Pages

Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Wednesday, May 14, 2014

Ahmad Said Kembali Kepada Umno, Ikrar Sokong Najib

Ahmad Said ketika mengadakan sidang media di kediaman rasminya
KEMAMAN, 14 Mei: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Umno dan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menarik balik peletakan jawatannya.

Mengumumkan kembali ke pangkuan Umno, Adun Kijal itu berkata beliau memohon maaf kepada Najib berhubung tindakan beliau dan Najib pula memohon maaf kepadanya berhubung salah faham mengenai tarikh perkahwinan anak perempuannya.

Beliau memberitahu sidang media di kediaman rasminya di sini bahawa dia telah bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada awal hari Rabu.

"Pada mesyuarat itu, kami bersetuju bahawa ia adalah satu salah faham kecil. Kami kedua-duanya memohon maaf dan bersetuju bahawa perkara itu telah diselesaikan," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan bahawa Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata,  Ahmad berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui menteri besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata, Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu.

Mohd Jidin berkata Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.

"Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah.

"Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin.

Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Pada Isnin, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau.

Sumber: mstar.com.my

Tuesday, May 13, 2014

Terkini: Adun Keluar Umno di Terengganu

2014/05/13 - 10:49:51 AM KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari UMNO mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, kata penasihat undang-undang negeri Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 ahli dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3. 


Tiga wakil rakyat yang mengisytiharkan keluar daripada UMNO ialah bekas menteri besar dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, yang meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif semalam, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Azhar ketika dihubungi BERNAMA, berkata speaker DUN turut dikira bersama 14 ADUN BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.

Selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar semalam, ADUN Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu, malam tadi. - BERNAMA


--------------------------------------------------------

Ahmad Said

Ghazali Taib

Roslee Daud

PETALING JAYA: Seorang lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu mengumumkan keluar Umno, menjadikan jumlahnya tiga orang setakat pagi Selasa.

Terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud mengisytiharkan berbuat demikian, hanya beberapa jam selepas dua pemimpin negeri itu mengumumkan keluar parti.

Roslee mengikut jejak Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Adun Ajil, Ghazali Taib yang mengambil keputusan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dengan perkembangan terbaharu ini, BN kini menguasai 14 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, begitu juga PAS sebanyak 14 kerusi, satu mewakili Parti Keadilan Rakyat  (PKR) dan  Bebas (3).

Terdahulu pada petang Isnin, Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, manakala penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Adun Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, malam Isnin.




Sumber: mstar.com.my, astro awani, google image

Monday, May 12, 2014

Abd Razif Dilantik MB Terengganu Baharu

Razif Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Razif bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said itu telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdidin.

"Adalah dimaklumkan bahawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa 12 Mei 2014.

"Baginda telah memperkenankan pelantikan Adun Seberang Takir Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda," katanya.

Najib berkata pelantikan itu adalah selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama-sama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.

Ahmad pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.

Sumber: mstar.com.my

Ahmad Said Letak Jawatan

PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatan pada Isnin dan penggantinya akan mengangkat sumpah pada malam ini.

Kekosongan jawatan Ahmad akan diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman (gambar bawah).


Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung pada pukul 8 malam di Istana Syarqiyyah di sini.

Ahmad Said yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama dua penggal dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin petang ini.

Berikutan itu, perkembangan terbabit mengesahkan spekulasi bahawa Ahmad Said akan digantikan berikutan perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan kekal hanya selama setahun selepas BN hampir kecundang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lalu.

BN menang 17 kerusi DUN berbanding Pakatan Rakyat 15 dan menang separuh daripada kerusi Parlimen di negeri itu.

Sumber: mstar.com.my

Sunday, May 12, 2013

MB Terengganu: Ahmad Said Angkat Sumpah untuk Penggal Kedua



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu pada Istiadat Pengisytiharan Perlantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Maziah di Kuala Terengganu pada Sabtu. Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Ahmad Said telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal ADUN itu mengangkat sumpah bagi jawatan berkenaan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah di sini pada Sabtu.
Turut mengangkat sumpah ialah exco kerajaan negeri yang baru.
Datuk Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir), Rozi Mamat (Telemong), Dr A. Rahman Mokhtar (Kuala Besut) merupakan individu yang dikekalkan daripada barisan exco terdahulu.
Barisan exco baru termasuk bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri)), Rosli Othman (Kemasik), Nawi Mohamad (Hulu Besut), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan), Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Ajil).
Latiff, Roslee dan Ghazali merupakan calon kali pertama dalam pilihan raya umum ke-13 yang berakhir baru-baru ini.
Anggota exco negeri hanya akan diserahkan portfolio masing-masing selepas Kabinet Persekutuan dibentuk.
sumber: mstar.com.my