Pages

Monday, January 14, 2013

Kalimah Allah Tidak Boleh Diterjemah Ke Dalam Mana-Mana Bahasa - Majlis Syura PAS

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah ini.
"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehedak sebenar," kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam Ahad.
Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru tindakan tersebut perlulah ditegah.
"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya.
"Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut.
"Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, Nik Aziz dan Haron Din sepakat menegaskan kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam menyebutnya.
"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.
Mesyuarat Majlis Syura PAS yang bersidang pada malam Ahad, diadakan khas bagi membincangkan mengenai isu kalimah Allah dan Amanat Hadi pada malam Ahad bermula pada pukul 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Pemimpin PAS dan ahli Majlis Syura yang hadir bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan sebaliknya hanya kenyataan media sahaja diedarkan kepada kira-kira 20 wartawan yang menunggu.
Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh disalah guna untuk kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam.
Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.
Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.
Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.
Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi PAS sendiri termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Haron Din, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyatakan pendirian tegas mereka, tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut bukan Islam.
Dalam perkembangan lain, Majlis Syura PAS turut mendesak kerajaan supaya membenarkan Abdul Hadi menjelaskan mengenai isu 'Amanat Hadi' dan ia perlu disiarkan secara langsung selama satu jam di TV1 dan TV3.
Sumber: mstar.com.my

RM50,000 Lesap Dalam Akaun Bank Lisa Surihani

Lisa Surihani

KUALA LUMPUR: Wang RM50,000 milik pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.
Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat sebarang pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.
“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
 Sumber: mstar.com.my

Harga Tol Kesas Turun Antara 10 Dan 40 Sen

PETALING JAYA: Kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) diturunkan antara 10 sen dan 40 sen berkuatkuasa selepas tengah malam ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pada Isnin.
Kadar tol untuk Kelas 1 iaitu bagi kereta biasa diturunkan sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.20 kepada RM2.
Bagi kenderaan Kelas 2 iaitu dua gandar atau enam tayar (kecuali bas) akan menikmati pengurangan tol sebanyak 30 sen (dari RM3.30 kepada RM3), Kelas 3 iaitu kenderaan 3 gandar atau lebih sebanyak 40 sen (dari RM4.40 kepada RM4), Kelas 4 iaitu teksi sebanyak 10 sen (dari RM1.10 kepada RM1) manakala Kelas 5 iaitu bas akan menikmati pengurangan 20 sen (dari RM1.70 kepada RM1.50).
"Sebanyak 298,000 pengguna lebuh raya (kadar sehari) ini akan menikmati kadar penurunan itu dan ia tidak akan naik sehingga tahun 2016," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan pusingan U bertingkat di KM 37.5 Lebuhraya Kesas di sini.
Lebuhraya Kesas sepanjang 34.5 km adalah lebuh raya ekspres perbandaran yang menghubungkan antara Sri Petaling di Kuala Lumpur dan Pandamaran di Klang.
Shaziman berkata penurunan yang merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula kadar tol Lebuhraya Kesas kendalian Kesas Sdn Bhd itu akan memberi kesan positif kepada penduduk di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang dan kawasan sekitar.
Beliau berkata kadar tol Lebuhraya Kesas sepatutnya naik sehingga RM3 (bagi kenderaan Kelas 1) pada Januari 2012 tetapi atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara itu tidak dilaksana kerana kenaikan itu akan menjejaskan kehidupan rakyat biasa.
"...kerana kenaikan sehingga RM3 itu ditangguh, kerajaan terpaksa membayar RM86 juta kepada syarikat konsesi iaitu 80 sen untuk setiap kenderaan pada tahun 2012," katanya.
Beliau berkata sejak Najib menerajui kepimpinan negara, beberapa lebuh raya menstruktur semula kadar tol, antaranya Projek Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Cheras-Kajang yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Grand Saga manakaka plaza tol di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) di tutup terus.
"Kerajaan akan terus berbincang dan menyakinkan syarikat konsensi mana-mana lebuh raya untuk menstruktur semula kadar tol mereka selepas kajian mengenai tambahan trafik sesebuah lebuh raya itu dibuat," katanya.
Sementara itu, Shaziman meminta syarikat konsesi Lebuhraya Kesas menyiapkan pembinaan pusingan U bertingkat di kawasan USJ Summit lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan iaitu Mac 2014 bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
"Projek pusingan U bertingkat itu dibuat untuk melegakan kesesakan lebuh raya yang kini mencecah sehingga 9,500 kenderaan satu jam pada waktu puncak. Atas dasar keprihatinan kerajaan, kami mengeluarkan peruntukan RM25 juta untuk projek itu pada Oktober 2011," katanya. BERNAMA

