.

Noorizah berkata, Plus juga akan menyediakan lorong khas bagi mendapatkan dan menambah nilai kad Touch 'n Go dan PLUSMiles di lorong paling kiri di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula 19 Julai ini.

"Plus juga akan menyediakan rebat tol sebanyak 30 peratus selama empat bulan bermula 1 September depan kepada pengguna kenderaan kelas satu yang membayar secara elektronik pada waktu bukan puncak (di antara 10.00 pagi - 4.00 petang dan 10.00 malam - 6.00 pagi)," katanya.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch 'n Go dengan harga promosi RM5 di kedua-dua plaza tol berkenaan bermula 18 Ogos hingga 30 November depan. - Bernama

Monday, March 31, 2014

Kadar Tol di Jambatan SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH


30 Mar 2014 - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini mengumumkan bahawa kutipan tol bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah dibuka kepada orang ramai mulai 1 Mac 2014 lalu, akan berkuatkuasa pada 06.00 pagi, 1 April 2014. 

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan jambatan yang menghubungkan kawasan Batu Kawan di bahagian Seberang Prai dengan Batu Maung di bahagian pulau. Pembukaan Jambatan ini secara tidak langsung memberi alternatif kepada orang ramai untuk memasuki bahagian pulau menerusi selatan Pulau Pinang. 

Kutipan tol di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan dilaksanakan secara sistem tol terbuka. 

Kadar tol bagi kereta kecuali teksi dan bas (kelas 1) adalah sebanyak RM8.50; motosikal (kelas 0), RM1.70; kenderaan enam tayar kecuali bas (kelas 2), RM30.50; kenderaan kelas 3, RM70.10; teksi (kelas 4), RM8.50 dan bas (kelas 5), RM26.20.


Klik untuk kenyataan akhbar Lembaga Lebuhraya Malaysia

Sumber: www.llm.gov.my

Wednesday, February 26, 2014

Kadar Tol Jambatan Kedua P.Pinang Tidak Melebihi RM10

PLAZA tol Jambatan Kedua di Batu Kawan ini merupakan plaza tol yang terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran

BATU KAWAN: Kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah tidak melebihi RM10, menurut syarikat pemegang konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).

Pengarah Urusannya Datuk Dr Ismail Mohamed Taib berkata JKSB mencadangkan kadar tol RM7 kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia tetapi keputusan muktamad hanya akan diumumkan pada 1 Mac.

"Kadar tol adalah kurang daripada RM10 tetapi melebihi RM7. Jika kadarnya terlalu tinggi, tidak banyak kenderaan akan menggunakannya," katanya kepada pemberita selepas lawatan suai kenal media di plaza tol Batu Kawan, di sini, Rabu.

Ismail berkata JKSB berharap untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh 10 tahun dengan 100,000 kenderaan dijangka menggunakan jambatan itu di tengah-tengah kepesatan pembangunan Batu Kawan terutama kawasan perindustrian.

Jambatan berharga RM4.5 bilion itu, yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu ini dan dibuka kepada kenderaan pukul 12.01 tengah malam, Ahad.

Ismail berkata tender bagi pembinaan dua Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang membabitkan kos RM60 juta dan dijangka siap dalam masa tiga tahun. - BERNAMA

Wednesday, February 5, 2014

Tol tidak naik tahun ini


PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada kenaikan tol untuk tahun ini dan kerajaan perlu menyediakan RM400 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.

Timbalan perdana menteri berkata pampasan itu adalah untuk syarikat konsesi di sekitar Lembah Klang yang sepatutnya menaikkan kadar tol.

Beliau memberitahu sidang media mengenai keputusan itu selepas mesyuarat jawatankuasa khas bagi menangani masalah kos sara hidup, yang dipengerusikan beliau di sini hari ini.

Muhyiddin berkata banyak lagi syarikat konsesi termasuk Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tidak menaikkan tol.

"... macam PLUS tak naik, dan banyak lagi syarikat konsesi sekarang ini, ada 29 syarikat konsesi semuanya, cuma yang terlibat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, kalau tak silap saya ada sembilan syarikat konsesi," katanya.

Selain itu menurutnya jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk meminta Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh berhubung konsesi tol sedia ada dalam konteks jangka panjang, sekiranya ada cara-cara yang boleh dilakukan untuk berunding semula dengan pemilik konsesi berkaitan kutipan tol.

".. kalau ada terma-terma yang boleh dipersetujui bersama, termasuk untuk lanjutkan tempoh konsesi sebagai satu cara menentukan kadar tol tidak dinaikkan di masa hadapan, ini boleh dibincangkan.

"Jawatankuasa hari ini bersetuju supaya Kementerian Kerja Raya mengadakan perbincangan awal dengan semua syarikat konsesi untuk hasrat itu," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan juga bersetuju menyediakan peruntukan RM120 juta untuk agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Beliau berkata ia bagi memastikan ketiga-tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu dapat menyediakan bekalan barangan makanan terpilih yang mencukupi, bagi memastikan harganya tidak naik terlalu tinggi di pasaran.

Muhyiddin berkata ia merupakan antara beberapa inisiatif yang dibentangkan  Kementerian berkenaan di mesyuarat petang ini, termasuk usaha membekalkan bekalan bahan makanan yang mencukupi pada harga berpatutan, seperti sayur-sayuran terpilih, bahan makanan kering dan ikan.

Katanya mesyuarat hari ini memberikan tumpuan khusus kepada enam aspek atau bidang kecil yang dilihat membawa implikasi ketara kepada kos sara hidup orang ramai, yang terdiri daripada aspek bahan bakar, yang merujuk kepada isu-isu berkaitan subsidi minyak.

".. kedua dari aspek tenaga seperti tenaga elektrik dan sebagainya, ketiga dari segi bahan makanan, (keempat) aspek pembayaran tol, kelima pengangkutan, seperti tambang bas serta teksi, dan yang keenam, aspek perumahan," katanya.

Muhyiddin juga berkata jawatankuasa itu juga bersetuju untuk memperuntukkan RM3.5 juta kepada pertubuhan-pertubuhan pengguna di seluruh negara, termasuk 20 persatuan pengguna yang besar, untuk membantu mereka melaksanakan program-program pendidikan kepada pengguna.

Merujuk kepada isu berkaitan tambang pula, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu memahami banyak pengusaha memohon supaya kadar tambang dinaikkan, namun ia menetapkan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengemukakan apa jua ketetapan yang diambil berhubung tambang kepada pihak mereka (jawatankuasa khas), sebelum sebarang tindakan diambil mengenainya.

"Itu antara beberapa perkara yang saya boleh disebut di sini, lain-lain isu tidak boleh saya nyatakan sehingga dibawa kepada Jemaah Menteri di mesyuarat akan datang," katanya.

Sementara itu, merujuk kepada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang bulan depan, Muhyiddin berkata Barisan Nasional akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin parti komponennya sebelum akhir bulan ini sebelum dapat membuat apa jua ketetapan mengenainya.

Pagi tadi Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 23 Mac sebagai tarikh pilihan raya kecil itu, dan 11 Mac sebagai tarikh penamaan calon. - Bernama

Sumber: sinarharian.com.my


Sunday, January 26, 2014

Persimpangan bertingkat Bukit Gambir mula beroperasi

MULA beroperasi...beberapa buah kenderaaan melalui Plaza Tol Bukit Gambir di Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gambir, Ledang, Johor, hari ini.

LEDANG 26 Jan. - Persimpangan bertingkat Bukit Gambir di sini yang dibina dengan kos RM115 juta beroperasi secara rasmi mulai pukul 6 pagi ini.

Tol kedua yang dibina di daerah ini, terletak antara Plaza Tol Tangkak dan Pagoh iaitu di Kilometer (km) 157.1, Lebuhraya Utara-Selatan dengan jarak sejauh 12.1 km dari Plaza Tol Tangkak dan 14.8 km ke Plaza Tol Pagoh.

Tinjauan Utusan Malaysia di persimpangan bertingkat itu mendapati, laluan masih lenggang dengan kebanyakan pemandu kenderaan keluar masuk adalah dari daerah ini yang mahu merasai pengalaman melalui lebuh raya tersebut.

Bagi kenderaan yang masuk dari Tol Tangkak dan keluar di Tol Bukit Gambir, bayaran dikenakan RM1.80 (kereta), RM2.80 (lori kecil), RM7.20 (lori besar), RM4.90 (teksi) dan RM1.40 (bas) manakala dari Tol Pagoh ke Bukit Gambir, bayaran adalah RM2.20 (kereta), RM3.40 (lori kecil), RM4.50 (lori besar) dan RM1.10 (teksi/bas).

Sumber: Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan
Plaza Tol Bukit Gambir atasi kesesakan
Bukit Gambir Dulu dan Sekarang

Plaza Tol Bukit Gambir atasi kesesakan

Muhyiddin melihat peta laluan bertingkat Bukit Gambir pada majlis perasmiannya di Ledang, Johor, semalam. 

