Pages

Friday, May 2, 2014

KLIA2 Beroperasi Secara Rasmi



SEPANG: Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) memulakan operasinya secara rasmi dengan pendaratan pertama pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu kira-kira pukul 12.10 tengah malam Khamis.

Sementara itu penerbangan Cebu Pacific 5J502 ke Manila, Filipina menjadi pesawat pertama yang dijadual berlepas dari KLIA2 pada pukul 3.15 pagi Jumaat.

Seramai 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways.

Peristiwa bersejarah pembukaan mercu tanda baru negara itu turut disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu disembur dengan air sebagai simbolik ketibaan di KLIA2.
Ab Aziz berkata pendaratan pertama pesawat Malindo Air itu membuktikan keselamatan KLIA2 berada pada tahap yang terbaik.

"Kita telah buktikan bahawa lapangan terbang ini selamat untuk mendarat," katanya di sini.

Terdahulu ketika pesawat Malindo dari Kota Kinabalu yang membawa 110 penumpang itu disembur dengan air sebagai simbolik ketibaannya.

Bermula 2 Mei, selain Malindo Air tiga lagi syarikat penerbangan yang memulakan operasi masing-masing di KLIA2 ialah Cebu Pacific Airways, Lion Air dan Tiger Air.

Selain itu syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dijadual beroperasi di KLIA2 bermula 9 Mei ini.

Terminal KLIA2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Sementara itu MAHB dalam kenyataan berkata, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan KLIA2 setiap hari dan jumlah itu akan mencecah sehingga 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini.

Sumber: mstar.com.my

Misha & Firos Selamat Bergelar Suami Isteri

Misha dan Firos kini sah suami isteri.
KOTA BAHRU: Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar selamat bergelar isteri kepada juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Firos Ezzwan Rossly, 32, dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Renaissanse di sini, Jumaat.

Akad nikah itu disempurnakan oleh abang kepada Misha, Mohd Rose Omar dan disaksikan oleh Imam Mukim Chempaka iaitu Ahmad Kamil Mat kira-kira pukul 9.30 pagi.


Misha bersama pengapit-pengapitnya yang antaranya ialah Dina, Jaclyn dan Fara Fauzana.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan wakil media.

Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 32, menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas manakala tiada wang hantaran disediakan.

Acara tersebut diacarakan oleh Adibah Noor mankala Dina Nadzir, Jaclyn Victor dan Fara Fauzana bertindak sebagai pengapit pengantin perempuan.

Sebelum upacara pernikahan bermula, Ahmad Kamil terdahulu menyampaikan khutbah perkahwinan secara santai. Ahmad Kamil sempat menggelar Firos sebagai 'Abang Ultraman' yang mengundang hilai tawa dikalangan hadirin.

Pasangan pengantin bersama rakan-rakan artis.
Dalam pada itu, Misha dan Firos ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah berkata, mereka bersyukur dan gembira apabila telah selamat disatukan sebagai suami isteri dan berharap semua peminat mendoakan kebahagian mereka sehingga ke akhir hayat.

Firos dan Misha  akhirnya disatukan.
Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam Jumaat(malam ini) di hotel sama untuk keluarga perempuan manakala pihak lelaki memilih 12 Mei ini untuk meraikan pasangan itu di Hotel Concorde Kuala Lumpur.

Terdahulu Misha sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Februari lalu namun ia terpaksa ditangguhkan bagi menghormati kematian ayahnya, Omar Ismail pada30 November tahun lalu.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada Februari 2012.

Kredit foto: Wearethejoezakaria

Sumber: mstar.com.my

Spider-Man 2: Peminat Cuba Pecah Rekod Pakai Kostum Tonton Filem

Spidey mania: Peminat Spider-Man bergambar semasa cubaan untuk memecah rekod bagi "Himpunan Terbesar bagi Orang Berpakaian Seperti Spider-Man' di pawagam TGV di Gurney Paragon Mall di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Pengaruh Spider-Man benar-benar memberi semangat kepada peminat filem itu apabila mereka berpakaian kostum adiwira berwarna biru dan merah ketika menonton filem sekuel Spider-Man.

Para penonton filem yang lain di pawagam dikejutkan dengan sekumpulan 342 orang, termasuk seorang wanita berusia 73 tahun, tiba pada majlis pra-tonton The Amazing Spider-Man 2: Rise of Electro pada Rabu dalam cubaan mereka untuk memecah rekod.

Kumpulan itu berbuat demikian untuk mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records and Guinness World Records kerana menghimpunkan sejumlah orang berpakaian Spider-Man.

Antara mereka adalah Clarence Ong, 41, isterinya, Wendy Ng dan anak-anak mereka, Josiah and Kayleigh Ong, masing-masing berusia enam dan tiga tahun.

"Anak-anak kami menyukai adiwira itu maka kami menyertai kumpulan ini. Kami gembira menjadi sebahagian daripada acara yang memecah rekod ini," kata Ng.

Satu lagi keluarga pada acara itu adalah pengurus audit dalaman, Neoh Ai Leen, 38, dan anak-anaknya, Teo Hui Ern, 9, dan Hui Yon, 6, serta ibunya, Fu Foon Ying, 73.

Neoh berkata, dia mahu mendedahkan ibunya kepada "sesuatu yang berbeza".

"Ini merupakan satu-satunya acara seumpamanya di Malaysia. Saya tidak pernah melihat begitu ramai orang berpakaian kostum untuk menonton sebuah filem. Peluang untuk memecahkan rekod dunia ini bukannya selalu. Kami semua teruja untuk menjadi sebahagian daripada acara yang bersejarah ini," katanya.

Acara sebagai cubaan untuk memecah rekod itu diadakan sempena pembukaan rasmi pawagam TGV di aras 8 pusat membeli-belah Gurney Paragon Mall.

Sumber: mstar.com.my

Bekalan air terawat di Lembah Klang belum cukup


KUALA LUMPUR - Kapasiti bekalan air terawat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak mencukupi bagi menampung sepenuhnya permintaan pengguna terutama pada waktu puncak.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Priscilla Alfred berkata rezab bekalan air terawat setakat ini di paras kurang daripada satu peratus.

"Oleh yang demikian, para pengguna disaran agar terus mengamalkan sikap berjimat cermat menggunakan air dan mengelakkan sebarang pembaziran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SYABAS memaklumkan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama, Ketiga serta Keempat telahpun ditamatkan seperti diarah kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam. - Bernama

Friday, April 25, 2014

Apek, tiga pekerja didenda RM2,500


PELAKON dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga pekerjanya masing-masing dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada 30 Sept tahun lepas.

Beliau turut memerintahkan kesemua tertuduh diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun.

Hakim Nurchaya bagaimanapun menolak permohonan kos pendakwaan oleh pihak perayu yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad.

Pada 30 September tahun lepas, Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid melepas dan membebaskan Saiful Apek, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 45, serta tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 31; Shaiful Baharom, 27; dan Noremy Mohamad, 31, daripada pertuduhan selepas berpuas hati pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret sama melepas dan membebaskan kesemua tertuduh tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini dan pada 22 Mei tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan kesemua tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan tersebut.

Saiful Apek, Shah Zainatull Ehsan, Shaiful dan Noremy didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan. - Bernama