Pages

Sunday, January 19, 2014

10 pekerjaan tawar gaji tertinggi

Industri berasaskan teknologi dan sains adalah sektor pekerjaan yang menawarkan gaji paling tinggi di negara ini, menurut kaji selidik terbaru portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com.

Kaji selidik mengenai 10 Pekerjaan Menawarkan Gaji Tertinggi di Malaysia itu adalah berdasarkan gaji yang disenaraikan oleh majikan di laman web Jobstreet.com bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2013.




Jobstreet.com berkata, kaji selidik itu mendapati pekerja yang berkhidmat dalam jawatan eksekutif yang mengkhusus dalam bidang perubatan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi maklumat (IT) secara amnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan gaji purata RM2,800 sebulan.

Bagi pekerja peringkat pengurusan dan ke atas dan mengkhusus dalam bidang IT, sains dan kejuruteraan, mereka dibayar gaji yang lebih tinggi. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian secara purata boleh menjangkakan gaji RM2,100 sebulan yang mana gaji yang ditawarkan untuk golongan itu membabitkan semua industri adalah antara RM1,600 hingga RM3,000.


Menurut Jobstreet.com, sektor farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM3,600 sebulan sebagai gaji permulaan, manakala eksekutif diberi tanggungjawab merangka strategi korporat menduduki tempat kedua dengan gaji asas RM3,200.  


Bagaimanapun, katanya, jumlah itu hanya membabitkan gaji pokok dan tidak termasuk faedah lain seperti jumlah kelayakan cuti, faedah perubatan, insurans dan insentif lain. 

Portal itu berkata, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM2,700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada kirakira RM3,900 sebulan dengan hanya tiga hingga empat tahun pengalaman.


Kebanyakan pengkhususan  dalam senarai 10 pekerjaan menawarkan gaji tertinggi di Malaysia di peringkat eksekutif muda ialah dalam bidang teknikal termasuk kawalan dan proses rekabentuk, kejuruteraan, minyak dan gas, penerbangan dan perisian IT.

"Secara purata, eksekutif muda boleh mendapat julat gaji antara RM2,100 hingga RM3,900 dengan purata RM2,800 untuk semua industri," katanya.

Bagi eksekutif kanan, sektor kejuruteraan menawarkan gaji tertinggi yang mana daripada senarai 10 teratas,  ia mewakili tiga kedudukan teratas dari segi bayaran gaji terbaik.

Secara purata, eksekutif kanan boleh mendapat julat gaji antara RM3,200 hingga RM7,500 dengan purata gaji yang diterima adalah RM4,300 membabitkan semua industri.


Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment