BERUSIA 42 tahun; masih bujang, kacak, kemas, kaya, sopan dan kredibiliti nyanyian yang bukan calang-calang sudah cukup membuat Anuar Zain digilai banyak wanita. Lantas wanita bagaimana yang sebenarnya mampu mengisi impian Anuar?
“Wanita seperti Nora Danish. Dia umpama bidadari," luah Anuar tanpa berselindung saat ditemui dalam sidang media pelancaran klip video dan single terkininya baru-baru ini.
Jawapan Anuar tersebut telah membuah pelbagai reaksi. Ada yang bersorak, namun banyak juga hati yang remuk, barangkali. Tetapi tunggu dulu, kerana penyanyi tampan tersebut kemudian menjelaskan, dia belum punya sebarang hubungan cinta dengan pelakon cantik tersebut. Sebaliknya hubungan mereka hanya berjalan atas landasan profesional.
“Saya rasa kami tak ada punya perasaan cinta antara satu sama lain. Kami bersama atas tiket kerja. Dia menjadi wanita pilihan saya dalam dua klip video saya iaitu “Ajari Aku” dan “Sempurnakan Aku”. Nora seorang pelakon yang bagus dan telah memberi 'rasa' kepada saya serta klip video tersebut," jelas Anuar panjang lebar.
Saat diasak tentang jodoh, Anuar bagaimanapun tidak menafikan, jika punya rezeki, dia mahu menikahi wanita secantik Nora. Katanya: "Kalau ada jodoh, saya mahu wanita seperti Nora. Tentang status pula bukan masalah.
“Cuma, buat masa sekarang, saya memang belum terfikir untuk berkahwin."
Selain melancarkan dua single terkininya, Anuar turut membuat pengumuman penting iaitu tentang konsertnya yang bakal dilakukan pada 16 Februari 2013. Diberi nama “Konsert Mega Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari” tersebut kata Anuar akan menjadi pentas yang menterjemah dirinya sepanjang menjadi anak seni selama lebih 20 tahun. Konsert tersebut bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Ia juga merupakan konsert sulungnya dan jelas Anuar: "Saya sangat berdebar-debar untuk melakukan konsert ini."
Sumber Yahoo! News
No comments:
Post a Comment