Pages

Tuesday, February 4, 2014

Jurulatih JDT buat laporan Polis


JOHOR BAHRU – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), César Ferrando Jiménez hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lepas.

Menurut peguamnya Datuk Baljit Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau merupakan mangsa dalam kejadian itu.

“Jiménez berkata beliau adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Menurut Baljit, Ferrando menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team telah bertindak menarik kolar bajunya manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.

“Kita akan lihat perkara ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah atau tohmahan mengenai perkara tersebut,” katanya.

Setiausaha Kehormat JDT Mohd Fahmy Yahya turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Semalam pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih Stefano Impagliazzo. – BERNAMA


Tarif baharu insurans kenderaan bermula 15 Februari 2014

Dengan objektif mahu mengimbangi kerugian yang ditanggung oleh syarikat insurans, pihak kerajaan telah berusaha menyemak tarif insurans premium secara berkala bermula pada tahun 2012 lalu. Di mana tarif insurans premium ini telah meningkat secara berperingkat pada tahun 2012 sehingga 2015 akan datang.

Pihak kerajaan mensasarkan untuk mengeluarkan rangka kerja bagi pelan pentakrifan insurans premium kenderaan pada tahun 2016 iaitu kadar premium akan bergantung pada jenis kenderaan, pemilikan dan juga perbezaan potensi kadar di antara syarikat insurans. Oleh sebab itu, peningkatan kadar insurans premium saban tahun dari tahun 2012 adalah bagi mengelakkan kadar pelan pentakrifan 2016 tidak terlalu mendadak.



Tarif baharu bagi tarif insurans premium bagi tahun 2014 ini telah pun dikeluarkan baru-baru ini dan efektif bermula 15 Februari akan datang.




Berikutan kadar kenaikan tarif insurans premium ini, pastinya ia turut mempengaruhi peningkatan kos sara hidup pemilik kenderaan termasuklah jika terpaksa menggunakan perkhidmatan trak tunda sekiranya kenderaan mengalami kerosakan atau pun kemalangan.

Sumber: infokereta.com

Kebakaran tidak jejas tarikan ke i-City


SHAH ALAM - Pihak pengurusan i-City yakin ketibaan pelancong ke taman tema digital itu tidak akan terjejas sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 berikutan kebakaran yang berlaku di muzium lilin The Red Carpet pada Rabu lepas yang disebabkan perbuatan khianat.

Timbalan Pengerusi I-Berhad, pemaju i-City, Datuk Eu Hong Chew berkata kerja-kerja mengganti dan membina semula 10 buah patung lilin yang musnah akibat kebakaran itu sedang giat dijalankan dan dijangka dapat dibuka semula untuk orang ramai dalam masa dua bulan lagi.

"Walaupun kejadian kebakaran itu mengakibatkan kami kerugian jutaan ringgit, namun kita akan tetap bekerjasama dengan pihak Tourism Malaysia untuk membuka semula muzium lilin yang merupakan satu produk ikon yang dipromosi kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Kami percaya ketibaan pelancong ke i-City tidak akan terjejas berikutan insiden ini sebab i-City mempunyai tarikan lain seperti rumah salji dan taman tema yang  berpotensi besar untuk menarik pelancong," katanya kepada pemberita di i-City di sini hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di muzium itu menunjukkan tiga individu memasuki muzium itu melalui pintu masuk yang digunakan  pengawal keselamatan i-City dan bertindak membakar ruang pameran dan beberapa patung lilin di muzium itu.

Eu berkata patung lilin yang musnah antaranya ialah ikon antarabangsa seperti Mao Zedong, presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Tunku Abdul Rahman selain bintang selebriti termasuk Jackie Chan.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa kejadian itu berpunca daripada persaingan perniagaan dan menambah pihak i-City akan memperketat kawalan keselamatan di kesemua tarikannya dalam masa akan datang.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Selangor, Arshad Mustapa yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata pihaknya akan tetap membantu i-City mempromosi muzium The Red Carpet yang menempatkan 100 patung lilin yang merupakan sebahagian daripada ikon yang dipromosi di Selangor sempena TMM 2014.

