KOTA KINABALU: Pasukan penembak hendap VAT69 (gambar hiasan) yang
menjalankan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1
Mac tahun lepas diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan ke arah
pengganas Sulu jika mereka dikesan.
Supt Mancha Anak Laga
dari unit Komando VAT69 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata arahan itu
diberi oleh Komander Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun dalam
satu taklimat di sebelah pagi sebelum Mancha dan pasukannya selain empat
pasukan lagi memasuki kampung itu untuk menjalankan operasi berkenaan.
"Kami
tidak dibenarkan menyerang atau melepaskan tembakan ke arah penceroboh
bersenjata (jika dikesan) melainkan kami diserang atau ditembak terlebih
dahulu oleh penceroboh itu," beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, yang
bersidang di Jabatan Penjara Sabah, di sini hari ini.
Mancha
memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang berdepan pelbagai
pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas.
Ketika
disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berhubung kedudukan
sekumpulan 35-40 pengganas ketika mereka meneriak kepada pasukan
penembak hendap "Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!" sebelum
pertempuran tercetus pada hari berkenaan, Mancha berkata: "berselerak,
tetapi dekat antara satu sama lain)."
Dua puluh dua daripada 30
individu dibicarakan bersama, termasuk dua lelaki rakyat Malaysia,
terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong,
yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota
kumpulan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup
dan denda.
Daripada 22 orang itu, seorang berdepan dua
pertuduhan tambahan merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi
individu yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas.
Lima
daripada lapan lagi tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan
pengganas; seorang daripada mereka, satu-satunya wanita daripada 30
orang itu yang juga warga Malaysia, didakwa melindungi individu yang
diketahuinya menjadi anggota kumpulan pengganas, manakala dua lagi
didakwa cuba melindungi orang yang diketahui menjadi anggota kumpulan
pengganas.
Bakinya adalah warga Filipina.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung esok. - Bernama
sumber: harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment