Pages

Tuesday, January 28, 2014

MLM 2013 Geletek SYJ tidak menjadi

Penyingkiran kumpulan SYJ yang dianggotai Shuk, Yassin dan Jihan dari saingan minggu ke-11 Maharaja Lawak Mega 2013 sememangnya sudah diduga penonton.

Berbanding kumpulan lain, mereka saban minggu menduduki tiga kedudukan terbawah atau ‚bottom three‘.

Selepas berhempas pulas berusaha menampilkan idea-idea komedi, mereka terpaksa akur apabila akhirnya ditunjukkan jalan keluar dalam saingan yang berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah, Jumaat lalu.

Walaupun berjaya menggeletek juri dan penonton dalam segmen Karoot Komedia, mereka gagal membuktikan kehebatan berlawak menerusi tema ‚silent comedy‘ yang sukar difahami penonton.


AKSI terakhir SYJ dalam Maharaja Lawak Mega.

Jihan berkata, setiap minggu SYJ sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Namun, mereka berpuas hati kerana dapat menampilkan idea terbaik kepada peminat dan juri.


“Tak dinafikan perasaan terkejut tetap ada apabila diumumkan terkeluar. Cuma kami faham SYJ adalah kumpulan baru berbanding kumpulan lain yang sudah ada kelompok peminat tersendiri. Apabila masuk saja dalam kelompok Top 6, persaingan memang amat sengit.

“Kami cuba buat eksperimen dengan tampilkan sketsa kartun dalam ‘silent comedy’, malangnya kurang difahami ramai. Apapun berada dalam MLM sangat bermakna kerana memberikan pengalaman baru dalam karier kami,” katanya.

Menurutnya, walaupun SYJ bersifat projek khas dan mereka tidak pernah bersama dalam mana-mana persembahan sebelum ini, perjuangan sehingga ke peringkat suku akhir sudah cukup membuktikan keserasian mereka berlawak bersama.

“Saya tetap gembira kerana mampu bertahan sehingga tahap ini. Sepanjang terbabit dalam MLM, kami terpaksa tolak banyak tawaran lain kerana tumpukan perhatian untuk bertanding. Sekarang sudah sampai masanya untuk sambung semula kerja dalam bidang seni.

“Saya sekarang terbabit sebagai penyampai Carta Fulamak Sinar bersama Shahrol Shiro yang bersiaran setiap pagi Sabtu. Kami digandingkan untuk tempoh percubaan selama dua minggu kerana selepas ini akan ada slot sendiri. Sekiranya ada tawaran persembahan bersama SYJ, saya takkan menolak,” katanya.

Seperti Jihan, Shuk juga kini bergelar penyampai ERA setiap pagi Sabtu bergandingan dengan Sasha Al Khred.

“Syukur peluang untuk saya makin terbuka luas. Saya juga semakin fokus dengan bidang seni dan mungkin selepas ini saya akan terbabit dengan program Skool Of Lawak juga terbitan Astro. Saya juga akan terbabit dengan program Lawak Utagha The Musical di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 16 Februari nanti,”katanya.

Yassin pula berkata, dia akan terus berlawak dengan mana-mana pasangan, namun keutamaan tetap diberikan kepada SYJ.

“Walaupun sibuk dengan MLM, saya sempat lagi berlakon filem Kawanku Mati Dalam Rumah Sewa yang turut menampilkan Bocey. Menerusi MLM, peminat dapat lihat saya masih bernyawa dalam industri seni,” katanya.

Apapun, program yang pertama kali berlangsung di Kedah ini meninggalkan kenangan tersendiri kerana mendapat sambutan hebat dengan kehadiran kira-kira 3,500 penonton. Ruang dewan yang terhad juga menyaksikan ada sebahagian penonton terpaksa menonton menerusi skrin besar yang disediakan di luar.

Bahkan, program ini turut mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudi meluangkan masa untuk menonton dan bermesra dengan peminat yang hadir.

Maharaja Lawak Mega minggu ke-12 akan berlangsung dari Johor Bahru, Jumaat ini.

