Pages

Showing posts with label Astro. Show all posts
Showing posts with label Astro. Show all posts

Monday, May 12, 2014

Erin Malek & Redha Juara Fear Factor Malaysia 2

Erin dan Redha berjaya bergelar juara Fear Factor Malaysia Musim Kedua. Foto RICKY LAI.
KUALA LUMPUR: Pelakon Erin Malek dan pasangannya Redha diumumkan sebagai juara program Fear Factor Malaysia 2 (FFM2) selepas berjaya menewaskan tiga lagi kumpulan pada peringkat akhir program itu.

Kemenangan itu melayakkan Erin dan Redha membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di Restoran Picknik, Publika di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Malaysia 2 yang turut dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada malam Ahad.

Erin ketika ditemui berkata, sokongan ibu bapa dan rakan-rakan merupakan pencetus kepada kejayaannya ketika menepuh pelbagai dugaan sepanjang berada dalam pertandingan ini.

Jelasnya, cabaran, dugaan dan kesakitan yang dilalui membuatkan mereka lebih yakin dan tahan lasak dari segi fizikal dan mental.

"Jujurnya saya merasakan akan tersingkir di peringkat awal tetapi apabila program itu memasuki fasa selanjutnya, kekuatan itu datang dan pasangan saya banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang ujian yang kami lalui," katanya.


Antara peserta Fear Factor Malaysia Musim Kedua yang hadir pada majlis tayangan episod kemuncak program itu yang diadakan di Restoran Picknik, Publika pada malam Ahad.
Sementara itu, Redha berkata, kekuatan kumpulannya adalah persefahaman dan komunikasi antara ahli yang membuatkan mereka sentiasa fokus dalam pertandingan.

"Semua cabaran yang diberikan nampak mudah tetapi sebenarnya susah dan meskipun Erin nampak lemah tetapi sebenarnya dia kuat semangat dan mampu melepasi semua cabaran, ujarnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan terhadap wang kemenangan, kedua-dua mereka berhasrat membantu keluarga masing-masing.

Pada peringkat akhir itu, turut menyaksikan persaingan hebat di antara kumpulan A iaitu Nas-T dan Khairul manakala kumpulan B disertai oleh Azura-Rachel serta Shuib-Zakaria.

Fear Factor Malaysia bersiaran secara eksklusif pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) serta siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 135).

Manakala Akses Fear Factor Malaysia pula akan bersiaran setiap Isnin, pukul 9.00 malam.




Sumber: mstar.com.my

Wednesday, February 5, 2014

Maharaja Lawak Mega 2013 Minggu ke 12 - Sepahtu kena 'main'

Persaingan minggu ke-12 Maharaja Lawak Mega 2013 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jumaat lalu, sememangnya begitu mendebarkan buat lima pesertanya iaitu Sepahtu, Shiro, Nabil, Jambu dan Bocey.

Bagaimanapun, beraksi di kampung halaman ternyata tidak menjadi kelebihan buat Sepahtu apabila diumumkan menduduki dua tangga terbawah bersama Bocey.

Mereka amat mengecewakan apabila gagal mengeluarkan idea yang boleh menggeletek penonton menerusi dua persembahan bertemakan zaman kolej dan bersama artis undangan.

Paling ketara, subjek kereta Perodua Alza masih lagi diulang dalam lawak yang ditampilkan.
 

PRESTASI Sepahtu sangat mengecewakan penyokong mereka.

Berbeza dengan Shiro yang juga berasal dari Johor apabila memberikan persembahan yang meyakinkan dan berjaya membuatkan penonton tidak kering gusi.

Tambah manis apabila Ajak diiktiraf sebagai peserta paling menyerlah atau ‘Man of The Match’ pada minggu ini.

Ternyata pengumuman oleh pengacara Datuk AC Mizal yang memberitahu Sepahtu menduduki tangga terbawah amat mengejutkan peminat dan mereka sendiri. Apatah lagi Sepahtu sering menduduki tangga teratas carta dan selesa setiap minggu.

Namun mujurlah mereka akhirnya layak juga dan pengumuman ini sekali gus menjadikan suasana di Stadium Tertutup MBJB kembali bergemuruh.

Itulah ‘drama’ menarik ciptaan Astro yang mewarnai persaingan separuh akhir yang dihiasi dengan penampilan barisan artis popular iaitu Awie bersama Shiro, Ebby Yus (Sepahtu), Hairul Azreen (Bocey), Datuk Rosyam Nor (Jambu) dan Harith Iskandar (Nabil) serta turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menonton.

Rahim yang mewakili Sepahtu mengakui persembahan mereka untuk kedua-dua tema agak perlahan. Dia akur adanya perbezaan antara sorakan dan ketawa daripada penonton.

“Ada idea yang kami hanya dapat pada jam 6.30 petang. Bila rasakan ia tak kuat, kami tukar lagi pada saat akhir. Memang diakui kami ‘down’ sangat dan tak sangka dengan persembahan Sepahtu. Yang pasti kami akan lebih berhati-hati untuk buat yang terbaik ketika final nanti,” katanya.

