Pages

Wednesday, June 19, 2013

KLIA2

Komen Admin: Berapa agaknya kontraktor utama akan menanggung kesan dari LAD 200k sehari.

KLIA2 Siap 30 April Tahun Depan, Beroperasi 2 Mei
 
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan pembukaan klia2 untuk beroperasi pada 2 Mei tahun depan berikutan tarikh siap yang dipinda kepada 30 April oleh kontraktor.

Terminal kos rendah itu sepatutnya dibuka pada 28 Jun tahun ini selepas beberapa penundaan tarikh akhir sebelum ini.

MAHB juga sebelum ini mengumumkan bahawa kontraktor lapangan terbang itu memohon tempoh untuk memberikan tarikh pindaan baharu untuk penyiapannya.

Dalam satu kenyataan, pengendali lapangan terbang itu berkata UEMC-Bina Puri JV, kontraktor bagi bangunan terminal itu, telah hari ini mengesahkan 30

April, 2014 sebagai tarikh baharu penyiapan klia2

Ini termasuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) menurut obligasi berkontrak.

MAHB berkata ia akan terus memantau kerja yang dijalankan oleh semua kontraktor dan Ganti Rugi Tertentu (LAD) dikenakan menurut obligasi berkontrak masing-masing.

Dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kualiti, kontraktor perlu memastikan penyiapan bangunan terminal klia2 mematuhi semua piawaian keselamatan seperti yang dikehendaki oleh pengawal selia dan MAHB.

MAHB pada Isnin mengumumkan UEMC-Bina Puri JV akan dikenakan LAD harian sebanyak RM199,445.40 sehari, sebagai kontraktor bangunan terminal utama klia2, bermula Ahad.

MAHB juga berkata ia telah mengeluarkan perakuan tidak siap kepada UEMC-Bina Puri JV atas kegagalannya menyiapkan kerja menjelang tarikh akhir kelulusan pada 15 Jun, 2013. - BERNAMA

Tuesday, June 18, 2013

Laluan Motosikal

Komen AdminTerima kasih pak menteri. Harapan admin ia tak berakhir setakat ini sahaja. Mesti ada follow-up baru rakyat nampak kata dikota. Bukan sekadar untuk memberi promosi untuk menteri. Ingatlah, rakyat semakin ramai yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja. Cepat, murah dan kurang tekanan.

Skuad Khas Tangani Masalah Jenayah, Vandalisme Di Laluan Motosikal

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa menyarankan satu skuad khas dibentuk bagi menangani masalah jenayah dan vandalisme di laluan motosikal.
Beliau berkata skuad tersebut boleh membabitkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Bagaimanapun, beliau tidak menghurai lanjut mengenai perkara itu.
Hasil tinjauan di laluan motosikal di sini, Hishammuddin berkata beliau melihat banyak kemudahan asas seperti lampu dan pembahagi jalan rosak selain jenayah samun yang mengancam keselamatan penunggang motosikal terutama pada waktu malam.
"Saya difahamkan penghadang jalan.. 'wiring'..(pun boleh) hilang (akibat) budaya Vandalisme dan kecurian," katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, di sini.
Melalui tinjauan itu juga, katanya, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan antaranya menambah baik laluan dan tebing cerun, menyelenggara rumah pam di terowong dan kawasan yang ditakungi air serta menyelenggara lampu jalan di lorong motosikal. - BERNAMA

Monday, May 13, 2013

Sekolah Satu Aliran Boleh Kukuh Perpaduan

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya umum ke-13 yang mencetuskan semula isu integrasi nasional telah menimbulkan desakan supaya sekolah-sekolah vernakular diubah kepada sekolah satu aliran untuk memperkukuh perpaduan rakyat.

Seruan itu dilontar ahli akademik yang berpendapat masalah perpaduan kaum di negara ini berpunca daripada sistem persekolahan yang tidak selaras, dengan wujudnya sekolah pelbagai aliran.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berkembang lebih maju dan hanya 10 peratus bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan.

"Yang lainnya di sekolah vernakular. Jelas bahawa perkauman berkembang dengan luas, ia diteruskan dengan sekolah menengah swasta yang memfokus kepada sekolah bahasa jenis kebangsaan," katanya pada majlis "Wacana Post Mortem PRU13:Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' di sini, Ahad.

Beliau berkata jika di zaman penjajahan British mereka melaksanakan konsep pecah dan perintah mengenai pendidikan tetapi kini pendidikan "berpecah".

"Sekarang jika dikatakan begitu ia akan dianggap tuduhan, tetapi jika kita benarkan lagi sekolah seperti ini jangan lagi harap untuk bercakap mengenai perpaduan, ia akan hanya disambut di mulut, tidak di hati," katanya.

Nada lebih keras disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang mahu sekolah jenis kebangsaan dihapuskan kerana ia tidak diiktiraf oleh Perlembagaan.

