Pages

Saturday, March 22, 2014

Keluarga Mangsa MH370 Kat China Macam Over Pulak La…

Dalam rencana ini… penulis bukan hendak kata tidak bersimpati dengan nasib keluarga penumpang warga China dalam insiden MH370.
Cuma, penulis ada sikit rasa macam menyampah la bila diaorng duk ingat kita ni sengaja sembunyikan kapal tu…sengaja sembunyikan fakta… dan macam-macam tanggapan negatif pasal Malaysia.
Lupa kot… kapal yang terlibat itu kapal Malaysia… rakyat Malaysia pun ramai yang terlibat… nama dan maruah Malaysia yang tercalar teruk di mata dunia… bukannya kita dapat untung apa-apa dari kejadian itu.
Takda sebab la kerajaan nak sembunyikan apa-apa melainkan ada benda boleh dikongsi… ada benda tidak boleh.
Sebagai negara berdaulat… Malaysia pun ada hak mempertahankan sesetengah perkara terutama yang berkaitan dengan keselamatan.
Dan apa yang berlaku ini, bukan hanya menjadi debaran dan teka-teki untuk keluarga mangsa di China… keluarga mangsa di Malaysia dan rakyat kita pun melaluinya.
Sikap seperti merempuh masuk bilik media… nak maki-hamun pegawai-pegawai kita…. baling botol air mineral… apa diaorang ingat kita sengaja ke larikan MH370 tu untuk suka-suka?
Sepatutnya kenalah berakal sikit… setakat mana yang kerajaan mampu …kerajaan bagilah tahu dan tolong sampaikan.
Rasanya MAS dah cuba yang terbaik dari hari pertama… tak mungkin MAS akan abaikan keluarga mangsa… begitu juga kerajaan kita…cuma kejadian ini amat misteri…dan tidak sama sekali dijangka atau dirancang.
Puluhan negara dengan ratusan kapal dan anggota sedang menjarah sebahagian besar Lautan Hindi…dah 2 minggu tak jumpa…. kita bukan berpeluk tubuh…kita cuba yang terbaik… keluarga di China cubalah faham… diulangi…MAS atau kerajaan Malaysia bukan sengaja bagi hilang kapal tu…
Benda sudah berlaku… benda ni memang berat… bagilah kerjasama yang berpatutan… hendak marah boleh… tapi bukanlah setiap hari…setiap masa…pantang pegawai Malaysia datang nak maki hamun…
Kekadang waris ni pun mintak maklumat-maklumat yang pegawai Malaysia atau MAS tak ada atau memang diaorang tak boleh nak jawab….
Reaksi balas… maki hamun…baling botol… sakai ke? Bukan pegawai-pegawai tu yang bawak lari MH370… diaorang hanya jalankan tanggungjawab…
Kalau sudah tak jumpa tu… nak buat macam mana?
Ingat Malaysia tak cadang ke nak tamatkan episod luka ni?
Ingat Datuk Seri Hishammuddin takda kerja lain selain bagi sidang akhbar setiap hari…sampai ke peringkat beliau pun macam dah tak tahu nak cakap apa.
Kepada keluarga waris di China… kami faham perasaan anda… kami pun ada terjejas secara langsung dan ramai antara kami yang berkongsi simpati… tapi janganlah over sangat…
Bertimbang rasalah sikit… macam penulis cakap tadilah… bukan kita hendak benda camni terjadi…bukan kita sengaja hilangkan kapal tu… bukan dapat faedah apa-apa pada kejadian itu… namun, bila itu takdirnya… kita harus tabah ok…
Bagilah muka sikit pada kami yang berusaha bersungguh-sungguh seperti mana kerajaan anda juga melakukan yang sama kini.
Oleh: AK-47 (mynewshub.my)

Friday, March 21, 2014

VIDEO: Budak Seberang Sungai Dalam Beg Plastik

Sebuah kampung di Vietnam yang daif dikesan terpaksa menggunakan beg plastik untuk membawa kanak-kanak melintasi sungai yang arusnya sangat deras terutamanya ketika musim banjir.

