Pages

Showing posts with label Pelancong. Show all posts
Showing posts with label Pelancong. Show all posts

Monday, March 3, 2014

Pelancongan paranormal pada waktu malam di Kellie’s Castle

Bangunan Kellies Castle di Batu Gajah menjadi antara produk pelancongan yang kerap dikunjungi jika ke Perak.

IPOH 22 Jan. - Pakej lawatan paranormal pada waktu malam di Kellie’s Castle, Batu Gajah bakal diperkenalkan bermula Februari ini sebagai tarikan pelancongan pertama seumpamanya di negara ini.

Pengurusnya, Zamari Muhyi berkata, lawatan berkumpulan itu perlu terdiri daripada lapan individu dan mereka akan diletakkan di beberapa lokasi tertentu sekitar bangunan istana lama berkenaan selama 10 minit.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana setiap pengunjung dipastikan berada dalam keadaan selamat kerana terdapat staf-staf bertugas selain diiringi oleh seorang ustaz.

“Mereka yang telah melalui pengalaman tersebut akan diberikan sijil penyertaan, kemeja T serta berpeluang menyaksikan tayangan video," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.


Setiap peserta akan dikenakan bayaran RM80 seorang dengan tempoh setiap lawatan 30 hingga 40 minit bergantung kepada permintaan.

"Kita tidak menjanjikan anda hantu, tetapi kita menjanjikan anda pengalaman merasai tempat tersebut pada waktu malam.

"Kita dah kenal pasti pengalaman ini boleh dirasai di bilik-bilik seperti pertama bilik Hallen, bilik linen atau bilik dobi dan bilik 'wine' selain serambi atau 'balcony' William Kellie Smith," jelas Zamari.

Menurut beliau, program lawatan paranormal tersebut dihadkan kepada 40 orang yang berusia 17 tahun ke atas pada satu-satu masa.

Sehingga kini kata Zamari, pihaknya telah menerima 30 tempahan selain 60 pelancong asing yang akan melawat istana lama itu pada bulan Jun nanti.

Kellies Castle dikategorikan sebagai antara satu daripada lima lokasi paling seram di Malaysia oleh pengkaji paranormal antarabangsa dan portal pelancongan ekspedisi dari Amerika Syarikat (AS).



Dalam pada itu, Zamari berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, pihak pengurusannya yang baharu iaitu Syarikat Le Shuttle Event (M) Sdn. Bhd., menyasarkan kunjungan pelancong ke Kellie’s Castle mencecah 150,000 orang.

Kata beliau, bagi mencapai hasrat itu, pelbagai acara dirancang termasuk pertandingan ‘Big Game’ sukan paintball, Kejohanan Motocross Antarabangsa Batu Gajah dan Karnival Kaki Kartun (Kakitun).

“Kita juga akan menganjurkan bengkel fotografi pelancongan, pertandingan fotografi Kellie’s - landskap dan praperkahwinan, melukis rali 24 jam Kellie’s, Bulan Pengantin Kellie’s dan Kellie’s Buskers Festival yang juga festival pemuzik jalanan," katanya.

Sumber: utusan.com.my dan peraknews.com


Saturday, February 8, 2014

Melaka Gateway


MELAKA 7 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah mengenal pasti empat trend mega bagi menarik minat pelancong berpendapatan tinggi dan elit dari seluruh dunia untuk datang ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, empat trend itu adalah pewujudan elit global, rentak kehidupan yang lebih rancak, naik turun perdagangan dan kemunculan semakin banyak peneraju baharu pasaran.

Menurutnya, usaha itu dilihat mampu meningkatkan sumber pendapatan negara dalam industri pelancongan dan kini menjadi trend yang semakin berkembang di Asia.

Najib berkata, pewujudan elit global merujuk kepada peningkatan jumlah pengguna berpendapatan atau bernilai tinggi di seluruh dunia.

"Kemampuan menawarkan produk mewah dan perkhidmatan bertahap tinggi kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya," kata beliau ketika berucap melancarkan pelan induk Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; dua bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta Ketua Eksekutif Kumpulan KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD), Datuk Michelle Ong.

Melaka Gateway yang melibatkan kos anggaran pembangunan sebanyak RM40 bilion, merupakan projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau termasuk dua daripadanya buatan manusia dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Sebanyak 15 projek istimewa dirancang menerusi pelan induk tersebut antaranya Malaysia Eye, Sunset Beach, International Designer Street, Melaka Cruise Shopping Gallery, Terminal Kapal Persiaran dan Feri Antarabangsa Melaka serta Melaka Gateway Marina.

Menurut Najib, Melaka Gateway yang merupakan salah satu daripada contoh pewujudan elit global bakal dilengkapi jeti serba mewah untuk kegunaan kapal persiaran antarabangsa dan marina terbesar di Asia yang diyakini akan menarik ramai pelancong.

Kata beliau, setelah melakar pencapaian cemerlang dalam pengendalian pelabuhan kargo dan kontena, kini tibalah masanya Malaysia memberi fokus terhadap pelabuhan kapal persiaran pula.

"Kita yakin kejayaan jeti kapal persiaran antarabangsa Melaka yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway, bukan sahaja akan menarik pengunjung kelas berada yang menggunakan kapal persiaran, tetapi juga merintis jalan ke arah pembukaan pelabuhan kapal persiaran lain di Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, trend kedua iaitu rentak kehidupan yang lebih rancak pula merujuk kepada pengguna yang ingin menikmati percutian singkat dengan sebanyak mungkin sebagai cara untuk mengurangkan tekanan seperti mengunjungi tempat hiburan, spa dan pusat kesihatan.

Trend mega ketiga pula kata beliau, merujuk kepada perbelanjaan berpilih iaitu pengguna akan berbelanja besar untuk sesuatu perkara dan berjimat tentang perkara lain.

Perdana Menteri seterusnya berkata, trend keempat adalah memberi fokus untuk menembusi pendahulu baharu pasaran seperti China, India dan negara Timur Tengah.

Tambah beliau, sumbangan industri pelancongan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan arah aliran meningkat.

Untuk tahun ini kata Najib, sektor ini dijangka menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada KDNK, meningkat berbanding hampir 12 peratus pada tahun lalu.

"Secara tepat hasil sebanyak 12.5 peratus daripada pelancongan adalah berjumlah lebih kurang RM125 bilion dan ini berdasarkan KDNK negara kita pada 2013 yang dijangka mencapai lebih RM1 trilion," kata beliau.



Sumber: utusan.com.my dan google image