Pages

Saturday, April 5, 2014

Wanita New Zealand Pecah Rekod Dunia Tangkap Ikan Tuna Seberat 411kg Dengan Nilai Lelongan AS$2 Juta

Donna dengan hasil tangkapannya iaitu dipercayai satu rekod dunia.

  • Donna Pascoe, 56, berjaya memancing seekor ikan tuna sirip biru gergasi seberat 411.6kg
  • Dia bertarung lebih empat jam sebelum berjaya menaikkannya ke atas bot
  • Ikan itu dua kali ganda lebih berat daripada seekor anak gajah
  • Ia cukup untuk mengisi 1,769 tin tuna atau 511 hidangan tuna sashimi
  • Malangnya Donna tidak dibenarkan menjual ikan tersebut kerana ia tidak ditangkap di atas bot komersil
  • Dia kini sedang menunggu pengesahan bahawa tangkapan itu adalah rekod dunia daripada Persatuan Sukan Ikan Antarabangsa

Donna Pascoe, 56, bersama ikan tuna seberat 411.6kg yang berjaya ditangkapnya.

CAPE REINGA (New Zealand): Menurut nilai lelongan semasa, seekor ikan tuna sirip biru dengan berat melebihi 400kg boleh dijual di pasaran lelong sehingga AS$2 juta, juga cukup untuk dibuat 2,875 keping sandwich atau 1,769 tin tuna.

Malangnya, wanita yang berjaya mengalahkan ikan tuna gergasi itu, Donna Pascoe, (ketika sedang memancing di laut dalam berhampiran Pulau Tiga Raja di New Zealand) tidak dapat menjual hasil tangkapannya itu kerana undang-undang ketat New Zealand sepertimana juga Australia tidak membenarkan ikan yang ditangkap di luar bot nelayan komersil dijual beli dalam apa cara sekali pun.

Ia adalah untuk kegunaan sendiri sahaja iaitu untuk dimakan atau 'disedekahkan' percuma kepada sesiapa asalkan tidak diambil keuntungan daripada tangkapan tersebut.

Oleh yang demikian Donna berhasrat untuk mengawet tangkapannya itu dan digantung di dinding rumahnya nanti.

Menurut portal berita Mail Online yang melaporkan peristiwa bersejarah itu, Donna yang gemar menceburi sukan memancing terpaksa bertarung selama lebih empat jam sebelum dapat menaikkan ikan tuna sirip biru pasifik itu yang seberat 411.6kg.

Tangkapan itu kini dipercayai memecah rekod dunia sebagai ikan tuna paling besar dan berat yang pernah ditangkap menggunakan kail dan tali tangsi seberat 60lb.

Rekod sebelum ini disandang oleh ikan seberat 335kg.

Tahun lalu ikan tuna dari spesies yang sama seberat 200kg telah dijual di pasaran lelong di Jepun pada harga AS$1.09 juta.

"Saat tali tangsi saya bergerak dengan begitu laju sekali ia seolah-olah tersangkut pada gerabak kereta api," kata Donna, yang berasal dari Auckland, New Zealand.

Tanpa menyedari yang umpannya dibaham tuna gergasi, Donna dan empat rakan memancingnya yang lain bersilih ganti cuba menjinakkan ikan tersebut dan akhirnya mereka berjaya menaikkannya ke atas bot selepas empat jam bertarung separuh nyawa kerana ia terlalu besar dan berat.

Selepas empat jam 11 minit berhempas pulas, ikan tuna berjaya dinaikkan ke dalam bot.

Apabila dinaikkan dan kemudian disukat, mereka terkejut mendapati ikan itu adalah sepanjang 8 kaki 9 inci.

"Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya dan tidak mengalah sama sekali," kata Donna.

Yang meletihkan Donna dan rakan-rakannya ialah angin ketika itu bertiup kencang iaitu sehingga 36 knots dan ombak kuat mula membadai bahagian belakang bot.

Dan mereka juga bergelut untuk segera menaikkannya ke atas bot kerana khuatir jerung akan terlebih dahulu membaham ikan tuna tersebut yang sudah pun keletihan dan mengalah.