Kanak-kanak itu biasanya akan dibawa menyeberangi sungai berkenaan di dalam plastik kerana seorang lelaki yang dilihat menjadi tukang pengangkut mereka menyeberang sungai berkenaan.

Sebaik selamat menyeberangi sungai yang dilihat dalam kerana lelaki itu terpaksa berenang kanak-kanak itu akan merangkak keluar dari beg plastik besar itu dalam keadaan kering dan tidak basah.

Cara melintasi sungai yang berbahaya itu bukan sahaja dilakukan kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.

Satu video yang memperlihatkan perbuatan ngeri itu dimuatnaik di laman YouTube pada 16 Mac lepas menunjukkan bagaimana mereka melakukannya untuk melintasi sungai Nam Po yang terletak di timur laut Vietnam.


Perbuatan berkenaan mendapat kritikan dari pihak antarabangsa kerana kanak-kanak yang dibawa di dalam beg plastik berkenaan boleh lemas kerana kekurangan oksigen ketika dibawa berenang melintasi sungai berkenaan. – MYNEWSHUB.MY

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama Dan Ketiga Masih Diteruskan


KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama)-- Pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air di Selangor peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan mengikut jadual sehingga Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menerima arahan atau sebarang keputusan daripada kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata walaupun Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi beroperasi semula sejak 17 dan 19 Mac lepas, namun syarikat itu belum dapat memastikan kestabilan paras ammonianya.

"Ia (paras ammonia) masih di bawah pemantauan operator loji rawatan air dan Syabas juga dimaklumkan bahawa pada masa ini, loji-loji rawatan air itu akan beroperasi mengikut keadaan kualiti sumber air mentah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hujan di beberapa kawasan termasuk di Sungai Selangor sejak beberapa hari lepas telah meningkatkan aliran air sungai di kawasan bekenaan namun pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor tetap pada tahap pengurangan sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH).

Alfred berkata hujan membolehkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang menambah pengeluaran air terawat.

Pelan catuan air peringkat pertama melibatkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang berikutan penutupan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi ekoran pencemaran ammonia.

Pelan catuan air peringkat ketiga pula melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Shah Alam ekoran kekurangan bekalan air terawat.

Sehubungan itu, Syabas meminta pengguna berjimat dalam penggunaan air bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lama. -BERNAMA

Thursday, March 20, 2014

Honda City 2014 Dilancar


Akhirnya Honda City serba baharu yang dinanti-nantikan selamat ‘mendarat’ ke pasaran Malaysia pada hari petang ini. City generasi keempat ini telah pun menerima tempahan sebanyak 1,800 unit dan ia merupakan respons yang cukup positif selepas dipromosikan diperkenalkan dalam satu majlis bersama pihak media bulan lalu.

Mula diperkenalkan di pasaran global 18 tahun yang lalu, sehingga kini hampir 2.2 juta unit Honda City telah dijual di seluruh dunia. Malah untuk pasaran Malaysia sahaja, City turut menjadi pilihan kereta sedan yang begitu popular dan telah pun terjual hampir 145,000 unit. Kejayaan ini secara tidak langsung telah memacu Honda sebagai salah satu jenama kenderaan utama di Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, City serba baharu ini merupakan model pertama Honda yang diperkenalkan di Malaysia buat tahun ini. Ia menawarkan pakej keseluruhan seperti mana yang dikehendaki oleh para pelanggan iaitu menggabungkan penampilan yang premium, keseronokan pemanduan, keselesaan, ruang kabin yang luas dan juga elemen keselamatan yang mendahului kelasnya.



Menawarkan empat varian iaitu City S, City S+, City E dan City V, yang dilengkapi segala keperluan mengikut standard semasa. Ia dijanakan oleh enjin yang telah diberi penambah baikan iaitu 1.5L SOHC I-VTEC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 120 PS pada 6,600 rpm dan puncak tork 145 Nm pada 4,600 rpm.

