Pages

Showing posts with label Gaji. Show all posts
Showing posts with label Gaji. Show all posts

Monday, May 12, 2014

Krisis MAS: Hampir 300 Kru Kabin Letak Jawatan


EKSKLUSIF PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menanggung beban akibat tragedi MH370 kini berdepan masalah dalaman serius apabila hampir 300 kru kabinnya meletak jawatan menyebabkan syarikat kerugian dari segi kos latihan mencecah RM30 juta dalam tempoh dua tahun.

Faktor tekanan kerja, selain 'dipancing' syarikat penerbangan lain antara yang mendorong kira-kira 120 juruteknik pesawat, jurutera (40), pramugari dan pramugara (80) dan 30 juruterbang menamatkan perkhidmatan mereka di syarikat berkenaan.

Kebiasaannya, tindakan meletak jawatan itu berlaku apabila kru kabin selesai menjalani latihan yang dibiayai sepenuhnya syarikat yang dikatakan semakin kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan sejak tiga tahun lalu.

Sumber memberitahu mStar Online,  sudah beberapa tahun syarikat  gagal memberi bonus, keistimewaan kakitangan mendapat tiket penerbangan untuk bercuti bersama keluarga juga terhapus, selain beban tugas yang meningkat kerana kekurangan kakitangan.

"Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak bersemangat untuk terus berkhidmat dengan syarikat hingga sejumlah besarnya berhenti tanpa mengambil kira sumbangan syarikat yang membiayai sepenuhnya latihan bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Setiap kali kakitangan terbabit akan menamatkan latihan, sudah ada tawaran kerja daripada syarikat penerbangan lain dengan kadar gaji lebih tinggi, ia seolah-olah ada sindiket yang memerhati setiap kakitangan MAS dan menunggu masa sesuai untuk 'memancing' mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Maklumat yang diperoleh menunjukkan MAS memperuntukan sejumlah dana yang besar untuk program latihan kakitangannya iaitu RM200,000 untuk setiap juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama dua tahun dan RM190,000 pula kos bagi melatih jurutera penerbangan untuk tempoh latihan lima tahun.

Selain itu, kos latihan selama dua tahun untuk setiap juruteknik pula sebanyak RM75,000, manakala bagi pramugari dan pramugara pula tempoh latihan sepanjang empat bulan membabitkan perbelanjaan RM50,000 seorang.

Sumber itu berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, setiap tenaga pakar MAS 'ada harga' di pasaran industri penerbangan, sama ada di dalam atau luar negara.

"Siapa nak kerja dengan MAS kalau ada syarikat yang tawarkan gaji lebih RM30,000 sebulan bagi jurutera berpengalaman antara tujuh hingga 10 tahun dan ada juga juruteknik yang ditawarkan RM8,000 sebulan berbanding hanya RM3,000 di MAS," katanya.

Ditanya sama ada tragedi MH370 memberi kesan terhadap kakitangan syarikat itu, sumber itu berkata, ia menambah kesengsaraan mereka kerana tentunya syarikat yang menanggung rugi RM1.7 bilion sebelum ini akan berada dalam situasi lebih parah.

"Kalau bukan kerana MH370 pun semangat kerja kakitangan MAS sudah luntur sejak tiga tahun ini," katanya.

Menurut sumber itu lagi, jadual kerja kru kabin yang membebankan memaksa mereka bekerja untuk tempoh lama termasuk melalui penerbangan antarabangsa dan disambung dengan tugasan domestik sebelum dibenarkan bercuti.

"Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan daripada segi mental terutama apabila terpaksa berpisah lama dengan keluarga," katanya.

Bagaimanapun, pengurusan MAS tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.

Sumber: mstar.com.my

Sunday, January 19, 2014

10 pekerjaan tawar gaji tertinggi

Industri berasaskan teknologi dan sains adalah sektor pekerjaan yang menawarkan gaji paling tinggi di negara ini, menurut kaji selidik terbaru portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com.

Kaji selidik mengenai 10 Pekerjaan Menawarkan Gaji Tertinggi di Malaysia itu adalah berdasarkan gaji yang disenaraikan oleh majikan di laman web Jobstreet.com bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2013.




Jobstreet.com berkata, kaji selidik itu mendapati pekerja yang berkhidmat dalam jawatan eksekutif yang mengkhusus dalam bidang perubatan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi maklumat (IT) secara amnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan gaji purata RM2,800 sebulan.

Bagi pekerja peringkat pengurusan dan ke atas dan mengkhusus dalam bidang IT, sains dan kejuruteraan, mereka dibayar gaji yang lebih tinggi. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian secara purata boleh menjangkakan gaji RM2,100 sebulan yang mana gaji yang ditawarkan untuk golongan itu membabitkan semua industri adalah antara RM1,600 hingga RM3,000.


Menurut Jobstreet.com, sektor farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM3,600 sebulan sebagai gaji permulaan, manakala eksekutif diberi tanggungjawab merangka strategi korporat menduduki tempat kedua dengan gaji asas RM3,200.  


Bagaimanapun, katanya, jumlah itu hanya membabitkan gaji pokok dan tidak termasuk faedah lain seperti jumlah kelayakan cuti, faedah perubatan, insurans dan insentif lain. 

Portal itu berkata, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM2,700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada kirakira RM3,900 sebulan dengan hanya tiga hingga empat tahun pengalaman.


Kebanyakan pengkhususan  dalam senarai 10 pekerjaan menawarkan gaji tertinggi di Malaysia di peringkat eksekutif muda ialah dalam bidang teknikal termasuk kawalan dan proses rekabentuk, kejuruteraan, minyak dan gas, penerbangan dan perisian IT.

"Secara purata, eksekutif muda boleh mendapat julat gaji antara RM2,100 hingga RM3,900 dengan purata RM2,800 untuk semua industri," katanya.

Bagi eksekutif kanan, sektor kejuruteraan menawarkan gaji tertinggi yang mana daripada senarai 10 teratas,  ia mewakili tiga kedudukan teratas dari segi bayaran gaji terbaik.

Secara purata, eksekutif kanan boleh mendapat julat gaji antara RM3,200 hingga RM7,500 dengan purata gaji yang diterima adalah RM4,300 membabitkan semua industri.


Sumber: Berita Harian