Pembukaan persimpangan bertingkat beri manfaat penduduk Muar, Ledang

Tangkak: Jika sebelum ini Plaza Tol Pagoh dan Tangkak sentiasa sesak setiap kali cuti panjang, kini masalah itu diatasi dengan pembukaan Plaza Tol Bukit Gambir.

Plaza tol baharu itu dibuka sepenuhnya mulai hari ini selepas pembukaan secara rasmi disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Muhyiddin berkata, persimpangan bertingkat Bukit Gambir ini dapat menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan di plaza tol sedia ada di Tangkak dan Pagoh.

Kos RM108 juta

Katanya, projek persimpangan itu dimulakan pada Ogos 2010 dengan kos RM108 juta yang dibiayai sepenuhnya PLUS, selain kos pengambilan tanah RM7 juta dibiayai Kerajaan Persekutuan.

“Pembukaan persimpangan bertingkat ini memberi manfaat kepada penduduk daerah Muar dan Ledang, selain menjadi kemudahan akses kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya ketika merasmikan pembukaan persimpangan bertingkat itu.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Muhyiddin berkata, kejayaan projek berkenaan adalah manifestasi kerajaan yang sentiasa mengutamakan kemudahan rakyat.

Usaha sama sektor awam, swasta

“Ia juga membuktikan kejayaan hasil usaha sama dan sokongan padu yang dijayakan sektor awam dan swasta dalam pembangunan infrastruktur negara.

“Saya yakin kedudukan persimpangan bertingkat yang strategik ini sedikit sebanyak menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, syarikat konsesi lebuh raya perlu terus meningkatkan prestasi mereka pada tahap yang tinggi.

Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan
Persimpangan bertingkat Bukit Gambir mula beroperasi
Bukit Gambir Dulu dan Sekarang


Wednesday, February 6, 2013

PLUS Tawar Rebet Tol Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina


KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada Rabu mengumumkan pengguna jalan raya akan menikmati rebet tol pada hari terpilih semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam satu kenyataan hari ini Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamidberkata rebet tol itu akan diberi kepada pengguna yang membayar tol secaraeletronik menggunakan kad PLUSMiles, Touch 'n Go dan SmartTAG di lebuh rayakendalian PLUS.

"Inilah cara untuk menghargai pelanggan kami pada musim perayaan ini dan sebahagian daripada usaha kami menggalakkan orang ramai supaya beralih kepada sistem pembayaran tol elektronik yang lebih mudah dan pantas," katanya.

Noorizah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PLUS berkata langkah itu juga sebahagian daripada strategi pengurusan untuk menyuraikan lalu lintas dan menggalakkan orang ramai supaya melakukan perjalanan pada hari tidak sesak.

Bagaimanapun rebet tol tidak akan ditawarkan kepada pengguna jalan raya yangmembayar tol secara elektronik di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar.

Noorizah berkata pemandu kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada 7 Feb (Khamis) dan 15 Feb (Jumaat) akan diberi rebet 20 peratus manakala rebet tol 30 peratus pula pada 10 Feb (Ahad).
Rebet tol itu boleh ditebus di semua pusat khidmat pelanggan PLUS mulai 1 Mac hingga 31 Mei ini.

PLUS menjangkakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan akan meningkat 30 peratus iaitu 1.4 juta kenderaan setiap hari pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Jangkaan ini berdasarkan kajian mengenai trend melakukan perjalanan semasa musim perayaan sebelum ini.
"Membayar tol secara elektronik dapat melancar dan mempercepat laluan di tolplaza," katanya.

Beliau berkata kad PLUSMiles menawarkan banyak manfaat dan ganjaran. Untukmendaftar dan mendapat kad PLUSMiles serta-merta, orang ramai boleh mengunjungimana-mana pusat khidmat pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS," katanya.-- BERNAMA

Sumber: mstar.com.my

Tuesday, February 5, 2013

Diskaun Tol Di 24 Lebuh Raya Sempena Tahun Baru Cina

SEREMBAN: Sebanyak 24 lebuh raya di seluruh negara akan memberikan diskaun dan rebat tol antara 5 dan 37.5 peratus sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 10 dan 11 Feb ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata bagi lebuh raya kendalian Plus Bhd, pengguna kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik boleh menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus pada 7 Februari dan 15 Februari dan rebat 30 peratus pada 10 Februari.

"Manakala di lebuh raya lain, pengguna akan menikmati diskaun tol di antara 15 peratus hingga 37.5 peratus pada 9, 10 dan 11 Feb," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek pelebaran lorong keempat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan di sini, Isnin.