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, keputusan untuk mengekalkan sama ada lima peserta yang masih kekal untuk ke final atau menyingkirkan sebuah lagi kumpulan hanya akan diketahui pada persai­ngan malam itu di Johor Bahru.

“Kami memang sengaja hasilkan format ini supaya peminat tak boleh agak apa yang akan berlaku. Ini juga membawa maksud agar peserta tak rasa selesa dan bersikap sambil lewa ketika bertanding nanti.

“Saya boleh katakan persaingan semakin hebat dan perbezaan peratus setiap kumpulan sangat sengit. Sesiapa yang tak ‘perform’ pasti akan terkeluar nanti,” katanya yang memberitahu peserta dikehendaki membuat dua persembahan.


Shuib akhirnya puas

Saingan MLM sebelum ini mengiktiraf Jepp dan Rahim daripada Sepahtu sebagai sebagai peserta paling menyerlah atau ‚man of the match‘. Kali ini tuah menyebelahi Shuib apabila diumumkan memenangi gelaran itu.

Bagaimanapun segelintir pihak melihat anugerah yang dimenangi ini berdasarkan rasa kasihan ramai pihak memandangkan Sepahtu menggunakan subjek ini dalam persembahan mereka.

Menjawab perkara ini Shuib berkata, dalam berlawak apa saja bahan boleh digunakan asalkan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Dalam berlawak, kita tak perlu ajar untuk faham. Apa saja bahan yang berguna, saya akan gunakan. Tak salah untuk guna ‘point’ berkenaan isu kereta yang dimenangi dan ‘man of the match’. Saya tahu kemenangan saya akan dikaitkan dengan perkara ini.

“Sebelum ini pun ada yang tanya saya juga. Saya sendiri tak pasti sama ada kemenangan ini kerana dasar simpati atau apa. Cuma yang diharapkan dengan adanya anugerah ini, saya dan anggota Sepahtu akan buat yang terbaik untuk persembahan seterusnya,” katanya.

Sememangnya persembahan setiap peserta malam itu boleh dianggap menghiburkan. Paling mencuit hati ialah persembahan Jambu yang mengenakan barisan juri termasuk Datuk Yusof Haslam sebagai pemandu. Biarpun dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak, Yusof mengakui tidak ambil hati.

“Ini adalah program lawak dan kita tak boleh emosi. Jambu sangat bijak berlawak dan saya sudah dapat agak mereka akan kenakan saya. Sebagai juri saya tak ambil serius perkara ini. Ia bukan bawa maksud saya dihina. Ia konsep lawak yang bijak dan boleh digunakan dalam berlawak.

“Saya sebenarnya rasa seronok apabila terbabit dalam program ini kerana dapat lepaskan tekanan. Ramai yang sebelum­nya ingat saya serius tapi rupanya tidak. Tak dinafikan populariti saya juga meningkat sejak terbabit dalam MLM sehingga ke mana-mana pun orang menegur,” katanya.

Terus kekal bersaing pada minggu depan ialah Shiro, Sepahtu, Jambu, Bocey dan Nabil.

Sumber: Harian Metro 

Larikan wang tunai RM3.3 juta

Kuala Selangor - 28 Jan: Empat pen jenayah melarikan wang tunai RM3.3 juta daripada sebuah van keselamatan di sebuah stesen minyak di Ijok di sini, kira-kira 10 pagi tadi.

Sumber polis berkata, difahamkan, kejadian berlaku apabila sebuah van syarikat keselamatan berhenti di stesen minyak itu untuk memindahkan wang tunai ke ATM.
 

"Sebaik kenderaan itu berhenti, keempat-empat suspek yang sudah menunggu di stesen minyak berkenaan terus menyerbu dan melarikan van terbabit dengan membawa bersama empat pengawal keselamatan.
 

"Kenderaan itu dilarikan kira-kira 1 kilometer ke sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Makmur," katanya.

Menurut sumber, sebaik tiba di ladang kelapa sawit itu, empat penjenayah terbabit mula memindahkan sembilan beg berisi wang itu ke sebuah van lain sebelum membakar van syarikat keselamatan itu.



VAN keselamatan yang dirompak empat lelaki dan melarikan wang tunai RM3.3 juta.