Pengerusi Persatuan Peraih Ikan United Kingdom, Alistair Blair berkata: 'Nilai jualan borong ikan tuna sirip biru dengan saiz yang ditangkap oleh Donna itu boleh mencecah dari AS$8,300 sehingga AS$16,500 iaitu empat kali ganda nilai ikan tuna biasa.

Nilai runcit pula adalah jauh lebih tinggi iaitu boleh mencapai AS$83,000 atau lebih.

Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya - Donna

Tetapi selepas itu, sebaik sahaja ikan tuna yang dibekukan ini memasuki pasaran lelongan, ia boleh mencecah AS$1 juta untuk spesies tuna sirip biru seberat lebih 200kg kerana ia paling digemari dan menjadi pilihan ramai di Jepun.

Jepun adalah negara pengguna ikan tuna terbesar dunia.

"Ia adalah ikan yang sama nilai dengan lukisan Picasso," kata Blair.

Ikan tuna sirip biru adalah spesies tuna terbesar dunia dan boleh hidup sehingga 40 tahun dan membesar sehingga saiz sebuah lori tiga tan.

Ia boleh menyelam sehingga 4,000 kaki dan antara ikan gergasi yang paling pantas berenang.

Sumber: mstar.com.my

Thursday, April 3, 2014

New BMW X5 dijangka kuasai pasaran SAV

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr Gerhard Pils menunjukkan ruang dalaman kereta BMW X5 pada Majlis Pelancaran kereta tersebut di Avenue K di sini, hari ini. Anggaran harga jualan runcit bagi kereta BMW X5 ialah RM558,800 dan RM598,800. - Foto Bernama

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan generasi ketiga model utamanya dalam segmen Kenderaan Aktiviti Sukan Premium (SAV), BMW X5.
   
Model itu yang ditampilkan dengan dua varian, X5 35i dan X5 30d, dijangka menguasai pasaran SAV di Malaysia tahun ini.
   
BMW X5 telah menjadi penanda aras baharu dalam segmen pasaran SAV dengan prestasi dan kecekapan yang bertambah baik di samping keselesaan lebih tinggi, serba boleh dan menampilkan ciri-ciri kemewahan.
   
"Dengan X5 baharu dan model baharu akan datang yang akan diperkenalkan tahun ini, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan dua angka tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Gerhard Pils hari ini.
   
Bercakap kepada pemberita di pelancaran BMW X5 baharu di sini, hari ini, beliau berkata model itu juga dijangka meningkatkan bahagian pasaran pengeluar Jerman itu sehingga 40 peratus dalam segmen SAV premium.
   
BMW X5 35i menampilkan dua tempat duduk ketiga tambahan, Paparan Di Cermin Depan (HUD), Pakej Gantungan Adaptif, kawalan peredam dinamik, gantungan belakang pneumatik bagi keselesaan yang sempurna.
   
Kedua-dua X5 35i dan X5 30d disediakan dengan pengawal sentuhan i-drive, sistem lampu puncak LED bagi alur tinggi dan rendah dengan pilihan tiga warna berbeza.
   
Model X5 baharu itu boleh ditempah bermula hujung minggu ini di semua wakil pengedar syarikat di seluruh negara.  
   
Anggaran harga runcit di atas jalan tanpa insurans bagi BMW X5 35i ialah RM598,800 manakala X5 30d RM558,800. - Bernama

Insiden Terowong Larkin: JDT Didenda RM30,000


PETALING JAYA:  Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Selepas dua bulan menunggu perbicaraan kes insiden 'Terowong Larkin' ini, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya membuat keputusan berdasarkan isu keselamatan.

Taufek mengumumkan keputusan tersebut selepas hampir sepuluh jam bermesyuarat.
"Setelah panjang lebar hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan.

"Perkara ini memang diakui oleh Setiausaha Agung JDT, Mohd Fahmy Yahya  semasa memberi hujahnya.

"Akibat daripada masalah kelemahan keselamatan , kekurangan selia yang baik jawatankuasa telah mendapati JDT terbabit dengan keadaan itu dan didenda RM30,000 dan  diberi amaran agar peristiwa itu tidak berlaku lagi.

"Dan dengan hukuman itu mereka berhak membuat hukuman kerana maksimum hukuman adalah RM100,000," jelasnya pada sidang media.

Manakala mengenai isu yang dikatakan ada pegawai tertinggi  terlibat dalam kes ini, Taufek menjelaskan ia adalah kes polis kerana terdapat laporan dibuat.

"Dalam kes ini dua pihak terlibat, FAM  dan satu lagi pihak polis.

"Saya difahamkan bahawa ini hasil siasatan pihak polis  dan telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil susulan.

"Dan sekiranya tiada tindakan, kami akan mengambil tindakan kerana FAM ada tempoh  dua tahun untuk berbuat demikian.

"Kita di pihak FAM telah berbincang bahawa setakat ini kes tersebut ditangguh," katanya.

Insiden 'Terowong Larkin' menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan  ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA  1 Februari lalu

Sumber: mstar.com.my

Wednesday, April 2, 2014

'Letak jawatan kalau tidak berani buat keputusan'


MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lepas.
   
Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.
   
"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
   
Ahmad berkata, penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.
   
Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.
   
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.
   
Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.
   
"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.
   
'Insiden terowong' berlaku pada 1 Feb lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.
   
Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.  - Bernama

AirAsia Minta Najib Campur Tangan Selesai Isu KLIA2


PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia pada Rabu meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam menyelesaikan isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan akan mula beroperasi pada 2 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, pihaknya lebih daripada bersedia untuk berpindah ke KLIA2 tetapi perpindahan itu hanya akan dilakukan selepas semua perkara dapat diatasi.

Ini kerana katanya, AirAsia akan menjadi penyewa utama di lapangan terbang yang baharu, menyumbang lebih 80% daripada trafik KLIA2.

"Oleh itu, adalah penting untuk KLIA2 berfungsi sepenuhnya dan operasinya seharusnya berdaya maju dalam jangka panjang.

"Sehubungan itu, saya meminta supaya (perkara ini) adanya penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana campur tangan beliau adalah penting dalam menyelesaikan isu nasional ini. 

"KLIA2 mempunyai potensi untuk menjadi pusat penerbangan global, seperti Dubai. AirAsia, sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di rantau ini boleh dan akan menyumbang dalam menjadikannya kenyataan, dan terus mempertingkatkan industri penerbangan negara secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada Rabu bahawa AirAsia akan terus kekal di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) walaupun selepas 9 Mei, di mana terminal itu akan ditutup bagi memudahkan pembukaan KLIA2.

Aireen berkata, pihaknya mencuba pada tahap yang terbaik untuk menyelesaikan semua isu yang belum selesai dan menekankan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sebagaimana yang dilakukan sejak tiga tahun lalu supaya syarikat penerbangan itu boleh terus berpindah ke lapangan terbang baharu dengan sewajarnya. 

"Ia (laporan media) mungkin menganggap bahawa AirAsia sengaja tidak berpindah ke KLIA2 atau dengan niat untuk menyukarkan keadaan.

"(Namun) ia bukanlah niat kami (sebaliknya) terdapat banyak kebimbangan, terutama pada fungsi dan keselamatan KLIA2 yang mana keutamaan adalah kakitangan syarikat untuk bekerja dengan cekap, dan memastikan penumpang menikmati pengalaman perjalanan yang lancar," katanya.

Menurut Aireen, sebagai pemain hab serantau, AirAsia banyak menyumbang kepada ekonomi negara dengan lalu lintas yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur menerusi rangkaian meluas syarikat penerbangan itu.

"Tahun ini, kami menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya 24 juta penumpang melalui Kuala Lumpur, dan dengan saiz ini yang akan beroperasi, kita perlu memastikan lapangan terbang dapat berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang kemungkinan gangguan yang berlaku.

"Sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, AirAsia perlu diberikan suara kerana kami merupakan pengguna utama KLIA2. AirAsia berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sumber: mstar.com.my