Pages

Monday, March 3, 2014

Ultras Malaya Melampau - Khairy


PULAU PINANG - 'Mereka sudah melampau'. Itu reaksi yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika ditanya mengenai insiden memalukan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya di Stadium Selayang, kelmarin.

Sambil melahirkan rasa terkilan, Khairy berkata, kejadian membakar mercun dan suar sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina terhenti selama kira-kira lapan minit adalah kesalahan yang sangat serius dan tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau dalam nada tegas memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab yang bukan sahaja mengganggu perlawanan, malah meletakkan keselamatan penyokong lain dalam keadaan terancam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama ini sudah begitu banyak bertoleransi dengan penyokong Ultras Malaya terutama dalam insiden pembakaran suar dan bom asap memandangkan mereka sebelum ini tidak sehingga ke tahap mengganggu perlawanan.

"Tetapi semalam (kelmarin) saya rasa mereka sudah terlebih sangat, jadi kita perlu ambil tindakan tegas. Sebelum ini, kita sudah ada perjanjian dengan penyokong Ultras Malaya supaya tidak menganggu perlawanan, tetapi semalam mereka sudah melampau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 'Wheels For All Global Cycling' dan penyerahan Baucar Buku 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Dalam insiden ketika perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina kelmarin, penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lapan minit.

Insiden memalukan yang berlaku pada minit ke-31 itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap 30 tahun pentadbiran Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Kejadian itu juga disifatkan jurulatih Harimau Malaya sebagai antara punca pasukan negara sekadar seri menentang Filipina kerana para pemain kehilangan fokus meskipun lebih menguasai perlawanan pada minit-minit awal.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan laporan lengkap berhubung kejadian tersebut kepada FAM.

Tambahnya, beliau juga akan meminta FAM berbincang dengan PDRM berhubung kaedah meningkatkan lagi aspek keselamatan sewaktu perlawanan terutama di pintu masuk stadium supaya tidak ada lagi penyokong yang berjaya membawa masuk bunga api, suar atau mercun.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140303/su_02/Ultras-Malaya-melampau---Khairy#ixzz2urHl6da6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sumber Gambar: Facebook

No comments:

Post a Comment