Pages

Friday, January 17, 2014

Disembelih suami cemburu


  • Wanita maut di bilik tidur, lelaki kelar leher sendiri kritikal

Miri: Seorang suami dikatakan menyembelih isterinya sehingga mati sebelum mengelar lehernya sendiri dalam pergaduhan yang dipercayai bermula selepas lelaki itu menuduh wanita terbabit mempunyai kekasih dalam kejadian di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Kuala Suai, dekat sini, semalam.
Pergaduhan pasangan suami isteri warga Indonesia itu berakhir dengan tragedi apabila wanita berkenaan mati dipercayai akibat dikelar di leher menggunakan pisau buatan sendiri oleh suaminya kira-kira jam 3 pagi.

Salasiah Jamal, 35, berketurunan Bugis dari Makasar ditemui terbaring di bilik tidurnya dengan kecederaan di leher selain luka di tengkuk manakala suaminya, Tompok Nyarak, 39, dalam keadaan kritikal selepas mengelar lehernya sendiri.

Difahamkan, insiden terbabit disedari adik lelaki Salasiah yang terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan kakaknya meminta tolong dan dia pergi memeriksa terkejut mendapati pasangan itu terbaring berlumuran darah di dalam bilik.

Anggota Polis membawa lelaki terbabit ke hospital untuk rawatan lanjut

Penyelia ladang Hendra Jumalang berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan dikejutkan dengan kehadiran adik mangsa dikenali sebagai Agus, 21, mengetuk pintu rumahnya.

Katanya, Agus yang kelihatan ketakutan memaklumkan kejadian yang berlaku dan bagi mendapatkan kepastian, dia bersama beberapa pekerja lain bergegas ke bilik tidur pasangan berkenaan.

"Lampu bilik terpadam, saya terpaksa menggunakan lampu suruh untuk melihat keadaan bilik berkenaan sebelum terkejut mendapati pasangan terbabit tidak sedarkan diri dan berlumuran darah. Saya dan beberapa pekerja lain menyangkakan pasangan terbabit sudah mati dan segera menghubungi polis." katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, pengurus ladang yang enggan namanya disiarkan berkata, pasangan suami isteri berkenaan pernah berjumpa dengannya selepas lelaki terbabit mendakwa isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain pada awal Disember lalu.



Bagaimanapun, selepas diberikan nasihat pasangan suami isteri itu menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak lagi pernah mengadu mengenai perkara berkenaan.

"Mereka sudah bekerja di ladang ini sejak tiga tahun dan tidak mempunyai masalah disiplin" katanya.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat

Sumber: Harian Metro dan Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment