Pages

Monday, January 13, 2014

TRW laung amaran



Kota Bharu: Jurulatih Kelantan, Steve Darby mengakui sudah menemui kombinasi pemain terbaik selepas berjaya menewaskan pasukan kelab dari Thailand, Phattalung FC 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Darby tidak menafikan kehebatan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang berjaya meledak hatrik malah mempamerkan gandingan mantap dengan penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani yang turut menyumbang satu jaringan.

Beliau berkata, kombinasi pemain terbaik yang dimaksudkan tidak diukur melalui keputusan perlawanan sebaliknya melihat keserasian yang dipamerkan pemain malah menyifatkan anak didiknya sudah bersedia untuk menghadapi saingan sebenar musim ini.

Katanya, gandingan mantap yang dipamerkan Ghaddar dan Ahmad Fakri meyakinkan jurulatih berusia 58 tahun dari England itu untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai pencabar kuat musim ini.

“Pemain begitu cemerlang malam ini (kelmarin) malah Ghaddar dan Ahmad Fakri begitu serasi berada di barisan hadapan apabila masing-masing mampu menjaringkan gol.

“Mereka juga menunjukkan kesungguhan dan mengawal posisi masing-masing dengan baik sekali gus memberi keyakinan kepada saya membina satu kombinasi pemain terbaik,” katanya.

Bagaimanapun pada perlawanan itu, seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Perlis 6 Januari lalu.

Darby berkata, selain berharap Forkey Doe cepat pulih, beliau juga memuji pemain pertahanan import, Obinna Nwaneri yang beraksi cemerlang di posisinya meskipun baru bersama pasukan selepas bercuti panjang kerana isterinya sakit.

“Forkey Doe mengalami sedikit kecederaan dan saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya. Nwaneri pula membuktikan prestasinya tidak terjejas meskipun bercuti panjang sebelum ini,” katanya.

Sumber: hmetro.com.my

Kesebelasan utama JDT dikenal pasti

Johor Bahru: Selepas mengharungi lima perlawanan persahabatan kompetitif, jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Cesar Ferrando Jiminez mengesahkan sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang akan membawa cabaran saingan Liga Super musim ini.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, barisan kesebelasan utama mantap akan membawa cabaran pada aksi pertama berdepan Perak di Stadium Larkin, Sabtu ini dan pastinya taruhan terletak kepada sentuhan `magis’ bintang Argentina, Pablo Aimar untuk mengemudi jentera tengah skuad Harimau Selatan. 
Pada aksi terakhir persahabatan menentang juara Piala Singapura, Home United, kelmarin, yang berkesudahan seri 2-2, anak didik Jiminez memperagakan corak permainan bertenaga biarpun kesebelasan pemain yang diturunkan di anggap barisan kedua pasukan itu. 

“Saya tidak menurunkan pemain utama pada babak pertama kerana mahu menilai tahap sebenar pemain yang jarang diturunkan pada perlawanan persahabatan sebelum ini dan mereka begitu konsisten walaupun adakalanya masih belum mantap sepenuhnya.
“Saya sudah ada senarai pemain utama yang akan memulakan saingan Liga Super dan misi utama Johor DT mahukan kemenangan pertama apabila beraksi di tempat sendiri. Saya tahu semua pemain sudah beri komitmen tinggi dan ia cukup membanggakan.
“Walaupun ada kelemahan namun bagi saya ia tidak ketara kerana semuanya mampu diatasi pada sesi latihan yang menerapkan corak permainan berpasukan malah pemain sendiri tahu tugas yang harus mereka laksanakan,” katanya. 

Beliau menambah 29 pemain yang tersenarai mengharungi kempen Liga M adalah yang terbaik dan setiap pemain harus berada pada tahap memuaskan untuk bersedia diturunkan pada bila-bila masa. 

“Setiap pemain ada tanggungjawab yang dipikul, mereka perlu sentiasa bersedia kerana saya akan menurunkan siapa saja dalam pasukan itu mengikut kesesuaian corak permainan. Apa pun ada beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan dan saya sedang pantau tahap kecergasan mereka,” kata Jiminez.
sumber: hmetro.com.my

Apek bakal bergelar bapa akhir bulan ini

Pasir Puteh: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek teruja untuk bergelar bapa untuk kali pertama apabila dijangka menimang cahaya mata bersama pasangannya Leuniey Natasha Nazri, 22, pada akhir Januari ini.
Apek berkata, dia sudah melakukan pelbagai persiapan bersama Leuniey untuk menyambut kehadiran orang baru itu tidak lama lagi. 
“Insya-Allah, kalau tidak ada apa-apa dan aral melintang, Leuniey akan bersalin pada akhir bulan ini di Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu. 

“Kami gembira dan teruja menanti kehadiran anak sulung dengan segala persiapan termasuk persalinan dan pakaian bayi yang bakal digunakan pun sudah dibeli,” katanya.
Dia ditemui ketika sesi rehat minda bersama rakan sepasukan The Red Warriors (TRW) di Tok Aman Bali Resort, di sini, semalam.
sumber: hmetro.com.my

Lelaki ‘tetak’ 7 mesin ATM

Ipoh: Gara-gara berang apabila kad juruwang automatik (ATM) miliknya ditelan mesin ATM, seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertindak memecahkan tujuh mesin ATM menggunakan sebilah pisau di sebuah bank di pekan baru Menglembu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, lelaki berusia 34 tahun berasal dari Taman Pinji Mewah Lahat dekat sini, akhirnya diberkas polis di bank berkenaan.
Sumber polis berkata, lelaki berkenaan yang dalam keadaan mabuk pergi ke bank itu untuk mengeluarkan wang sebelum usahanya tidak berhasil menyebabkan dia marah lalu ‘mengamuk’ dengan memecahkan hampir semua skrin mesin ATM di premis itu. 

“Lelaki berkenaan dipercayai memasukkan nombor PIN sebanyak tiga kali untuk mengeluarkan wang di mesin berkenaan, tetapi usahanya itu gagal menyebabkan kadnya ditelan.
“Seorang pelanggan wanita yang turut melakukan urusan di sebuah mesin berkenaan melarikan diri ketika lelaki itu terus memecahkan mesin berkenaan sambil mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya
sumber: hmetro.com.my

Kamalanathan cedera ditumbuk

HULU SELANGOR: Kerana tidak puas hati dengan layanan diberikan terhadap bapanya, seorang lelaki bertindak menumbuk Timbalan Menteri Pelajaran P Kamalanathan hingga mengalami kecederaan di bahagian leher, di pejabatnya di sini, petang tadi.
Sebelum kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Kamalanathan dikatakan bertemu dengan bapa suspek yang meminta bantuannya untuk urusan memindahkan menantunya yang bertugas sebagai guru di selatan tanah air.
Bagaimanapun, setelah diterangkan yang beliau hanya mampu memberikan sokongan, bapa suspek bertindak merayu hingga menyatakan sanggup mencium kaki Timbalan Menteri terbabit. 

Terkejut dengan tindakan lelaki itu, Kamalanathan memintanya untuk beredar dari situ.
Beliau terus menghadiri perjumpaan lain di pejabatnya.
Sebaik tiba, beliau berjabat tangan dengan setiap ahli yang menghadiri perjumpaan berkenaan sebelum ditumbuk suspek yang kemudian menuduhnya menghalau bapanya siang tadi. 

Sehubungan itu, Kamalanathan terus membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Beruntung dekat Bukit Sentosa sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu. 

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan kejadian dan memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 324 kerana mendatangkan cedera.
Sumber: hmetro.com.my