Pages

Thursday, July 10, 2014

Model Warga Estonia Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh


JOHOR BAHRU - 10 Jul: Seorang model warga Estonia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang kerabat diraja ditemui dibunuh di Pulau Rawa membangkitkan banyak persoalan.

Model sambilan, Regina Soosalu pada awalnya dikatakan mati lemas apabila mayatnya ditemui di pantai pulau itu pada 1 Julai lalu, pada hari dia tiba di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, polis kini sedang menyiasat kematiannya sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menemui kecederaan "mencurigakan" pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini seramai enam suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka berada di pulau itu pada hari kejadian tetapi saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana kita masih dalam siasatan," katanya.

Menurut sumber yang rapat dengan Soosalu dan teman lelakinya berkata, model itu dilihat kali terakhir oleh kakitangan hotel ketika model itu keluar dari biliknya untuk berjalan dekat jeti. Dia memberitahu bahawa wanita berkenaan tidak pulang selepas itu.

Teman lelaki kepada model itu, Tengku Alang Reza Ibrahim, mendiamkan diri berhubung kematian itu di akaun Facebooknya sehingga Selasa. Sumber memberitahu bahawa dia amat terganggu untuk menceritakan mengenai perkara tersebut.

Tengku Alang Reza menyifatkan insiden itu sebagai "tragedi paling buruk di dalam hidupnya".

“Cinta saya, Regina meninggal dunia pada 1 Julai lalu, di bulan suci Ramadan. Dia adalah cinta hati saya, rakan baik saya, dan saya akan terus menjadi inspirasi buat saya," kata Tengku Alang Reza di Facebooknya.

"Hatinya dipenuhi dengan kehebatan, cinta dan belas kasihan untuk semua mahkluk dan kehidupannya sendiri."

Bagi mengungkapkan kata-kata selamat tinggal, Tengku Alang Reza berkata: "kata-kata tidak dapat meluahkan kekosongan dan kesengsaraan yang saya rasai. Hanya ucapan perpisahan buat masa ini, tidak akan selamat tinggal. Hingga kita berjumpa lagi, saya mencintaimu My Baby, akan sentiasa di hati saya."

Ditanya adakah teman lelaki Soosalu turut dipanggil untuk disiasat, Hasnan berkata, polis belum lagi memanggil lelaki itu bagi siasatan.

"Kita telah memaklumkan Interpol (polis antarabangsa) berhubung insiden ini dan kita menyerahkan kepada mereka untuk menghubungi keluarga wanita itu.

"Saya percaya butiran-butiran mengenainya akan dimaklumkan kepada kedutaan Estonia di Beijing dan mereka sedang berhubung dengan keluarga mangsa mengenai siasatan kita," katanya.

Ditanya mengenai waktu dan lokasi insiden, Hasnan enggan mengulas lanjut dan berkata, polis sedang berusaha untuk mengesan waktu kematian.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu laporan akhir," katanya.

Soosalu di Facebooknya berkata, dia sedang menjalinkan hubungan bersama seorang lelaki bernama Alang Reza sejak 3 Julai 2012 - mstar.com.my

Tol elektronik penuh Tol Batu Tiga, Sungai Rasau


KUALA LUMPUR 10 Julai - Sistem kutipan tol elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Klang bermula 1 September depan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (Plus), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, semua transaksi tol di kedua-dua plaza tol itu akan dikendalikan menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTAG.

"Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Plus menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang mudah dan selesa serta membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lancar di plaza tol berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang menggunakan kedua-dua plaza tol berkenaan digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin.

Noorizah berkata, Plus juga akan menyediakan lorong khas bagi mendapatkan dan menambah nilai kad Touch 'n Go dan PLUSMiles di lorong paling kiri di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula 19 Julai ini.

"Plus juga akan menyediakan rebat tol sebanyak 30 peratus selama empat bulan bermula 1 September depan kepada pengguna kenderaan kelas satu yang membayar secara elektronik pada waktu bukan puncak (di antara 10.00 pagi - 4.00 petang dan 10.00 malam - 6.00 pagi)," katanya.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch 'n Go dengan harga promosi RM5 di kedua-dua plaza tol berkenaan bermula 18 Ogos hingga 30 November depan. - Bernama

Friday, July 4, 2014

Felixia Yeap - 3 Julai : Hari Kelahiran Semula Ku

Assalammualaikum.

Sejak beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas Sahur), di mana saya telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di atas kertas dan di depan 4 orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai dugaan.

Bantahan.

Makian.

Sindiran.

Fitnah.

Penyisihan.

Tekanan.


Tetapi syukur Alhamdullilah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.

Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya. Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah.

Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya.

Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.

Saya tetap teruskan perjalanan.

Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya...tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya.


Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik. Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya.
Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor." Ibu saya senyum, dan saya menahan air mata.

Rata-rata, ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan.

Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui.

Mungkin ini juga salah satu hikmah dari penceraian ibu dan ayah.
(Ibu saya jauhhhh lebih bahagia sekarang juga, ALHAMDULLILAH!)

Ia memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya habis SPM dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di sebuah IPTS. Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara kami adik-beradik. Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya.

Saya mula memikul tanggungjawab menyara keluarga.

