Pages

Showing posts with label CKD. Show all posts
Showing posts with label CKD. Show all posts

Wednesday, January 22, 2014

Dasar Automatif Negara 2014: Satu lagi dasar tidak capai keperluan sebenar

KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Negara (DAN) yang diumumkan baru-baru ini adalah dasar yang sepatutnya datang lebih awal bagi memastikan industri automobil negara dapat dirombak bersesuaian dengan keperluan EEV atau kenderaan bertenaga efektif dan keperluan lain berkaitan dengan kesannya kepada industri, pengeluar dan pengguna.

“Walaupun kita menyambut baik namun ada beberapa perkara yang tidak disebut dalam dasar ini yang ada kaitan dengan penstrukturan semula dasar automotif negara,” tulis Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di dalam blognya.

Menurutnya, dasar itu masih memperlihatkan flip-flop apabila isu menghapuskan AP (permit import) yang dijadualkan pada 2015 tidak digarap dengan bijak sehingga terbentuk orang tengah yang mengaut keuntungan besar dari harga kereta yang dijual kepada rakyat.

Beliau berkata, AP yang sepatutnya menjana pendapatan jika diapungkan akan memberi keuntungan kepada kerajaan namun selama ini industri automotif negara dicemari dengan penyalahgunaan AP yang merugikan pihak kerajaan dan menguntungkan pihak kroni tertentu.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat menambah, kualiti bahan api tahap Euro 4 mesti dilaksanakan segera seperti yang termaktub dalam DAN 2009.

Tegas beliau, tidak ada gunanya memenuhi kehendak  EEV jika jenis bahan api yang ada sekarang iaitu Euro 2 masih digunakan memandangkan tahap penjimatan tenaganya tidak berapa efektif.

Menurutnya, sukar untuk para industri melahirkan kereta bertenaga efisyen di pasaran Malaysia jika bahan apinya masih lagi di tahap Euro 2. Satu mekanisma harga dan subsidi diperlukan dalam DAN untuk memperkenalkan Euro 4.

“Perlu dijelaskan kepada rakyat apakah penurunan harga kereta kerana cukai eksais dihapuskan ataukah ia harga promosi yang dibuat oleh syarikat penjual kereta, lalu rakyat terkeliru antara penurunan sebenar atau penurunan kerana pihak penjual mengadakan promosi,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata, bagi pemeriksaan kenderaan  secara sukarela, kerajaan harus bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada berbagai syarikat syarikat lain dan bukan dimonopoli oleh Puspakom semata-mata.

Tambahnya, tanpa melihat keseluruhan kesan DAN kepada rakyat dan kepada keberkesanan sebenar tenaga dalam industri automotif DAN hanya akan menjadi satu lagi dasar yang tidak mencapai keperluan sebenar.


Sumber: Harakahdaily 

Artikel Berkaitan
Dasar Automatif Nasional 2014 dilancar
Dasar Automotif Nasional 2014: Harga kereta bakal turun lagi

Monday, January 20, 2014

Dasar Automatif Nasional 2014

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, hari ini telah membentangkan Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 bertempat di Menara Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

DAN 2014 sememangnya bukan saja dinanti-nantikan oleh pihak-pihak yang terlibat di dalam industri automotif negara, malah juga oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Persoalannya kini, adakah DAN 2014 yang dibentangkan itu telah memberikan impak positif kepada rakyat Malaysia melalui penurunan harga kereta? Jawapannya adalah tidak.

Pihak kerajaan pada petang tadi secara rasminya telah mengumumkan bahawa cukai eksais kenderaan tidak akan diturunkan, dengan alasan status kewangan negara masa kini yang berada pada paras defisit.

Tanpa penurunan harga kereta seperti mana yang dijanjikan oleh manifesto Barisan Nasional dalam PRU13 yang lalu, DAN 2014 seperti mana yang dibentangkan terasa hambar dan mengecewakan.

Mungkin terdapat beberapa dasar yang boleh dipuji seperti menjadikan Malaysia sebagai hub automatif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicles : EEV), tetapi saya percaya ianya akan mengambil masa yang lama untuk menjadi kenyataan.

Bagaimana pula dengan harga kenderaan hibrid yang sebelum ini menerima pengecualian cukai import dan eksais sehingga 31 Disember 2013? DAN 2014 telah menetapkan hanya kenderaan hibrid yang dipasang di dalam negara sahaja (CKD) masih layak untuk dikecualikan daripada kedua-dua cukai tersebut.

Bagi kenderaan hibrid atau eletrik yang diimport masuk sepenuhnya (CBU), tiada lagi pengecualian cukai selepas ini seperti mana yang dinikmati sebelumnya, kecuali bagi unit-unit yang telah dibawa masuk sejak tahun lepas.

Berkenaan sistem Permit Import (AP) yang hanya menguntungkan segelintir pihak yang berkepentingan dan mendapat bantahan meluas dari majoriti rakyat Malaysia, pihak kerajaan seperti mana yang dijangka telah membuat keputusan untuk terus mengekalkan dasar sedia ada.

Pihak kerajaan dikatakan hanya akan membuat kajian lebih mendalam mengenai sistem AP selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, bagi menilai kesan yang mungkin akan timbul terhadap penyertaan Bumiputera dalam industri automotif jika ianya dimansuhkan.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih perlu membeli kereta berjenama bukan nasional pada harga yang tinggi setelah DAN 2014 diumumkan, disebabkan tiada sebarang pengurangan cukai eksais daripada pihak kerajaan.

