Pages

Thursday, May 15, 2014

Bila Ayu Akan Pulang Dari Nepal? Apa Status Bantuan Kepadanya?


ANAKNYA kini sudah selamat berada di pejabat Kedutaan Malaysia di Nepal bagaimanapun sehingga kini keluarga tidak mengetahui status sebenar urusan untuk membawanya pulang ke Malaysia.

Nur Sri Rahayu Marimon, 24, tiba di Kedutaan Malaysia pada 29 April lepas selepas mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 500km dari Pathari 1 Morang ke Kathmandu selepas keluar dari rumah mertuanya.

Ia berikutan permintaan pihak kedutaan yang memintanya yang dikenali sebagai Ayu datang ke kedutaan jika ingin pulang ke Malaysia dan urusan membawanya pulang dapat diselesaikan dengan segera.

Bagaimanapun sejak hari itu status sebenar keadaan Ayu yang menunggu saat dibawa pulang ke Malaysia masih lagi dipenuhi tanda tanya khususnya dari pihak keluarganya.

Mynewshub.my semalam menemui bapa Ayu, Marimon Ahmad Kasman, 57, untuk mengetahui keadaan sebenarnya proses membawa pulang Ayu yang difahamkan sudah dimulakan beberapa pihak terutamanya dalam urusan pengumpulan dana.

Marimon berkata pada 13 April lepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang Datuk Abdul Shukur Idrus berkunjung ke rumah bagi melihat situasi sebenar masalah yang dihadapinya.

“Pada masa itu, YB beritahu akan mengadakan kutipan tabung dan beliau menghulurkan RM1,000 sebagai permulaan kutipan tabung berkenaan,” kata Marimon kepada Mynewshub.my ketika ditemui di rumahnya di Tasik Kundang, Kuang, Selangor.

Baru-baru ini, pihak kedutaan menghubungi Marimon dan bertanyakan berapa jumlah yang sudah terkumpul untuk dibayar kepada kerajaan Nepal berikutan denda tinggal lebih masa yang terpaksa dibayar oleh wanita itu.

Bingung memikirkannya, Marimon cuba menghubungi pejabat ADUN Kuang untuk mengetahui status tabung yang dikatakan akan dikutip bagi membantu membawa Ayu pulang ke Malaysia tetapi hanya berjaya bercakap dengan kakitangan pejabat sahaja.

Kakitangan berkenaan kemudian berkata akan menghubungi ADUN bagi mendapatkan jawapan.

“Sehingga hari ini, kami tidak tahu menahu mengenai tabung itu melainkan hanya RM1,000 yang diberikan Datuk, itu sahaja, sama ada kutipan sudah mencukupi atau tidak saya tidak tahu.

“Anak saya di Nepal sudah semakin sedih apabila terpaksa tinggal di kedutaaan dalam jangkamasa yang lama,” katanya.

Sementara itu, ibu Ayu, Jaliah Tamin, 52, pula berkata setakat ini jumlah wang terkumpul yang diketahui ialah RM5,000 iaitu hasil kutipan ikhlas di pihak kedutaan dan juga wang sumbangan dari YB ADUN.

“Saya berasa lega apabila mengetahui Ayu sudah selamat di kedutaan dan perut saya seperti kenyang sepanjang hari biarpun tidak makan apabila memikirkan anaknya sudah selamat.

“Cuma kini, saya berharap dapat diberitahu apa status sebenar urusan membawa pulang kerana kedua-dua pihak dilihat seperti bertanyakan antara satu sama lain,” katanya.

Lari Ke Nepal Ikut Suami

Ayu merupakan seorang wanita warga Malaysia yang lari ke Nepal mengikut suaminya yang merupakan warga negara itu selepas kelahiran anak pertamanya di Malaysia.

Ayu dan suaminya berkahwin di Thailand dan kemudian mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama di negara ini.

Kini Ayu sudah dikurniakan dua cahaya mata dengan seorang lagi dilahirkan di Nepal manakala Ayu ditinggalkan suaminya hidup bersendirian kerana dia bekerja di Arab Saudi.

Dia kemudiannya terpaksa menjalani kehidupan susah bekerja memecah batu dan mencari kayu api demi menyara dua anaknya sepanjang berada di sana dan kini dia merayu untuk dibawa pulang ke negara asalnya Malaysia.



Kisah Ayu dan dua anaknya di Nepal mendapat liputan meluas sebuah akhbar terkenal di negara ini yang menerbitkan berita mengenai kisahnya selepas pendedahan Mynewshub.my pada 19 Mac lepas.

Bermula dari kisah kesedihan Ayu ingin pulang ke Malaysia sehinggalah kisah Ayu berjaya tiba di Kedutaan di Kathmandu kesemuanya diterbitkan di dalam akhbar berkenaan. – MYNEWSHUB.MY

No comments:

Post a Comment