"Sekolah jenis kebangsaan (SJK) hanya memecahbelahkan rakyat. Patut sekarang ada sekolah rendah kerajaan, sekolah menengah kerajaan. SJK yang ada sekarang ini ubah kepada sekolah kerajaan.

"Semua pelajar belajar di bilik darjah yang sama, makan di kantin yang sama, bermain di gelanggang yang sama. Barulah boleh mengeratkan integrasi nasional," katanya.

Perkara itu sepatutnya disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia, katanya yang menyifatkan mereka yang tidak bersetuju dengan sistem sekolah satu aliran sebagai antiperpaduan.

Program anjuran Pertubuhan Persatuan Alumni UiTM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu, pensyarah, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat, ahli politik dan golongan muda.

Bertujuan membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia, program itu turut disertai Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kacha dan bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin Mat Isa dan anggota Himpunan Keilmuan Muslim Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai ahli panel - BERNAMA

sumber: mstar.com.my 

Sunday, May 12, 2013

Pengerusi Virgin Group Tunai Janji Kalah Pertaruhan Kepada Tony Fernandes


Pengasas dan Pengerusi Virgin Group Sir Richard Branson (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandez (kiri) tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah, di sini, Ahad. Branson dan Fernandez tiba pada 12.30 tengah hari, dengan pesawat khas AirAsia X melalui penerbangan amal, yang berlepas dari Perth, Australia. Derma telah berjaya dikumpul dan didermakan kepada Yayasan Kanak-Kanak Starlight, Australia. Pada Disember 2009, Branson telah mencabar pasukan Lotus F1 Fernandes untuk mengalahkan kumpulan Virgin Racing dalam Formula 1 2010. Yang kalah akan berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan pemenang. Branson kalah dan perlu melaksanakan janjinya


Branson menunjukkan bulu kakinya yang telah dicukur kepada pihak media sebaik sahaja tiba di Terminal Tambang Murah, di Sepang, Ahad. -foto BERNAMA
MELBOURNE: Hartawan penerbangan Sir Richard Branson mendarat di Kuala Lumpur tengah hari ini dengan memakai mekap, berkasut tumit tinggi dan sarung kaki untuk menunaikan janji setelah kalah pertaruhan kepada Ketua Eksekutif AirAsia Tony Fernandes pada Grand Prix dua tahun lepas.
Beliau berlepas dari Perth pagi Ahad dengan penerbangan amal untuk mengumpul dana ke Kuala Lumpur, dengan berpakaian wanita.
The Australian Associated Press melaporkan di sebuah bar di Perth CBD pada Sabtu malam, Branson membenarkan pramugari AirAsia mencukur bulu kakinya.
Terdapat alasan kukuh kenapa beliau mengambil masa yang lama untuk menunaikan janjinya itu apabila kakinya patah, terbabit dalam kemalangan semasa menaiki belon udara panas untuk menyaksikan prototaip Virgin Galactic, yang akan melakukan penerbangan komersil ke angkasa
"Ya, memang betul. Kami sama-sama memiliki pasukan Grand Prix dan saya amat yakin yang saya akan menang," kata Branson sepertimana dipetik oleh AAP.
"Berlaku kesilapan. Sudah tentu pemandu pada perlumbaan itu tidak lagi bersama-sama kami. Saya berusaha untuk mengelak berada di sini (dalam penerbangan amal ini), tetapi tahu perlu tunaikannya."
Sementara itu, Fernandes yang dicabar untuk menunaikan janjinya, mengumumkan akan menjadi seorang daripada pelancong angkasa dalam penerbangan komersil pertama Virgin Galactic, merupakan penerbangan yang amat mahal.
"Apa yang beliau (Branson) tidak sedar ialah sebaik sahaja saya pergi ke angkasa, akan ada versi tambang murah - AirAsia Galactica, kira-kira 10 peratus daripada harga yang beliau kenakan," katanya.
Dana daripada penerbangan amal itu akan disalurkan kepada Starlight Foundation untuk kanak-kanak sakit. - BERNAMA
sumber: mstar.com.my

MB Terengganu: Ahmad Said Angkat Sumpah untuk Penggal Kedua



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu pada Istiadat Pengisytiharan Perlantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Maziah di Kuala Terengganu pada Sabtu. Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Ahmad Said telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal ADUN itu mengangkat sumpah bagi jawatan berkenaan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah di sini pada Sabtu.
Turut mengangkat sumpah ialah exco kerajaan negeri yang baru.
Datuk Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir), Rozi Mamat (Telemong), Dr A. Rahman Mokhtar (Kuala Besut) merupakan individu yang dikekalkan daripada barisan exco terdahulu.
Barisan exco baru termasuk bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri)), Rosli Othman (Kemasik), Nawi Mohamad (Hulu Besut), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan), Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Ajil).
Latiff, Roslee dan Ghazali merupakan calon kali pertama dalam pilihan raya umum ke-13 yang berakhir baru-baru ini.
Anggota exco negeri hanya akan diserahkan portfolio masing-masing selepas Kabinet Persekutuan dibentuk.
sumber: mstar.com.my