Tanpa pengurangan cukai eksais, rakyat Malaysia hanya mampu membeli kereta berjenama tempatan, namun dengan spesifikasi yang rendah atau telah dikurangkan.

Adalah mustahil model-model kereta berjenama tempatan yang mempunyai spesifikasi tinggi seperti Proton Preve dan Suprima S ditawarkan pada harga rendah, kecuali apabila ianya diturunkan tarafnya menjadi model Super Value (SV).

Di bawah berikut ialah kenyataan media mengenai Dasar Automotif Negara 2014, termasuk persembahan ‘slide’ DAN 2014. Sila klik untuk membaca kedua-duanya;
Media Statement: National Automotive Policy (NAP) 2014
Artikel Berkaitan:
Dasar Automotif Nasional 2014: Harga kereta bakal turun lagi?

Sumber: permotoran.com

Dasar Automotif Nasional 2014: Harga kereta bakal turun lagi

Kuala Lumpur: Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 yang diumumkan hari ini dijangka turut membabitkan penurunan harga antara 20 hingga 30 peratus bagi kereta yang dipasang dalam negara (CKD) menjelang 2018.

Bagi membolehkan harga yang lebih kompetitif, kerajaan dijangka mengambil pendekatan dengan menyediakan insentif untuk terus menggalakkan syarikat automotif membuka kilang pemasangan di negara ini. 


Menurut sumber industri, penurunan harga kereta juga selaras agenda kerajaan yang dinyatakan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan pelbagai langkah dilaksanakan sejak 2012.

Semakan semula DAN yang ditunggu-tunggu peserta industri, pelabur dan pengguna, menggariskan pelbagai langkah serta insentif menjadikan industri automotif negara lebih berdaya saing, menggalakkan pelaburan lebih besar dan merangsang pembangunan teknologi baru.

Dasar itu juga bertujuan meningkatkan penyertaan berterusan Bumiputera, menaikkan standard keselamatan dan menjadikan harga kereta lebih mampu untuk dibeli.

Kaji masalah pengguna

Fokus utama NAP 2014 adalah menangani isu berkaitan pengguna, peserta automotif serta masalah umum dalam industri itu.
Dari segi industri, antara isu utama ialah penggunaan teknologi yang masih rendah dalam kalangan vendor, eksport rendah, permit import (AP) dan pekerja asing kurang mahir.

Dari segi pengguna pula, kita tahu keluhan mereka adalah mengenai harga yang tinggi. Antara isu umum pula berkaitan standard bahan api yang rendah, faktor keselamatan serta kesan alam sekitar, kata seorang peserta industri.

Mengenai pengurangan harga, beberapa pengeluar yang memasang kereta dalam negara sudah mengurangkan harga secara berperingkat. Antaranya Honda Jazz dikurangkan hingga 17 peratus, Nissan Sentra (13 peratus), PROTON Saga (12 peratus) dan terbaru PERODUA Alza (12 peratus).

Dalam pada itu, kerajaan memulakan usaha mengurangkan kadar duti eksais di bawah Program Rangkaian Industri (ILP). Menerusi program itu, pengeluar bahagian kenderaan dari Malaysia dan negara ASEAN dibenarkan memohon rebat cukai, sekali gus membantu mengurangkan harga jualan.

Ketika ini, duti import adalah sehingga 30 peratus, manakala duti eksais antara 65 hingga 125 peratus.

Selain itu, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan dijangka membantu mengurangkan harga kenderaan di negara ini.
Mengikut kajian, GST akan membantu mengurangkan harga kereta kerana cukai jualan kenderaan ketika ini adalah 10 peratus, manakala GST hanya enam peratus.





Tarik FDI

Sementara itu, penganalisis automotif tempatan berpendapat kerajaan dijangka mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam segmen pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Langkah itu dilihat mempunyai kesan pengganda ekonomi yang besar dalam meningkatkan daya saing, menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat dan vendor automotif tempatan, pemindahan teknologi dan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia hab kenderaan EEV di rantau ini, kerajaan juga dijangka membuka permohonan Lesen Pembuatan (ML) kepada syarikat automotif asing dalam usaha menggalakkan pengeluar kereta dalam segmen berkenaan di negara ini.

Tawar lesen EEV

Kerajaan dijangka membuka pemberian lesen pengeluaran EEV secara menyeluruh. Kini lesen hanya diberikan kepada pemasangan kereta dengan kapasiti enjin tidak kurang 1800cc dan harganya perlu lebih daripada RM150,000 seunit, kata seorang sumber.




Bagaimanapun, beliau tidak menjangka langkah itu akan memberi kesan negatif kepada pengeluar kereta nasional seperti PROTON Holdings Bhd kerana ia adalah segmen kereta berbeza, membabitkan sistem enjin berteknologi tinggi dan harganya juga dalam kategori lebih mahal.

Turut dijangka disentuh dalam NAP 2014 ialah dasar pemeriksaan kenderaan yang diperluaskan kepada kenderaan persendirian berbanding kenderaan komersial sekarang.

Bagaimanapun, penganalisis secara umumnya tidak menjangka kerajaan akan menguatkuasakan dasar pelupusan kenderaan.

Jika dilaksanakan, kerajaan terpaksa memberi kupon tunai RM5,000 kepada pengguna yang melupuskan kenderaan. Berdasarkan kedudukan fiskal semasa kerajaan, dasar itu berkemungkinan tidak dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, katanya.


Sumber: Berita Harian, Funtasticko.net