Beliau berkata pihaknya akan turut memantau kerja-kerja pembaikan di muzium itu dan juga ketibaan pelancong ke situ setiap minggu. - Bernama


Sumber: sinarharian.com.my


Khairul Fahmi dapat anak perempuan


Kota Bharu: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, menyambut kelahiran bayi sulung menerusi perkahwinannya dengan Leuniey Natasha Nazri, 22, semalam.

Bayi perempuan seberat 2.75 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal di Hospital Pakar Perdana, di sini, kira-kira jam 3 petang.

Apek berkata, beliau bersyukur apabila bayinya selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah.

Katanya, ia sekali gus memberi semangat bagi menghadapi perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

“Saya bersyukur kerana bayi perempuan kami selamat dilahirkan dan berada dalam keadaan sihat.

“Ia memberi semangat kepada saya menghadapi perlawanan malam esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Disember 2012.


Sumber: hmetro.com.my


JDT jadi mangsa konspirasi?


ZAMAN kegemilangan sukan bola sepak tanah air pernah menyaksikan Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980.

Begitu hebat Malaysia pada waktu itu hinggakan pasukan bola sepak berstatus seperti dunia Jepun dan Korea Selatan turut menggeruni pasukan ini di era tersebut.

Namun kemegahan itu tidak lama kerana selepas tiga abad berlalu, secara perlahan-lahan Jepun dan Korea Selatan meninggalkan Malaysia jauh ke belakang daripada segi kualiti, mutu dan gaya permainan.

Situasi itu kerana dua negara terbabit telah mengorak langkah menerapkan corak permainan moden dan profesional dalam liga masing-masing. Liga Jepun dan Korea Selatan berubah daripada budaya permainan yang semata-mata bergantung kepada aspek fizikal pemain kepada permainan penuh taktikal serta strategi.

Budaya Liga Malaysia pula kekal di takuk lama dengan mengamalkan budaya permainan kasar, bola melambung-lambung, menghantar terus bola bahagian atas untuk direbut beramai-ramai oleh pemain dengan harapan nasib menyebelahi.




Cukup menggelikan hati apabila pendokong bola sepak Malaysia yang mendakwa diri mereka pakar sukan bola sepak menyifatkan corak permainan `kuno' itu sebagai kelas dan hebat. Natijahnya, pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia seronok sendiri dalam liganya sendiri hingga tahun 2012 tanpa dunia mempedulikan.

Kemunculan JDT

 
Selepas bertahun-tahun BUDAYA permainan hambar diamalkan dalam liga Malaysia, tiba-tiba liga ini kembali mendapat perhatian antarabangsa gara-gara kemunculan JDT hasil penjenamaan semula dilakukan Tengku Mahkota Johor ke atas pasukan itu sejak tahun lalu.

Pasukan bola sepak selatan tanah air dengan jolokan Harimau Selatan itu dilihat serius mahu membawa pembaharuan dalam liga Malaysia bagi mempertingkatkan martabat kekampungan liga Malaysia kepada martabat profesional dan moden.

Pelaburan jutaan ringit dibuat sejak tahun lalu untuk memastikan hasrat itu tercapai dengan mengubah infrastruktur Stadium Larkin supaya menjadi stadium pertama di Malaysia mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

JDT turut menjadi pasukan pertama di Malaysia berjaya menarik pemain profesional bertaraf antarabangsa iaitu Pablo Aimar (kiri) dan Luciano Figueroa Pablo Aimar selain mengumpulkan pemain-pemain ternama tanah air dibawah satu bumbung pada musim ini.

Pengurusan JDT yang diketuai Tengku Mahkota Johor pastinya berhasrat kemahiran dan corak permainan profesional Aimar dan Figueroa kelak mempengaruhi corak permainan pemain tempatan apabila mereka bermain bersama-sama dalam sebuah pasukan.

Bagaimanapun, akibat gara-gara tidak mendapat sokongan badan berkepentingan dalam industri sukan bola sepak tanah air iaitu FAM dan pihak media, pasukan JDT berhadapan laluan sukar merealisasikan hasrat murni tersebut.

Cukup ketara FAM bersikap dingin ke atas pasukan JDT dan sering membuat keputusan tidak menyebelahi pasukan itu dengan insiden paling ketara pada perlawanan di Pahang tahun lalu yang menyaksikan penyokong JDT dicederakan dengan batu tetapi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor 2012 (PBNJ) pula dipersalahkan dan didenda.