Friday, January 11, 2013

KWSP dan KWAP rugi besar jika saham FGV terus menjunam


KUALA LUMPUR, 11 Jan — PKR mendakwa hari ini mendakwa dua tabung pencen negara berhadapan kerugian atas kertas yang dijangka bernilai jutaan ringgit jika harga saham Felda Global Venture Holding (FGV) terus menjunam di bawah tahap yang diramalkan oleh penganalisis pasaran.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) memegang saham yang besar dalam syarikat perladangan gergasi tersebut, namun kebelakangan ini sahamnya mengalami kemerosotan selepas mencatat pencapaian tertinggi pada RM5.55 seunit.
Saham FGV merekodkan kejatuhan mendadak dibawah harga penyenaraiannya iaitu pada RM4.55, namun ia kekal sekitar lingkungan paras RM4.60 untuk tempoh beberapa bulan lalu.
Ketua Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR Wong Chen memberikan senario kes kerugian atas kerta berdasarkan pengiraan oleh Bloomberg mengenai harga saham FGV disasarkan secara purata oleh penganalisis pasaran.
“Harga sasaran purata semasa oleh penganalisis pasaran untuk FGV ialah RM4.19. Jika berterusan jatuh pada tahap itu, KWSP dan KWAP akan kehilangan rugi atas kertas sekitar RM146 juta dan RM129 juta serentak.”
Beliau turut membentangkan senario kes paling buruk akan berlaku berdasarkan analisis oleh Penyelidik Alliance yang mensasarkan RM3.53 untuk saham FGV dengan menambah bahawa KWSP dan KWAP mungkin mengalami kerugian atas kertas RM327 juta dan RM295 juta serentak.
Dalam sidang media awalnya, Wong memberitahu bahawa KWSP dan KWAP telah pun mengalami kerugian atas kerta sebanyak RM40 juta dan RM35 juta serentak berdasarkan pertukaran saham FGV dalam tempoh enam bulan lalu dan harga semasa RM4.60.
Beliau berkata KWSP pada 29 Jun hingga 4 Januari tahun lalu telah membelanjakan sejumlah RM455 juta untuk membeli 90 juta unit saham pada harga purata RM5.05, selain memiliki pegangan saham asal sebanyak 185 juta saham.
Wong menambah dengan mengganggarkan KWAP dalam tempoh sama telah menggunakan sebanyak RM305 juta untuk membeli 59 juta saham pada purata harga anggaran RM5.19 bertujuan meningkatkan pegangan asalnya 194 juta saham.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan ketua pembangkang sebelum ini turut mendakwa bahawa KWSP dan KWAP telah digunakan untuk menstabilkan harga saham FGV.
Peneroka yang dianggap sebagai simpanan undi tetap bagi kerajaan pemerintah Barisan Nasional juga adalah pemegang saham dalam FGV.
Wong hari ini menggesa KWSP dan KWAP tampil menjelaskan alasan mereka meneruskan pembelian saham FGVH walaupun rata-rata penganalisis menyatakan pendapat yang berbeza sejak Ogos lalu.
“KEADILAN percaya bahawa pemegang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui pembelian ini, dimana sesetengah mereka berpendapat langkah itu bertentangan dengan cadangan dan pendapat penganalisis dan mempunyai motif politik.
“Oleh sebab itu, KEADILAN menggesa KWSP dan KWAP menjawab persoalan ini: adakah kamu pernah menerima sebarang arahan terbuka atau tertutup daripada kerajaan ataupun ahli politik untuk membeli dan menyokong harga saham FGV,” kata beliau.
Beliau walaubagaimanapun tidak bersetuju langkah ini adalah cubaan menyelamatkan FGVH sambil menegaskan syarikat tersebut sebagai bernilai.
Wong menekankan bahawa KWSP dan KWAP tidak perlu membeli saham FGVH tersebut semasa ia sedang merosot sejak beberapa bulan lalu jika mereka mengejar pendekatan jangka masa panjang terhadap saham syarikat tersebut.
“Kamu beli apabila harga sudah stabil. Itu adalah strategi jangka panjang,” ujar beliau.
Pada September lalu, KWSP memberikan alasan pembelian saham FGVH adalah kerana ia semakin berkembang dan terdapat hasil positif daripada sektor perladangan, dimana salah satu sektor kitarannya mempunyai naik dan turun.
Sumber: http://my.news.yahoo.com/kwsp-dan-kwap-rugi-besar-jika-saham-fgv-090147326.html

Toyota dijangka ambil alih kedudukan Proton

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Pada satu ketika, empat daripada setiap lima kereta yang dijual di Malaysia adalah Proton, namun pengeluar kereta tempatan itu berkemungkinan jatuh ke tangga ketiga dari segi jualan dibelakang Toyota dan Perodua — pembuat kereta nasional kedua negara, yang menduduki kedudukan tinggi sejak lebih dari enam tahun.
Sumber dalaman industri berkata kepada akhbar The Edge, dalam artikel yang disiarkan hari ini, penjualan Proton menurun pada Disember 2012, apabila hanya 17.7 peratus jualan, sedangkan Toyota menghampiri 17.1 peratus penjulan kereta penumpang di negara ini.
“Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd) mendahului pasaran, sedangkan Proton sejak penghujung tahun lalu menduduki tangga kedua. Namun sekarang Toyota semakin menghampiri kedudukan Proton,” kata sumber industri dipetik dari The Edge.
Proton dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, melalui syarikatnya DRB-Hicom.
Sumber tersebut berkata, penjualan Proton jatuh lebih 11 peratus kepada 140,000 units daripada 158,000 unit tahun sebelum ini, daripada sasaran syarikat itu sebanyak 200,000 unit.
Kadar jualan hanya akan diumumkan dalam beberapa minggu, namun sumber industri itu berkata Toyota semakin hampir mengatasi kedudukan Proton dari segi jualan pada Disember.
Proton diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 dan menjadi anak emas kepada polisi perindustrian beliau.
Dr Mahathir menjadikan pembelian kereta Proton seolah patriotik, namun syarikat itu menunjukkan penurunan sejak beberapa dekad berikutan peningkatan liberalisasi dalam pasaran Malaysia.
Kebanyakan rakyat Malaysia merasakan mereka dipaksa membeli Proton pada harga yang murah dan lebih berkemampuan berbanding kereta asing yang dikenakan cukai yang terlalu tinggi.
Menurut The Edge, tanpa model baru, Proton akan terus berada dalam tekanan tahun ini.
Bagi tahun 2013 Proton hanya mengeluarkan satu model baru sahaja.
Sumber : http://my.news.yahoo.com/toyota-dijangka-ambil-alih-kedudukan-proton-040803934.html