Pages

Sunday, February 23, 2014

Siasatan 'terowong' di peringkat akhir


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum dapat membuat sebarang ketetapan bagi mengeluarkan sebarang surat pertuduhan berhubung kontroversi di terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu.

Bagaimanapun FAM menjelaskan, siasatan kejadian tersebut sudah masuk ke peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan, Sekretariat FAM akan membuat penelitian sebelum membuat sebarang ketetapan.

“Kita juga akan teliti perkembangan siasatan polis dan pihak Sekretariat juga sedang melakukan perkara yang sama sebelum membuat sebarang ketetapan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu perkara itu akan dimaklumkan dalam tempoh waktu terdekat.

Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team ditangguhkan selepas The Titans enggan meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan berikutan dakwaan tercetusnya pergaduhan antara kedua-dua pasukan di lorong menuju ke bilik persalinan, selepas tamat separuh masa pertama.

Dua hari kemudian, pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden tersebut.

Ketua jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru Selatan bagi mempertahankan pasukannya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) pula memutuskan JDT diberikan kemenangan, 3-0 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Keputusan itu diambil berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

Sumber: sinarharian.com.my

Saturday, February 22, 2014

Kesal dengan perkhidmatan Airasia

Kuala Lumpur: Tiada tolak ansur dan langsung tidak berjiwa masyarakat selain tidak berhati perut dengan hanya mengaut keuntungan semata-mata yang dapat menyifatkan rasa tidak berpuashati sekumpulan pelajar Institut Pengajian Tinggi terhadap syarikat penerbangan tambang murah Air Asia.

Perkara itu disebut sebaik sekumpulan pelajar tersebut berjaya pulang sejurus lawatan mereka ke Medan, Indonesia dengan menggunakan perkhidmatan penerbangan tambang murah Air Asia dekat sini, LCCT kelmarin.

Jelas mereka, penerbangan mereka ke Medan pada 12 Februari yang lalu tergendala seketika apabila kelewatan yang hanya seminit dijadikan alasan untuk tidak membenarkan mereka melepasi pintu untuk menaiki pesawat AK1350 yang dijadualkan berlepas pada jam 7.45 pagi waktu Malaysia.

Tambah mereka lagi, pintu penerbangan tersebut ditutup dihadapan mereka ketika sebahagian darinya berjaya melepasi pintu tersebut dan pegawai bertanggungjawab langsung tidak memberikan budi bicara dan tolak ansur untuk membenarkan sebahagian yang lain menaiki pesawat.

Menurut mereka seramai 15 penumpang gagal menaiki pesawat atas alasan yang sama dan dinasihatkan pegawai yang menjaga pintu berkenaan untuk membeli tiket perjalanan seterusnya pada jam 1.50 petang.

“Mereka langsung tidak bertolak ansur, kata mereka tak nak ganggu jadual perjalanan..tapi kami masih menghubungi kawan yang berjaya menaiki pesawat dan mereka cakap pesawat sehingga jam 7.55 pagi pun masih belum berlepas.

Kumpulan pelajar tersebut yang kemudiannya akur dengan tindakan tidak bertimbang rasa tersebut mengambil keputusan untuk menaiki penerbangan seterusnya. Kini, lain pula ceritanya apabila mereka menyedari bahawa mereka tidak boleh mengurangkan harga tambang yang baru daripada penerbangan sebelumnya.

“Mereka kata tiket kami tiket promosi dan kami perlu bayar penuh kerana tak boleh buat pengurangan harga tiket daripada tiket sebelumnya.

Akur dengan kenyataan tersebut, kumpulan pelajar itu terpaksa mengeluarkan duit mereka sendiri bagi menampung kos penerbangan seterusnya yang menelan belanja sebanyak RM200 setiap seorang tidak termasuk bagasi tambahan.

Namun, kekecewaan pelajar tersebut tidak berakhir begitu sahaja apabila menyedari bahawa beg mereka tersalah tagging selain mendapati bahawa beg rakan mereka yang berjaya melepasi pintu penerbangan turut dihantarkan ke bahagian lost and found.

Setelah berbincang dengan pegawai di kaunter khidmat pelanggan Air Asia, mereka dikejutkan bahawa bayaran bagasi terdahulu tidak boleh dikehadapankan bagi penerbangan seterusnya selain mereka terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menampung kos bagasi tersebut.

