Pages

Friday, November 23, 2012

Artis kutip derma untuk mangsa di Gaza

22 Nov – Penderitaan yang dialami masyarakat Palestin di Gaza amat menyentuh hati ramai masyarakat dunia terutamanya masyarakat di Malaysia yang begitu prihatin akan nasib rakyat Palestin.
Berikutan dengan kekejaman yang dilakukan oleh tentera rejim Israel di Gaza, seramai 20 artis tempatan telah menganjurkan acara Kutipan Amal Tabung Aman Palestin di Pavilion Kuala Lumpur dan telah berjaya mengutip hampir RM10,000 sumbangan ikhlas orang ramai.
Naib Pengerusi Usrah Fitrah dan pelakon, Irma Hasmie berkata, kutipan yang dijalankan sekitar Bukit Bintang mendapat sambutan tidak berbelah bagi daripada golongan artis.
"Alhamdullilah walaupun proses perancangan untuk membuat majlis amal ini dirancang singkat, namun pihak artis amat memberikan kerjasama yang amat baik.
"Mungkin tidak mampu untuk pergi berjuang di sana (Gaza) namun dengan apa yang kami lakukan sekarang merupakan perjuangan di dalam memperlihatkan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi terhadap mangsa yang menderita di sana."
Program yang dianjurkan bersama Badan Aman Palestin itu disertai oleh artis antaranya Siti Nordiana, Yatt Hamzah, Iqram Dienzly, Salima (AF), Zoey Rahman, Anding (AF), Ayu Damit dan Roslan Shah.
Selain daripada itu, pelakon yang kini berhijab, Yatt, yang juga merupakan salah seorang ahli Usrah Fitrah, memberitahu mereka kini dalam perancangan untuk membuat solat hajat Perdana dan solat hajat selepas solat Jumaat di beberapa buah masjid yang akan ditentukan kemudian.
"Ini adalah usaha kami bersama Badan Aman Palestin dan orang ramai dijemput hadir untuk melakukan solat hajat tersebut.
"Maklumat lanjut mengenai solat hajat itu akan dikemas kini dari masa ke semasa menerusi laman web kami dan Aman Palestin," ujarnya.

Sumber Yahoo.com

No comments:

Post a Comment