Pages

Thursday, March 20, 2014

MH370 - Petunjuk baru ditemui


SEPANG, 20 Mac (Bernama) -- Misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dipertingkatkan dengan petunjuk baharu yang boleh dipercayai muncul hari ini dengan dua objek dikenal pasti di selatan Lautan Hindi.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun pasukan penyiasat akan melayan semua petunjuk dengan tahap kepentingan yang sama, maklumat terbaru yang dikongsi Australia, di mana dua objek dilihat di laut, merupakan "petunjuk yang boleh dipercayai".


Bagaimanapun, beliau berkata pasukan penyiasat akan bekerja sepanjang malam untuk menyokong dan mengesahkan petunjuk terbaharu bagi pencarian pesawat atau kotak hitam.

"Perkara itu memberikan kita satu harapan. Selagi ada harapan, kami akan meneruskan (operasi mencari dan menyelamat). Sebab itu kenapa saya berkata ia merupakan satu keutamaan untuk mencari pesawat itu dan kemungkinan kotak hitam.


"Tetapi untuk berlaku adil kepada anggota keluarga, kami juga mesti menunjukkan kami tidak pernah berputus asa," katanya dalam persidangan media harian mengenai perkembangan terkini usaha mencari pesawat MAS Beoing 777-200ER yang hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang dalam pesawat.

Perdana menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang mungkin berkaitan dengan kehilangan Penerbangan MAS.

Abbott dipetik sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "bahawa maklumat baharu dan boleh dipercayai diperoleh berhubung misi mencari.. di selatan Lautan Hindi.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Kawasan pencarian diperluaskan meliputi kawasan yang luas di arah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi apabila diketahui bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asal selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.



Usaha itu kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; dan koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment