PADA hari Jumaat 19 Julai 2013, saya tercicir dompet yang terjatuh dari poket pintu kenderaan ketika pintu kenderaan dibuka. Saya amat terkilan di atas kelalaian diri dan beranggapan amat tipis akan dapat kembali dompet dengan wang dan kad-kad di dalamnya.
Namun, berkat Ramadan mulia ini, saya ditemui dengan seorang insan yang amat jujur dan ikhlas. Abu Dzar Abdul Wahab, seorang posmen di Ibu Pejabat Pos Malaysia Shah Alam telah menghubungi nombor telefon dari satu resit yang terselit dalam dompet itu.
Nama dalam resit sama dengan nama dalam kad pengenalan telah memudahkan insan yang jujur ini menghubungi saya sejurus selepas solat Jumaat.
Saya amat terharu dan bersyukur kepada Allah SWT dan amat menyanjung tinggi budi pekerti seorang insan yang masih muda dan berjawatan posmen, yang begitu jujur dan luhur memulangkan milik saya yang beliau jumpai ketika menghantar surat dari rumah ke rumah di Seksyen 2 Shah Alam.
Wang yang saya hulurkan kepadanya sebagai tanda terima kasih ditolaknya dengan hormat sambil mengatakan beliau hanya mahu memulangkan dompet saya. Dompet itu masih ada segala isi di dalamnya.
Syabas Pos Malaysia kerana memiliki seorang kakitangan yang amat tinggi integritinya dan wajar dicontohi oleh kita semua.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130726/fo_05/Abu-Dzar-posmen-jujur#ixzz2a71hQr9p
No comments:
Post a Comment