Bangunan Kellies Castle di Batu Gajah menjadi antara produk pelancongan yang kerap dikunjungi jika ke Perak.
IPOH 22 Jan. - Pakej lawatan paranormal pada waktu malam di Kellies Castle, Batu Gajah bakal diperkenalkan bermula Februari ini sebagai tarikan pelancongan pertama seumpamanya di negara ini.
Pengurusnya, Zamari Muhyi berkata, lawatan berkumpulan itu perlu terdiri daripada lapan individu dan mereka akan diletakkan di beberapa lokasi tertentu sekitar bangunan istana lama berkenaan selama 10 minit.
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana setiap pengunjung dipastikan berada dalam keadaan selamat kerana terdapat staf-staf bertugas selain diiringi oleh seorang ustaz.
Mereka yang telah melalui pengalaman tersebut akan diberikan sijil penyertaan, kemeja T serta berpeluang menyaksikan tayangan video," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Setiap peserta akan dikenakan bayaran RM80 seorang dengan tempoh setiap lawatan 30 hingga 40 minit bergantung kepada permintaan.
"Kita tidak menjanjikan anda hantu, tetapi kita menjanjikan anda pengalaman merasai tempat tersebut pada waktu malam.
"Kita dah kenal pasti pengalaman ini boleh dirasai di bilik-bilik seperti pertama bilik Hallen, bilik linen atau bilik dobi dan bilik 'wine' selain serambi atau 'balcony' William Kellie Smith," jelas Zamari.
Menurut beliau, program lawatan paranormal tersebut dihadkan kepada 40 orang yang berusia 17 tahun ke atas pada satu-satu masa.
Sehingga kini kata Zamari, pihaknya telah menerima 30 tempahan selain 60 pelancong asing yang akan melawat istana lama itu pada bulan Jun nanti.
Kellies Castle dikategorikan sebagai antara satu daripada lima lokasi paling seram di Malaysia oleh pengkaji paranormal antarabangsa dan portal pelancongan ekspedisi dari Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, Zamari berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, pihak pengurusannya yang baharu iaitu Syarikat Le Shuttle Event (M) Sdn. Bhd., menyasarkan kunjungan pelancong ke Kellies Castle mencecah 150,000 orang.
Kata beliau, bagi mencapai hasrat itu, pelbagai acara dirancang termasuk pertandingan Big Game sukan paintball, Kejohanan Motocross Antarabangsa Batu Gajah dan Karnival Kaki Kartun (Kakitun).
Kita juga akan menganjurkan bengkel fotografi pelancongan, pertandingan fotografi Kellies - landskap dan praperkahwinan, melukis rali 24 jam Kellies, Bulan Pengantin Kellies dan Kellies Buskers Festival yang juga festival pemuzik jalanan," katanya.
Sumber: utusan.com.my dan peraknews.com
No comments:
Post a Comment