Lebih teruk pada musim ini, FAM dengan jelas enggan memastikan mutu pengadilan yang baik dan adil dalam setiap perlawanan membabitkan JDT - seolah-olah memberi `license' atau `green light' kepada setiap pasukan lawan untuk mengasari dan mencederakan pemain JDT.

Keputusan berat sebelah dan tidak profesional pengadil menyukarkan pemain JDT mempamerkan permainan gaya profesional dan moden sepanjang 90 minit perlawanan sedangkan corak permainan profesional mendambakan mutu pengadilan yang profesional.



Malah, pemain profesional dunia seperti Aimar turut mempersoalkan perkara itu hingga mendapat liputan meluas media luar negara - berdasarkan peraturan Fifa pengadil dikehendaki melindungi pemain bertaraf bintang kerana mereka golongan berisiko dianiaya atau dicederakan di atas padang. Itu tidak berlaku dalam liga Malaysia.

Semalam sekali lagi menyaksikan pasukan JDT dianiaya apabila pasukan lawan dengan sengaja enggan meneruskan perlawanan di Stadium Larkin selepas menyedari penguasaan penuh JDT dalam perlawanan terbabit sewaktu JDT mendahului mereka 2-1.

Dakwa pasukan lawan, berlaku pertelingkahan antara jurulatih dan mereka enggan meneruskan permainan disebabkan hal itu - cukup remeh alasan tersebut kerana pertelingkahan mulut antara jurulatih mahupun pemain sewaktu perlawanan lumrah dalam permainan bola sepak di seluruh dunia.

Berdasarkan peraturan Fifa, JDT perlu mendapat KEMENANGAN PERCUMA memandangkan pasukan lawan menarik diri semasa permainan berlangsung.

Malangnya, Komissioner Perlawanan, Zainal Mukri dengan bersahaja memaklumkan bahawa perlawanan itu cuma ditangguhkan. Jelas FAM mahu membantu mengelakkan pasukan lawan tumpas kepada JDT malam semalam.

Desas-desus mula tersebar tentang teori konspirasi untuk memastikan JDT kecundang teruk pada persaingan tahun ini bagi mengaibkan usaha TMJ berikutan bimbang dengan pemilihan pucuk kepimpinan FAM pada tahun ini.

Sudah tiba masa Menteri Belia dan Sukan memantau dan menangani perkembangan negatif ini kerana usaha JDT mewujudkan budaya permainan bertaraf antarabangsa dan moden di Malaysia pasti terhalang sekiranya isu iri hati dan hasad dengki ini tidak diatasi segera.

Penulis difahamkan kebanyakan wartawan sukan di Malaysia pula amat fanatik terhadap pasukan negeri masing-masing dan terlalu bimbang kemunculan JDT menggugat peluang pasukan kesayangan mereka menguasai Liga Malaysia.

Sikap tidak profesional wartawan sukan Malaysia terbukti melalui beberapa insiden berlebihan seperti kenyataan-kenyataan berbaur provokasi yang sering dilemparkan oleh pengulas sukan bagi memburuk-burukkan kredibiliti TMJ dan pasukan itu.

Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan peribadi ramai wartawan sukan melalui akaun Facebook mereka yang terus menerus memperlekehkan dan mempertikaikan TMJ dan sebarang perkara yang membabitkan pasukan itu.

Laporan akhbar pula memutar belit kenyataan pengurusan JDT dan menyiarkan artikel bagi niat memberi imej buruk kepada pasukan itu.

Kini semua pihak menunggu keputusan FAM berhubung tindakan pasukan lawan JDT menarik diri semasa perlawanan sedang berlangsung di Stadium Larkin semalam.

Namun, penulis yakin keputusan itu nanti sekali lagi tidak menyebelahi JDT - Nasib JDT kerana jadi mangsa konspirasi dan iri hati.

NOTA: Artikel ini pandangan peribadi penulis daripada Melaka. - Kredit: Abangwan OK

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Ceritera Kini.


Sumber: sinarharian.com.my, southerntigers.com.my, mesrafotografi

Artikel Berkaitan
PBNJ sedia beri kerjasama
JDT lwn T-Team - FAM diminta tidak berat sebelah
PBNJ tidak puas hati 
PBSNT kecewa insiden di Larkin
Piala FA 2014 Gelora di Larkin JDT lwn T-Team
Ngauman Harimau Selatan