Showing posts with label Kesas. Show all posts
Showing posts with label Kesas. Show all posts
Wednesday, February 5, 2014
Tol tidak naik tahun ini
PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada kenaikan tol untuk tahun ini dan kerajaan perlu menyediakan RM400 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.
Timbalan perdana menteri berkata pampasan itu adalah untuk syarikat konsesi di sekitar Lembah Klang yang sepatutnya menaikkan kadar tol.
Beliau memberitahu sidang media mengenai keputusan itu selepas mesyuarat jawatankuasa khas bagi menangani masalah kos sara hidup, yang dipengerusikan beliau di sini hari ini.
Muhyiddin berkata banyak lagi syarikat konsesi termasuk Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tidak menaikkan tol.
"... macam PLUS tak naik, dan banyak lagi syarikat konsesi sekarang ini, ada 29 syarikat konsesi semuanya, cuma yang terlibat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, kalau tak silap saya ada sembilan syarikat konsesi," katanya.
Selain itu menurutnya jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk meminta Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh berhubung konsesi tol sedia ada dalam konteks jangka panjang, sekiranya ada cara-cara yang boleh dilakukan untuk berunding semula dengan pemilik konsesi berkaitan kutipan tol.
".. kalau ada terma-terma yang boleh dipersetujui bersama, termasuk untuk lanjutkan tempoh konsesi sebagai satu cara menentukan kadar tol tidak dinaikkan di masa hadapan, ini boleh dibincangkan.
"Jawatankuasa hari ini bersetuju supaya Kementerian Kerja Raya mengadakan perbincangan awal dengan semua syarikat konsesi untuk hasrat itu," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan juga bersetuju menyediakan peruntukan RM120 juta untuk agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Beliau berkata ia bagi memastikan ketiga-tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu dapat menyediakan bekalan barangan makanan terpilih yang mencukupi, bagi memastikan harganya tidak naik terlalu tinggi di pasaran.
Muhyiddin berkata ia merupakan antara beberapa inisiatif yang dibentangkan Kementerian berkenaan di mesyuarat petang ini, termasuk usaha membekalkan bekalan bahan makanan yang mencukupi pada harga berpatutan, seperti sayur-sayuran terpilih, bahan makanan kering dan ikan.
Katanya mesyuarat hari ini memberikan tumpuan khusus kepada enam aspek atau bidang kecil yang dilihat membawa implikasi ketara kepada kos sara hidup orang ramai, yang terdiri daripada aspek bahan bakar, yang merujuk kepada isu-isu berkaitan subsidi minyak.
".. kedua dari aspek tenaga seperti tenaga elektrik dan sebagainya, ketiga dari segi bahan makanan, (keempat) aspek pembayaran tol, kelima pengangkutan, seperti tambang bas serta teksi, dan yang keenam, aspek perumahan," katanya.
Muhyiddin juga berkata jawatankuasa itu juga bersetuju untuk memperuntukkan RM3.5 juta kepada pertubuhan-pertubuhan pengguna di seluruh negara, termasuk 20 persatuan pengguna yang besar, untuk membantu mereka melaksanakan program-program pendidikan kepada pengguna.
Merujuk kepada isu berkaitan tambang pula, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu memahami banyak pengusaha memohon supaya kadar tambang dinaikkan, namun ia menetapkan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengemukakan apa jua ketetapan yang diambil berhubung tambang kepada pihak mereka (jawatankuasa khas), sebelum sebarang tindakan diambil mengenainya.
"Itu antara beberapa perkara yang saya boleh disebut di sini, lain-lain isu tidak boleh saya nyatakan sehingga dibawa kepada Jemaah Menteri di mesyuarat akan datang," katanya.
Sementara itu, merujuk kepada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang bulan depan, Muhyiddin berkata Barisan Nasional akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin parti komponennya sebelum akhir bulan ini sebelum dapat membuat apa jua ketetapan mengenainya.
Pagi tadi Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 23 Mac sebagai tarikh pilihan raya kecil itu, dan 11 Mac sebagai tarikh penamaan calon. - Bernama
Sumber: sinarharian.com.my
Monday, January 14, 2013
Harga Tol Kesas Turun Antara 10 Dan 40 Sen
PETALING JAYA: Kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) diturunkan antara 10 sen dan 40 sen berkuatkuasa selepas tengah malam ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pada Isnin.
Kadar tol untuk Kelas 1 iaitu bagi kereta biasa diturunkan sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.20 kepada RM2.
Bagi kenderaan Kelas 2 iaitu dua gandar atau enam tayar (kecuali bas) akan menikmati pengurangan tol sebanyak 30 sen (dari RM3.30 kepada RM3), Kelas 3 iaitu kenderaan 3 gandar atau lebih sebanyak 40 sen (dari RM4.40 kepada RM4), Kelas 4 iaitu teksi sebanyak 10 sen (dari RM1.10 kepada RM1) manakala Kelas 5 iaitu bas akan menikmati pengurangan 20 sen (dari RM1.70 kepada RM1.50).
"Sebanyak 298,000 pengguna lebuh raya (kadar sehari) ini akan menikmati kadar penurunan itu dan ia tidak akan naik sehingga tahun 2016," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan pusingan U bertingkat di KM 37.5 Lebuhraya Kesas di sini.
Lebuhraya Kesas sepanjang 34.5 km adalah lebuh raya ekspres perbandaran yang menghubungkan antara Sri Petaling di Kuala Lumpur dan Pandamaran di Klang.
Shaziman berkata penurunan yang merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula kadar tol Lebuhraya Kesas kendalian Kesas Sdn Bhd itu akan memberi kesan positif kepada penduduk di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang dan kawasan sekitar.
Beliau berkata kadar tol Lebuhraya Kesas sepatutnya naik sehingga RM3 (bagi kenderaan Kelas 1) pada Januari 2012 tetapi atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara itu tidak dilaksana kerana kenaikan itu akan menjejaskan kehidupan rakyat biasa.
"...kerana kenaikan sehingga RM3 itu ditangguh, kerajaan terpaksa membayar RM86 juta kepada syarikat konsesi iaitu 80 sen untuk setiap kenderaan pada tahun 2012," katanya.
Beliau berkata sejak Najib menerajui kepimpinan negara, beberapa lebuh raya menstruktur semula kadar tol, antaranya Projek Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Cheras-Kajang yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Grand Saga manakaka plaza tol di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) di tutup terus.
"Kerajaan akan terus berbincang dan menyakinkan syarikat konsensi mana-mana lebuh raya untuk menstruktur semula kadar tol mereka selepas kajian mengenai tambahan trafik sesebuah lebuh raya itu dibuat," katanya.
Sementara itu, Shaziman meminta syarikat konsesi Lebuhraya Kesas menyiapkan pembinaan pusingan U bertingkat di kawasan USJ Summit lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan iaitu Mac 2014 bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
"Projek pusingan U bertingkat itu dibuat untuk melegakan kesesakan lebuh raya yang kini mencecah sehingga 9,500 kenderaan satu jam pada waktu puncak. Atas dasar keprihatinan kerajaan, kami mengeluarkan peruntukan RM25 juta untuk projek itu pada Oktober 2011," katanya. BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)

Sil