Apa yang menariknya, maklumat daripada paparan brochure tersebut telah mengesahkan nama rasmi Proton Compact Car ialah Proton IRIZ, seperti mana jangkaan banyak pihak sebelum ini. Nama tersebut sememangnya sangat sesuai dan padan sekali.
Selain itu, maklumat yang diperolehi juga mendapati harga sebenar Proton IRIZ adalah lebih rendah berbanding harga jangkaan yang dikeluarkan oleh Proton sebelum ini. Varian teratas IRIZ misalnya hanya berharga sebanyak RM60,888.00 sahaja.
Proton IRIZ akan dilancarkan esok (24 September 2014) pada jam lebih kurang 9.00 pagi, bertempat di kilang tercanggih Proton yang terletak di Tanjung Malim, Perak. Untuk maklumat yang lebih tepat, sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya esok.
Bersempena dengan pelancaran model baharu PCC, Proton akan mengadakan Hari Terbuka bertemakan “Alami Proton” pada 27 hingga 28 September ini untuk menunjukkan teknologi otomotif dan keupayaan kejuruteraannya di Kompleks Pusat Kecemerlangan (COE), Shah Alam. Orang ramai dijemput hadir ke hari terbuka ini kerana Proton bukan sahaja menujukkan pembangunan teknologi terbarunya tetapi terdapat pelbagai aktiviti yang menarik disediakan untuk segenap lapisan umur.
Di sana juga akan disediakan unit pandu uji kereta Proton, R3 dan Lotus, demonstrasi pemanduan dan peluang untuk melawat Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) selain fasiliti Kilang Pengeluaran Sederhana (MVF). Terdapat juga penampilan artis tempatan, pertunjukan dan konsert sepanjang 2 hari karnival berlangsung.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri keupayaan kejuruteraan dan teknologi yang digunakan untuk menghasilkan kereta Proton. Kali terakhir acara sebegini diadakan adalah lima tahun yang lalu.” ujar Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton. Untuk menambahkan lagi kemeriahan, pelancaran umum model terbaru Proton, PCC turut akan diadakan dan pengunjung juga peluang untuk memandu uji model tersebut.
“Di Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D), pengunjung dapat menyaksikan bagaimana pereka bentuk Proton membuat model tanah liat menggunakan mesin CNC, membuat sendiri model tanah liat, melihat bahan yang digunakan dan prototaip enjin Proton. Selain itu juga, pengunjung boleh melihat sendiri keputusan ujian kemalangan kereta Proton.” tambah Dato’ Harith.
Pameran kejuruteraan dan teknologi juga bakal menyaksikan pelbagai teknologi yang digunakan untuk membangukan sistem keselamatan, prestasi, penggayaan dan keselesaan pada kereta Proton. Turut dipamerkan adalah produk dan perkhidmatan dari vendor Proton seperti Robert Bosch, TRW, Delloyd Industries dan KYB-UMW Malaysia, yang turut menjadi pembekal komponen dan teknologi kepada jenama kereta luar yang terkemuka.
Acara akan bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam pada hari Sabtu, 27 September di mana program akan diakhiri dengan persembahan artis seperti Johan, Zizan dan Hafiz. Acara kemuncak pada malam tersebut adalah cabutan bertuah hadiah utama model terbaru kereta kompak dan pertunjukkan bunga api. Antara hadiah lain untuk cabutan bertuah adalah basikal dan motosikal yang bakal dibawa pulang oleh para pengunjung.
Pada hari Ahad, 28 September, acara diteruskan bermula dari jam 10 pagi dan akan mempunyai aktiviti yang sama seperti hari pertama dan diakhiri dengan pertunjukkan silap mata dan pertandingan di sebelah petang. Karnival akan berakhir jam 6 petang. Ayuh kita ramai-ramai ke sana nanti!
Iriz juga telah diberi penarafan 5 Bintang dari ASEAN NCAP bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) - 14.07/16 dan juga kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) - 82%
Sumber: Funtasticko