KAJANG – ”Saya sayang anak saya,” kata seorang bapa yang menghadapi pertuduhan membunuh anaknya di rumah mereka di Bandar Baru Bangi, Selangor, akhir bulan lalu, ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Norazman Mohammad, 44, yang menghadapi tiga pertuduhan, menuturkan ungkapan itu dalam nada tenang selepas pertuduhan dibacakan sambil mengangguk faham.
Bagi pertuduhan pertama, Norazman, yang tidak bekerja, didakwa membunuh Zulaikha, 7, dengan sebilah parang di dalam rumahnya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 4 petang, 30 Jan lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, bapa kepada enam anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dua lagi anak perempuannya, Maryam, 10, dan Liyana, 12, pada hari, masa dan lokasi sama.
Norazman didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
“Saya sayang anak saya. Saya mengaku tidak bersalah,” katanya yang berpakaian baju jersi berwarna hitam dalam nada perlahan selepas pertuduhan kedua dan ketiga itu dibacakan.
Terdahulu, peguam Norah Abu Bakar yang mewakili tertuduh berkata pihaknya memohon anak guamnya itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk mendapatkan penilaian psikiatri.
“Saya baru berjumpa dengan tertuduh dan saya beranggapan mental anak guam saya tidak stabil. Sekiranya tertuduh didapati tidak stabil, pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadapnya harus dipinda,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S. Abirami membantah permohonan itu atas alasan laporan forensik, kimia dan bedah siasat berhubung kes itu masih belum diterima.
Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad menolak permohonan peguam bela itu dan menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat dan kimia.
Pada 6 Februari lalu, Norazman didakwa di Wad 2 Lelaki, Hospital Kajang dengan dihadiri majistret, pihak pendakwaan, peguam serta anggota keluarganya. – BERNAMA
Showing posts with label Anak. Show all posts
Showing posts with label Anak. Show all posts
Tuesday, February 25, 2014
Monday, January 27, 2014
Mesej menyedihkan terakhir ayah kepada seorang anak di Facebook
Mesej menyedihkan terakhir ayah kepada seorang anak di FacebookSeorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian ‘OTHER’ di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.
Ditatap isinya,
“Salam.
Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.
Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.
Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?
Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, ‘Abah, abah, abah’. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.
Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.
Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.
Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?
Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.
Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.
Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.
Abah tak minta banyak…
Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.
Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.
Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.
Maafkan abah atas segalanya.”
Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.
Sumber: Media Suara Insan
Wednesday, January 15, 2014
Tolonglah Anak Saya
Komen Admin: Apa yang susah sangat untuk pihak sekolah buat kelas di tingkat bawah. Kalau Darjah 3 yang lain di tingkat atas, salah ke kelas untuk adik ni dibuat dibawah?
Kuala Lumpur: “Mama boleh tak bedah kaki adik dan ganti kaki baru? Adik nak pergi sekolah macam kawan-kawan lain.” Itu permintaan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) selepas terpaksa berhenti sekolah berikutan tiada kemudahan untuk OKU sepertinya disediakan.
Alliy A’fif Kamaron Zaman, 9, yang menghidap penyakit lemah otot sejak berusia enam bulan terkilan selepas permintaannya supaya kelasnya di tingkat tiga ditempatkan ke tingkat bawah tidak dilayan oleh pengurusan sekolah.
Menurut ibu kanak-kanak berkenaan Widyawati Mohd Nor, 35, lebih menyedihkan apabila guru besar sekolah anaknya belajar seolah-olah menghalau Alliy A’fif daripada meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan.
Katanya, berikutan itu, dia hanya mampu meminta surat berhenti sekolah daripada pengurusan sekolah berkenaan selepas anaknya tidak mampu menaiki tangga selain berisiko untuk jatuh. “Pihak sekolah memberi alasan bahawa nama kelas sudah diletakkan di pintu kelas sedia ada dan menyusahkan untuk ditukar ke tingkat lain.
“Saya sedih mengapa sistem semudah ini tidak boleh ditukar sedangkan keadaan anak saya yang tidak boleh berjalan perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Harian Metro turut difahamkan Alliy A’fif memperoleh keputusan memuaskan di sekolah berkenaan ketika tahun satu dan dua, namun pada tahun ini langsung tidak dapat hadir ke sekolah berikutan kedudukan kelasnya di tingkat atas.
