Pages

Showing posts with label Ultras Malaya. Show all posts
Showing posts with label Ultras Malaya. Show all posts

Wednesday, March 5, 2014

Kenyataan Ultras Malaya 5 Mac 2014


Merujuk kepada beberapa jemputan yang diterima oleh kami, Ultras Malaya, daripada pelbagai pihak untuk mengadakan perbincangan.

Ultras Malaya dengan penuh rasa rendah diri dan besar kepala ingin menyatakan bahawa kami tidak akan membuat apa-apa perbincangan dengan mana-mana pihak sebelum Pemilihan Kongres FAM penggal 2014-2018 diadakan.

Kami ingin mengingatkan sekali lagi bahawa kami telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum ini, termasuklah FAM dan KBS. Sukacita kami syorkan kepada mana-mana pihak yang menghadapi masalah kenyanyukan untuk mengingati semula tuntutan-tuntutan kami, agar mengutip semula kertas-kertas cadangan kami yang telah ditongsampahkan bagi tujuan rujukan semula.

Ultras Malaya memikul tanggungjawab dan harapan besar para marhaen pendukung bolasepak, bagi memastikan bahawa barisan kepimpinan FAM yang akan dilantik untuk penggal yang akan datang terdiri daripada individu-individu yang telus dan cekap. Kami belum bersedia untuk melepaskan tanggungjawab dan menguburkan harapan tersebut.

Kami ingin tekankan di sini bahawa kami sepakat menuntut agar 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan'.

Ultras Malaya juga ingin menekankan bahawa kami ialah sebuah gerakan apolitikal. Barisan saf Ultras Malaya menyatukan anak-anak watan tanah tumpah darah ini yang berlatarbelakangkan ideologi nasionalis, Islamis, libertarian, monarkis, green party dan lain-lain lagi. 

Sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin 'membeli' prinsip-prinsip Ultras Malaya dengan apa-apa tawaran 'gula-gula', kami dengan sukacitanya mencadangkan agar anda menyumbat mulut anda sendiri dengan gula-gula tersebut, menyerkup kepala anda dengan baju dan melarikan diri sebelum maruah anda diaibkan oleh barisan anak-anak watan ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber: ultrasmalaya.net

Monday, March 3, 2014

Kenyataan Ultras Malaya

Berikut insiden yang berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semasa perlawanan persahabatan Malaysia dengan Filipina pada 1 Mac 2014, Ultras Malaya satu komuniti penyokong tegar skuad bolasepak Malaysia yang ditubuhkan pada 2007 telah mengeluarkan kenyataan berikut:


Ultras Malaya menuntut barisan kepimpinan FAM dirombak secara besar-besaran semasa Pemilihan Kongres FAM penggal 2014-2018 yang bakal menentukan hala tuju bolasepak negara untuk anak-anak watan pada masa hadapan.

Ultras Malaya menuntut barisan kepimpinan FAM yang bertanggungjawab ke atas kerosakan-kerosakan yang disenaraikan di bawah agar ditolak dan disingkirkan sama sekali di dalam Pemilihan Kongres yang akan diadakan:

1. Di bawah pentadbiran Presiden kini, Malaysia tidak pernah lagi layak ke Sukan Olimpik. Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 34 tahun yang lepas.

2. Di bawah pentadbiran Presiden kini, Malaysia tidak pernah lagi layak ke Piala Asia secara merit. Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit ialah pada 34 tahun yang lepas.

3. Di bawah pentadbiran Presiden kini, Malaysia hanya menyertai pusingan akhir Piala Asia sekali sahaja iaitu pada tahun 2007. Inipun kerana Malaysia ialah tuan rumah bersama.

4. Pada Piala Asia 2007, Malaysia hanya mampu menjaringkan 1 gol namun dibolosi 12 kali, sekaligus menduduki tempat tercorot kumpulan.

5. FAM membenarkan penganjuran Jelajah Asia Manchester United ketika Piala Asia 2007 sedang berlangsung, sehingga mengundang kecaman hebat FIFA.

6. Di bawah pentadbiran Presiden kini, bolasepak Malaysia dilanda skandal rasuah paling besar dalam sejarah mana-mana sukan di Malaysia pada tahun 1994. Namun 20 tahun selepas itu sehingga kini, Presiden masih belum meletakkan jawatan.

7. Pada Mei 2013, ultras telah mendapat tip bahawa perlawanan membabitkan pasukan Kuala Lumpur telah diatur untuk menghasilkan keputusan 0-5. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 0-5.

8. Apabila FIFA memperkenalkan sistem ranking dunia 21 tahun lalu (1993), Malaysia menduduki ranking ke-14 Asia. Dalam era Presiden sekarang ranking Malaysia menjunam ke kedudukan ke-29 Asia.