Pelajar pelajar tersebut ketika ditemui wartawan UNC sempat mencadangkan agar semua mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi menjadikan Air Asia sebagai perkhidmatan penerbangan pilihan terakhir memandangkan syarikat itu yang semakin teguh dilihat semakin angkuh dan tidak bertimbang rasa.

Sumber: suarainsan.net

Tiket Percuma AirAsia

Ahli AirAsia Big Shots mendapat akses ke jualan eksklusif 24 jam awal. Manakala bukan ahli boleh membuat tempahan bermula pada 24 Feb 2014

Tarikh Tempahan: 23 Februari - 2 Mar 2014

Tarikh Penerbangan: 1 Oct 2014 - 30 Apr 2015




Tuesday, February 18, 2014

Gadis Sikh Tak Mahu Lagi Cukur Jambang


BAYANGKAN anda seorang wanita yang ditumbuhi janggut dan jambang sama seperti lelaki.

Adakah anda mampu melalui ‘keanehan’ ini tanpa rasa malu seperti Harnaam Kaur, 23, yang berasal dari Slough, Berkhshire ini?

Dilahirkan normal, Kaur mula ditumbuhi jambang seawal usia 11 tahun lagi.

Mengakui pernah berasa tertekan akibat diejek rakan-rakan, dia mencuba pelbagai cara untuk menghilangkan jambang tersebut termasuklah dengan mencabut dan melunturkan warnanya.

“Saya dibuli dengan teruk. Di sekolah, mereka memanggil saya ‘Si Jambang’ dan ‘pondan’,” katanya.

Bagaimanapun, selepas dibaptiskan sebagai Sikh pada usia 16 tahun, dia berhenti membuang jambang tersebut biarpun ia sudah mula merebak hingga ke dadanya.

Ini kerana, agama tersebut melarang mereka daripada mencabut atau memotong sebarang rambut yang terdapat pada tubuh.

“Saya tak akan lakukannya lagi kerana Tuhan sudah menciptakan saya sebegini. Saya rasa lebih feminim dan seksi sekarang.

“Saya cuba untuk mencintai diri saya dan tiada apa yang dapat menggoyahkan saya kini,” ujarnya.

Tambah Kaur lagi, abangnya merupakan penyokong utama keputusannya dan berkata dia tetap cantik dengan jambang tersebut.



Bagaimanapun, ia menimbulkan kebimbangan ibu-bapanya yang khuatir jika anak mereka tidak dapat berkahwin dan mendapat pekerjaan akibat jambangnya itu.

Dengan keyakinan itu, Kaur yang kini seorang pembantu pengajar di sebuah sekolah tidak lagi teragak-agak untuk melakukan aktiviti yang biasa dilakukan oleh gadis lain seperti membeli-belah dan bersiar-siar.



“Saya harap gadis lain di luar sana dapat menemui kekuatan seperti yang saya ada sekarang. Jalanilah hidup yang anda mahukan kerana ia milik anda,” katanya.

Sumber: mynewshub.my

Sampai hati Ibu

Johor Bahru: “Saya tidak benci ibu walaupun dia pernah cuba menjual saya, tetapi sejak tiga tahun lalu saya terpaksa merahsiakan tempat tinggal dan aktiviti saya kerana tidak mahu fikiran saya bercelaru.

“Saya sentiasa berdoa supaya Allah SWT membuka hati ibu menerima keputusan saya menyambung pengajian bagi mencapai impian untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan,” kata seorang bekas pelatih projek perintis perlindungan kanak-kanak dikenali sebagai sebagai Mimi, 22, semalam.

Mimi berkata, dia terpaksa ‘menyembunyikan’ diri daripada ibunya kerana sejak Januari lalu wanita itu mahu dia berhenti belajar dan bekerja bagi menampung kehidupannya.

“Saya hanya mahu berjaya dalam hidup, saya mahu terus belajar dan mengubah hidup dan pastinya membantu ibu juga nanti,” katanya.


MIMI menunjukkan SMS daripada ibunya yang memintanya supaya menamatkan pengajian.

Menceritakan kisah hidupnya, Mimi berkata, dia berpisah dengan ibunya sejak 20 tahun lalu sebelum ditempatkan di beberapa pusat perlindungan JKM.

Sumber: hmetro.com.my