Kesemua pengawal keselamatan terbabit ditinggalkan bersama van yang terbakar, katanya.

Katanya, dua daripada empat pengawal keselamatan mengalami kecederaan melecur pada anggota badan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.


Sumber: Harian Metro

Monday, January 27, 2014

Ya Hanana versi Melayu


Telah terbitnya cahaya purnama 
Menerangi malam gelita
Kelahiranmu Muhammad
Anugerah daripada ALLAH

Beruntunglah, Beruntunglah
Di utus Nabi Muhammad

Penghimpun segala rahsia
Tujuh Ayat Al-Fatihah
Tiada yang sama sepertimu
Dan dariNya wahyu untukmu

Terpisah bulan keranamu
Menggetarkan jiwa yang lesu
Umatmu menjadi kebangganmu
Terkenal serata dunia

Sungguh manis senyumanmu
Menawan hati yang rindu
Alangkah lembut belaianmu
Terasa hangat kasihmu

Selawat salam ke atasmu
Dan jua para ahlimu
Untuk kami syafaat kau beri
Luasnya tidak terperi

Sumber: Youtube

Wanita islam bertudung adalah penting bagi kebanyakan Islam di Singapura


SINGAPURA – Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata adalah penting bagi rakyat Singapura memperkukuh ikatan demi menjamin semua kaum dapat hidup selesa sebagai sebuah bangsa yang bersatu.

Semalam Lee mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh masyarakat dan agama, bersama beberapa orang Menteri dan Anggota Parlimen, membincangkan secara terus terang dan bermanfaat isu pemakaian tudung.

Lee berkata isu pemakaian tudung oleh wanita Muslim adalah perkara penting bagi kebanyakan orang Islam di Singapura.

“Saya memberitahu kumpulan berkenaan bahawa saya cukup memahami hasrat mereka untuk membenarkan wanita Muslim yang memakai uniform mengenakan tudung.

“Tetapi isu lebih besar jadi pertaruhan: Apakah bentuk masyarakat yang kita inginkan?,” kata beliau.

“Memang, keharmonian kaum yang kita nikmati tidak sempurna, ia sebenarnya lebih rapuh dan berharga dari apa yang kita sedari.

“Mari kita berusaha gigih untuk memperkukuhkannya supaya semua kaum boleh hidup bersama dengan selesa sebagai satu bangsa yang bersatu-padu,” kata beliau.

Sambil menyatakan bahawa Singapura adalah sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama yang harmoni, Lee berkata kaum minoriti sudah sebati dengan masyarakat lebih besar namun tetap memiliki peluang sepenuhnya untuk mengekalkan identiti dan mengamalkan agama masing-masing.

“Jadi saya sedar betapa gentingnya untuk memperkukuh ikatan kita bersama dan mengekalkan keyakinan dan kepercayaan yang mendatangkan manfaat untuk kita semua, lebih-lebih lagi kaum minoriti.

“Dalam isu tudung, keadaan yang kita lihat hari ini tidak akan kekal begini. Sikap akan berubah dan dikemaskini. Sepanjang sedekad lalu, ada kemajuan yang bertahap dalam isu ini.

“Kini, banyak badan berkanun membenarkan kakitangan mereka memakai tudung bersama pakaian seragam misalnya Lembaga Pengangkutan Darat (LTA), dan Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA).

“Dalam lima, 10 tahun lagi, saya yakin keadaan akan berubah, tidak seperti hari ini.

“Sebaiknya kita terus bergerak secara bertahap dan berhati-hati,” kata Lee. – Bernama


Sumber: Media Suara Insan

Mesej menyedihkan terakhir ayah kepada seorang anak di Facebook


Mesej menyedihkan terakhir ayah kepada seorang anak di FacebookSeorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian ‘OTHER’ di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.

Ditatap isinya,

“Salam.

Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.

Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.

Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?

Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, ‘Abah, abah, abah’. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.

Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.

Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.

Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?

Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.

Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.

Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.

Abah tak minta banyak…

Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.

Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.

Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.

Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.

Maafkan abah atas segalanya.”


Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.


Sumber: Media Suara Insan