Mengenai projek pelebaran lebuh raya dari tiga lorong kepada empat lorong di antara persimpangan Shah Alam ke plaza tol Jalan Duta ke Rawang dan dari persimpangan Nilai Utara ke Port Dickson melibatkan beberapa jajaran di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) sepanjang 63.3 kilometer, katanya ia dijadualkan siap pada Disember 2014.

Sehubungan itu, beliau berharap projek pembinaan persimpangan bertingkat Seremban yang baharu akan dapat disiapkan dalam waktu yang sama atau lebih cepat. "Untuk itu, saya telah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia agar berbincang dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk mengeluarkan 'certificate of urgency' supaya kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat yang baharu itu dapat dilakukan (dimulakan) dengan segera. Ini supaya masalah kesesakan yang dihadapi oleh pengguna yang ingin memasuki bandar ini dapat diatasi dengan segera," katanya.

Shaziman juga meminta dihentikan kerja pembinaan di lebuh raya kecuali kerja kritikal bagi mengelakkan gangguan kepada kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh operasi bersepadu Ops Selamat dari 3 Februari hingga 17 Februari.

"Saya juga meminta supaya meningkatkan kadar kekerapan rondaan di lebuh raya bagi persediaan dalam menangani perkara di luar jangkaan. Selain itu, kita minta syarikat konsesi menyediakan lebih banyak data atau informasi bergerak untuk dimaklumkan kepada pengguna apabila berlaku kesesakan dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

Sumber: mstar.com.my

Monday, January 14, 2013

Harga Tol Kesas Turun Antara 10 Dan 40 Sen

PETALING JAYA: Kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) diturunkan antara 10 sen dan 40 sen berkuatkuasa selepas tengah malam ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pada Isnin.
Kadar tol untuk Kelas 1 iaitu bagi kereta biasa diturunkan sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.20 kepada RM2.
Bagi kenderaan Kelas 2 iaitu dua gandar atau enam tayar (kecuali bas) akan menikmati pengurangan tol sebanyak 30 sen (dari RM3.30 kepada RM3), Kelas 3 iaitu kenderaan 3 gandar atau lebih sebanyak 40 sen (dari RM4.40 kepada RM4), Kelas 4 iaitu teksi sebanyak 10 sen (dari RM1.10 kepada RM1) manakala Kelas 5 iaitu bas akan menikmati pengurangan 20 sen (dari RM1.70 kepada RM1.50).
"Sebanyak 298,000 pengguna lebuh raya (kadar sehari) ini akan menikmati kadar penurunan itu dan ia tidak akan naik sehingga tahun 2016," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan pusingan U bertingkat di KM 37.5 Lebuhraya Kesas di sini.
Lebuhraya Kesas sepanjang 34.5 km adalah lebuh raya ekspres perbandaran yang menghubungkan antara Sri Petaling di Kuala Lumpur dan Pandamaran di Klang.
Shaziman berkata penurunan yang merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula kadar tol Lebuhraya Kesas kendalian Kesas Sdn Bhd itu akan memberi kesan positif kepada penduduk di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang dan kawasan sekitar.
Beliau berkata kadar tol Lebuhraya Kesas sepatutnya naik sehingga RM3 (bagi kenderaan Kelas 1) pada Januari 2012 tetapi atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara itu tidak dilaksana kerana kenaikan itu akan menjejaskan kehidupan rakyat biasa.
"...kerana kenaikan sehingga RM3 itu ditangguh, kerajaan terpaksa membayar RM86 juta kepada syarikat konsesi iaitu 80 sen untuk setiap kenderaan pada tahun 2012," katanya.
Beliau berkata sejak Najib menerajui kepimpinan negara, beberapa lebuh raya menstruktur semula kadar tol, antaranya Projek Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Cheras-Kajang yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Grand Saga manakaka plaza tol di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) di tutup terus.
"Kerajaan akan terus berbincang dan menyakinkan syarikat konsensi mana-mana lebuh raya untuk menstruktur semula kadar tol mereka selepas kajian mengenai tambahan trafik sesebuah lebuh raya itu dibuat," katanya.
Sementara itu, Shaziman meminta syarikat konsesi Lebuhraya Kesas menyiapkan pembinaan pusingan U bertingkat di kawasan USJ Summit lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan iaitu Mac 2014 bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
"Projek pusingan U bertingkat itu dibuat untuk melegakan kesesakan lebuh raya yang kini mencecah sehingga 9,500 kenderaan satu jam pada waktu puncak. Atas dasar keprihatinan kerajaan, kami mengeluarkan peruntukan RM25 juta untuk projek itu pada Oktober 2011," katanya. BERNAMA