Pada masa itu, saya tidak ada agama (saya dibesarkan di keluarga yang tidak percaya kepada mana-mana agama atau Tuhan), tidak ada apa-apa bimbingan agama...cuma berbekalkan nasihat dari ibu saya; iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

Namun sebagai seorang naif yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, tipu helah dan godaan manusia (Ya, keputusan SPM yang baik tidak menjamin anda akan selamat dengan tipu helah dunia)...saya juga mula terikut-ikut dengan orang di sekeliling saya. TETAPI, saya cuba sedaya upaya yang boleh untuk melindungi diri saya dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik. Saya kekalkan pendirian untuk tidak sentuh arak, rokok, atau dadah.
Pernah banyak kali dipaksa, tetapi kedegilan saya untuk menurut paksaan dan suruhan orang lain menyelamatkan saya dari terjerumus sekali dengan yang lain.

Dengan mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara kehidupan yang dikatakan "mewah" dan bahagia.
Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan.
Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling "happening" yang mereka dapat pergi, rasa "happy" janji dapat minum dan mabuk, berapa yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.

Tetapi bagi saya, itu bukan kemewahan yang saya cari. Sebab apa gunanya punyai kemewahan tetapi hidup rasa kosong, tidak bermakna dan bergelumangan dengan dosa?
Itu bukan kebahagiaan yang saya carikan.

Saya pernah cuba mencari Tuhan.
Cuba mendekati diri dengan Tuhan.

Saya pernah pergi ke gereja Katolik setiap Ahad petang selama 2 tahun.
Saya pernah cuba memahami agama Kristian.
Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin dan sebagainya.
Saya juga pernah cuba mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.

Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan. Hati saya tidak pernah rasa tersentuh.
"Harap jangan salah faham, di sini saya cuma ingin menekankan bahawa saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Saya hanya menjelaskan apa yang saya rasa dari hati."

Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.
Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu.
Saya tidak lagi rasa "impressed" atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.

Ya, tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, malah bonus kehidupan...tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, keredhaan dan kebahagiaan.

Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis.
Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat.

Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"

Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis.
Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan.

Masa itu...saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq.

Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya...saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi.

3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.

Saya yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya supaya terus istiqamah.

Tidak ada sebarang media yang akan hadir.

Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya...tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya.
Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.





P.S: Saya masih berbangsa Cina, dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya dalam bermaksud "Ketenangan, Keanggunan" atau di dalam bahasa Inggeris, "Silent Grace". Saya cuma akan menambah nama kurniaan dari mimpi saya di hadapan nama asal.

Terima kasih semua atas sokongan anda. =)


Sumber: felixiayeap.blogspot.com

Thursday, July 3, 2014

Pasukan Bola Sepak Algeria Dermakan Wang Bonus Untuk Gaza


KUALA LUMPUR - 3 JUL: Skuad bola sepak Algeria mengumumkan akan mendermakan imbuhan dan bonus yang diperolehi mereka pada temasya Piala Dunia FIFA 2014 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Dalam laporan sebuah portal sukan Diehardsport.com,  penyerang pasukan itu Islam Slimani memberitahu yang perkara tersebut dibuat atas dasar prihatin.

“Mereka lebih memerlukan dari kami” katanya.

Islam turut memberitahu bahawa jumlah wang yang akan didermakan sekitar RM29 juta (US9 juta).

Sementara itu, prestasi Algeria dalam kempen kali ini dilihat sebagai cemerlang apatah lagi tiada siapa menyangka mereka mampu sampai ke pusingan kalah mati, malah gergasi Eropah seperti Jerman terpaksa menunggu sehingga masa tambahan untuk menumpaskan Algeria pada pusingan itu.

Ini adalah kali pertama Algeria berjaya mara ke peringkat kalah mati selepas tiga kemunculan di Piala Dunia sebelum ini.

Sebelum ini, pada 1982, 1986 dan 2010, Algeria tidak pernah lepas daripada peringkat kumpulan.

Bumi Gaza diserang tentera Israel sejak tiga hari yang lalu ekoran insiden tiga remaja Israel diculik dan dibunuh di Tebing Barat yang didakwa rejim angkara anggota militan Hamas.

Sumber: astroawani.com


Runtuhan Terowong Bawah Tanah Cetus Gambar Fiksyen Di Internet


KUALA LUMPUR - 3 Julai: Dua lubang besar dan dalam yang terbentuk akibat kejadian tanah mendap di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah di sini telah mencetuskan gambar-gambar kreatif yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia serta disebarkan di internet.

Gambar-gambar dengan unsur sindiran gara-gara kejadian itu sedang disebarkan di laman rangkaian sosial seperti Twitter, Facebook dan juga aplikasi WhatsApp.

Salah satu gambar berkaitan runtuhan yang semakin tersebar secara meluas ialah gambar raksasa fiksyen Jepun Godzilla.

Lain-lain watak-watak fiksyen yang 'diletakkan' di tempat kejadian adalah King Kong, Transformers, Ultraman dan Loki.

Sesetengah daripadanya juga 'mengusik' pihak berkuasa, yang digambarkan menggunakan pita pelekat untuk 'membaiki' keretakan di jalan raya.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata terowong bawah tanah itu, yang merupakan sebahagian daripada projek laluan bawah tanah Pudu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) runtuh dua kali kira-kira pukul 10.38 pagi dan 12.20 tengahari Rabu.

Seramai 30 kakitangan jabatan dan dua pasukan yang terdiri daripada 20 anggota penyelamat DBKL, polis, dan pegawai-pegawai Prasarana berada di tapak kejadian untuk membantu.






Sumber: mstar.com.my dan carigold.com