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani ketika ditemui menafikan menyelamatkan Sepahtu dengan memberikan peluang mereka beraksi di pentas akhir yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat ini.

“Keputusan yang diterima agak mengejutkan kerana Sepahtu menduduki tangga terbawah. Undian menyaksikan Shiro mengutip 69 peratus, Bocey (66 peratus), Jambu (65 peratus), Nabil (61 peratus) dan Sepahtu (56 peratus). Saya akui jika ada penyingkiran Sepahtu memang terkeluar.

“Bagaimanapun, kami ikut konsep tahun lalu di mana lima peserta berpeluang ke pentas akhir. Kali ini pun sama kerana kami kekalkan jumlah yang ada untuk final. Saya rasa semua mereka hebat dan peluang untuk menang adalah sama.

“Sebenarnya keputusan untuk mengekalkan kelima-limanya dibuat tanpa pengetahuan peserta. Bagaimanapun kami memang nak kenakan Sepahtu kerana ini tempat mereka. Cuma kebetulan mereka mendapat undi terbawah dan ini memang mengejutkan,” katanya.

Sementara itu, barisan juri terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Sheikh Haikal, Nora Danish dan Luna Maya mengakui tertipu dengan drama ciptaan Astro. Namun mereka mengalu-alukan langkah memberikan peluang kepada kelima-lima peserta untuk bersaing di pentas akhir.

Yusof berkata, juri tidak terperangkap dengan sorakan penonton dan akan memberi markah mengikut penilaian mereka sendiri.

“Markah yang diberi bukan diukur dengan sorakan. Walaupun Bocey bukan sebuah kumpulan yang popular, tapi mereka konsisten dalam berlawak membuatkan saya memberikan mereka markah yang tinggi. Saya dapat lihat tiada yang menang kerana populariti semata-mata,” katanya.

Sheikh Haikal berpendapat ke semua peserta sudah bekerja keras untuk memberikan yang terbaik dan selayaknya mereka diberi peluang beraksi di pentas akhir.

Luna Maya pula mempertahankan tindakannya memberikan hanya tiga bintang pada persembahan pertama Sepahtu kerana idea mereka kurang menyerlah.

“Secara peribadi saya tak terpengaruh dengan sorakan penonton kepada Sepahtu. Saya nak lihat skrip, kreativiti dan idea yang lebih baik. Saya lihat Jambu lebih bagus dalam aspek ini,” katanya.

Malam bermakna buat Ajak

Ajak mengakui tidak pernah termimpi untuk menang gelaran ‘Man of The Match’ kerana fungsinya lebih sebagai pengapit (feeder) kepada Shahrol. Bagaimanapun, rakannya itu sering meniupkan semangat kepadanya untuk menang terutama di tempat sendiri.

“Saya sangat berterima kasih kepada pengundi. Secara jujurnya sehingga petang kami tiada idea untuk segmen pertama. Itulah sebabnya kami lebihkan pada lakonan. Tak sangka idea ini boleh diterima ramai. Sebaik mendengar ketawa pertama daripada penonton, kami terus bersemangat.

“Alhamdulillah, kami tak mengecewakan penyokong Shiro. Untuk persembahan pada final, kami masih belum memikirkan bagaimana ideanya. Mungkin kami akan keluarkan semula setengah idea lawak terdahulu seperti lawak Mujibur (penjual karpet) dan Atan dan Babah.

“Persembahan ini ditonton oleh 1.5 juta peminat menerusi YouTube. Pentas final nanti adalah lebih kepada menghiburkan penonton kerana kami tak kejar gelaran juara. Apatah lagi Shiro belum tiga tahun berada dalam industri seni,” katanya.

Bocey pula gembira kerana berpeluang melangkah ke pentas final. Mereka berterima kasih kepada Afdlin Shauki yang banyak membimbing dan memberi idea untuk bersaing dalam MLM.

“Dia selalu ingatkan kami agar jangan fikir ini sebuah pertandingan. Yang penting ialah percaya pada isi cerita yang dibawakan. Persembahan pula kena berlangsung dengan ikhlas. Kami juga tak suka gunakan lawak berulang dan akan tampil dengan idea baru setiap minggu,” kata mereka.

Anggota Jambu pula mengakui langsung tidak berkecil hati gagal menang gelaran ‘Man of The Match’. Bagi mereka, persembahan Jambu yang berupaya menghiburkan penonton lebih penting berbanding gelaran itu.

“Dapat hiburkan penonton pun sudah buatkan kami bersyukur. Kami nak berkarya dan kalau boleh nak jenamakan lawak Malaysia sehingga ke negara luar. Kami sedar ada minggu kami menyerlah dan ada yang tidak. Ini berlaku kerana pelbagai faktor, antaranya cerita yang terpaksa ditukar saat akhir kerana ada persamaan dengan kumpulan lain,” kata mereka.


Sumber: hmetro.com.my