WIDYAWATI cekalkan senabgat demi pendidikan dan masa depan Alliy A’fif.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila kelas anaknya itu pada tahun ini terletak di tingkat tiga hingga memerlukan pembantu bagi mengangkat Alliy A’fif yang mempunyai berat badan melebihi 30 kilogram.
Widyawati berkata, dia tidak meminta anaknya itu diberikan layanan istimewa, cukup memadai dia diberikan kelas di tingkat bawah sesuai dengan keadaan fizikalnya.
“Anak saya hingga sekarang tidak dapat ke sekolah dan hanya menunggu jawapan daripada sekolah yang lebih jauh untuk menerimanya memandangkan sekolah itu mempunyai kemudahan lif.
“Saya hanya mahukan anak saya menerima pendidikan seperti kanak-kanak sebaya, bukannya diabaikan seperti ini,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu kini menunggu jawapan daripada Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan untuk menempatkan Alliy A’fif memandangkan hanya sekolah berkenaan yang menyediakan lif. “Kini saya perlu tunggu hingga hujung bulan ini jika sekolah yang dipohon terdapat kekosongan, namun jika tiada, saya buntu untuk menyelesaikan masalah anak saya ini.
“Doktor mengesahkan anak saya hanya tidak berupaya untuk berjalan sendiri dan perlu menggunakan kerusi roda, namun dia normal dari segi tahap intelektual,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai keadaan dihadapi Alliy A’fif.
Pada masa sama, jurucakap Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan berkata, kanak-kanak OKU lebih sesuai ditempatkan di sekolah yang mempunyai kemudahan lif.
“Sebuah sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya boleh mengubah kedudukan kelas atas beberapa faktor seperti mungkin terdapat susunan tertentu bagi sesebuah sekolah itu.
“Bagaimanapun, JPWP sudah dimaklumkan mengenai keadaan Alliy A’fif dan sedang mencuba sedaya upaya untuk ditempatkan ke sekolah yang dipohon,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Monday, January 13, 2014
Apek bakal bergelar bapa akhir bulan ini
Pasir Puteh: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek teruja untuk bergelar bapa untuk kali pertama apabila dijangka menimang cahaya mata bersama pasangannya Leuniey Natasha Nazri, 22, pada akhir Januari ini.
Apek berkata, dia sudah melakukan pelbagai persiapan bersama Leuniey untuk menyambut kehadiran orang baru itu tidak lama lagi.
“Insya-Allah, kalau tidak ada apa-apa dan aral melintang, Leuniey akan bersalin pada akhir bulan ini di Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu.
“Kami gembira dan teruja menanti kehadiran anak sulung dengan segala persiapan termasuk persalinan dan pakaian bayi yang bakal digunakan pun sudah dibeli,” katanya.
“Kami gembira dan teruja menanti kehadiran anak sulung dengan segala persiapan termasuk persalinan dan pakaian bayi yang bakal digunakan pun sudah dibeli,” katanya.
Dia ditemui ketika sesi rehat minda bersama rakan sepasukan The Red Warriors (TRW) di Tok Aman Bali Resort, di sini, semalam.
sumber: hmetro.com.my
Saturday, January 26, 2013
Nama Anak Adele Akhirnya Terbongkar
MISTERI disebalik nama bayi penyanyi terkenal, Adele yang mengundang teka teki dikalangan peminat setianya akhirnya terbongkar.
Daily Mail melaporkan, Adele telah memberikan nama Angelo James Konecki kepada bayi lelaki yang dilahirkan pada Oktober tahun lalu itu.
Sebelum ini Adele pernah memberikan petunjuk tentang nama anaknya itu apabila muncul dikhalayak dengan memakai seutas rantai emas dengan tulisan nama Angelo.
"Mereka memanggil Angelo James dan ia adalah nama yang indah dan Adele cukup gembira dengan kehadiran anak lelakinya itu," jelas sumber terdekat penyanyi laguSomeone Like You itu.
Sejak berita kehamilannya bersama teman lelaki, Simon Konecki, Adele mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan namun membuat kemunculan pertama pada Anugerah Golden Globe 2013 baru-baru ini untuk menyanyikan lagu Skyfall.
Sumber: mstar.com.my
Subscribe to:
Posts (Atom)


Sil