9. Pada tahun 1993, Malaysia menduduki ranking ke-77 dunia namun ranking Malaysia menjunam ke kedudukan ke-150 dunia.

10. Lawan Malaysia pada malam semalam (1 Mac 2014) iaitu Filipina pernah berada 85 anak tangga di belakang Malaysia pada tahun 1993 namun kini 23 anak tangga di hadapan.

11. Liga bolasepak Malaysia dikategorikan gred 'D' walaupun menjalani peralihan selama 25 tahun daripada liga amatur ke liga semi-pro pada tahun 1989, dan kemudian ke liga professional pada tahun 1993.

12. FAM memiliki sekali ganda lebih jumlah kakitangan berbanding FA Jepun untuk mentadbir bolasepak Malaysia termasuk liga gred 'D'.

13. FAM juga merasakan perlu untuk menukar-nukar jumlah pasukan dalam liga gred 'D' daripada 14 pasukan kepada 12 kepada 14.

14. Pasukan daripada liga bolasepak Malaysia tidak layak untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), termasuk perlawanan playoff.

15. FAM membenarkan penyertaan LionsXII ke dalam liga bolasepak Malaysia, walaupun sedar AFC tidak akan membenarkan pasukan daripada liga bolasepak yang memiliki pasukan bukan domestik untuk menyertai Liga Juara-Juara Asia (ACL).

16. Di bawah pentadbiran Presiden kini, FAM telah 'melelong maruah' negara kepada penganjur-penganjur perlawanan pertunjukan yang diragui keputusannya.

17. Pada tahun 2009, FAM sewenang-wenangnya merelakan maruah negara diaibkan oleh sindiket perjudian dalam skandal ‘Asiagate’, apabila membenarkan perlawanan 'persahabatan' dengan pasukan kelab Monomotapa United FC yang mengaku sebagai pasukan kebangsaan Zimbabwe.

18. Pada Februari tahun lepas, bekas Setiausaha Agung FAM ketika itu dengan mudah menerima surat penjelasan pembatalan 'perlawanan persahabatan' Harimau Muda 'A' daripada pengarah teknikal Football Queensland, sedangkan perlawanan kononnya diadakan dengan kelab Brisbane Roar. Perlawanan ini juga tidak pernah diumumkan oleh pihak kelab Brisbane Roar.

19. Hanya ejen perlawanan (bukan ejen pemain) yang berdaftar dengan FIFA boleh membawa sesebuah pasukan bermain di Malaysia. Namun Setiausaha Agung FAM enggan mendedahkan identiti ejen perlawanan 'pertunjukan' dengan Barcelona pada tahun lepas.

20. Pada tahun 2012 ketika Kelayakan Piala Asia B-22, terdapat bukti bahawa Myanmar telah menewaskan Malaysia dengan menurunkan pemain lebih umur, namun Setiausaha Agung FAM ketika itu hanya menjawab "saya tidak dimaklumkan".


Sumber: Ultrasmalaya.net

Ultras Malaya Melampau - Khairy


PULAU PINANG - 'Mereka sudah melampau'. Itu reaksi yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika ditanya mengenai insiden memalukan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya di Stadium Selayang, kelmarin.

Sambil melahirkan rasa terkilan, Khairy berkata, kejadian membakar mercun dan suar sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina terhenti selama kira-kira lapan minit adalah kesalahan yang sangat serius dan tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau dalam nada tegas memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab yang bukan sahaja mengganggu perlawanan, malah meletakkan keselamatan penyokong lain dalam keadaan terancam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama ini sudah begitu banyak bertoleransi dengan penyokong Ultras Malaya terutama dalam insiden pembakaran suar dan bom asap memandangkan mereka sebelum ini tidak sehingga ke tahap mengganggu perlawanan.

"Tetapi semalam (kelmarin) saya rasa mereka sudah terlebih sangat, jadi kita perlu ambil tindakan tegas. Sebelum ini, kita sudah ada perjanjian dengan penyokong Ultras Malaya supaya tidak menganggu perlawanan, tetapi semalam mereka sudah melampau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 'Wheels For All Global Cycling' dan penyerahan Baucar Buku 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Dalam insiden ketika perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina kelmarin, penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lapan minit.

Insiden memalukan yang berlaku pada minit ke-31 itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap 30 tahun pentadbiran Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Kejadian itu juga disifatkan jurulatih Harimau Malaya sebagai antara punca pasukan negara sekadar seri menentang Filipina kerana para pemain kehilangan fokus meskipun lebih menguasai perlawanan pada minit-minit awal.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan laporan lengkap berhubung kejadian tersebut kepada FAM.

Tambahnya, beliau juga akan meminta FAM berbincang dengan PDRM berhubung kaedah meningkatkan lagi aspek keselamatan sewaktu perlawanan terutama di pintu masuk stadium supaya tidak ada lagi penyokong yang berjaya membawa masuk bunga api, suar atau mercun.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140303/su_02/Ultras-Malaya-melampau---Khairy#ixzz2urHl6da6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sumber Gambar: Facebook