Turut dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) yang dibangunkan di bawah teknologi Earth Dreams untuk menghasilkan kombinasi prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya mod ECON turut disertakan sebagai elemen standard bagi City serba baharu ini untuk semua varian bagi penambah baikan penggunaan bahan api dengan hanya menekan satu butang sahaja.

Dibangunkan berdasarkan konsep Exciting H Design!! di mana “H” bermaksud tumpuan terhadap manusia (Human Center) yang yang memberikan keutamaan buat pemandu dan penumpang. Bahagian hadapan jentera segmen-B ini menampilkan wajah Exciting H Design!! yang berbentuk solid wing face. Ia tampil dengan jeriji platinum yang turut memberikan imej lebih dinamik pada sedan ini.

Manakala pada bahagian sisinya pula, ciri-ciri aerodinamik jelas kelihatan. Sementara itu, bahagian belakangnya agak lebar dengan gabungan lampu belakang dan tempat meletak plat yang sepadan.

Dengan falsafah “Man Maximum, Machine Minimum” yang diterapkan sebagai tonggak pembangunan kenderaan Honda City baharu ini juga tampil dengan keluasan kabin yang optimum terutamanya pada bahagian belakang. Pastinya memberikan keselesaan yang lebih jitu buat pemandu dan para penumpang. Bukan itu sahaja, ruang kargonya juga menawarkan keluasan sehingga 536 liter iaitu paling luas di dalam kelasnya.


Antara elemen dan kemudahan praktikal diterapkan pada City serba baharu ini ialah butang penghidup enjin dan sistem Kemasukan Pintar (bagi varian E dan V), Kawalan Jelajah (varian V), skrin paparan audio bersaiz tujuh inci dengan fungsi MirrorLink (varian V), lapan pembesar suara (varian V), meter kombinasi pelbagai informasi dan corong penghawa dingin bahagian penumpang belakang (varian E dan V), dua USB Jacks (varian V), tiga soket kuasa (varian E dan V), lapan tempat meletak botol minuman dan kompartmen penyimpanan barang (untuk semua varian).

Selain daripada tu, elemen tambahan yang turut ditawarkan ialah kawalan telefon bebas tangan pada roda stereng (varian S+, E dan V) dan kawalan pengecaman suara pada roda stereng (varian V) yang turut menghubungkan sistem infotainmen kenderaan bagi memudahkan pemandu mengawalnya.




Tidak lengkap dengan itu, Honda turut menitik beratkan aspek keselamatan yang terbaik. Maka ia turut menampilkan enam beg udara (varian V termasuk dua beg udara hadapan SRS, beg udara i-Side dan beg udara Curtain), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) untuk varian E dan V, Bantuan Mendaki Bukit ( varian E dan V), Isyarat Pemberhentian Kecemasan (varian E dan V) dan ISOFIX.

Malah struktur kerangka City baharu ini juga menggunakan teknologi G-CON bagi ketahanan yang lebih jitu. Teknologi ini mampu menyerap impak struktur kerangka, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan terhadap penumpang jika berlaku kemalangan.

Untuk pasaran Malaysia, City serba baharu ini ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Modern Steel Metallic, Alabaster Silver Metallic, Taffeta White, Crystal Black Pearl dan warna baharu yang cukup menarik, Brilliant Sporty Blue Metallic.


Harga atas jalan berserta insurans yang ditawarkan ialah RM75,800 (S), RM78,800 (S+), RM83,800 (E) dan RM90,800 (V). Setiap pembelian akan disertakan dengan waranti selama lima tahun dengan pembatuan tanpa had dan penyelenggaraan berselang seli sehingga 10,000km.

Bukan itu sahaja, City serba baharu ini juga didatangkan dengan dua pakej aksesori iaitu Honda’s Genuine Accessories bernilai RM1,700 dan pakej Modulo berharga RM3,200 untuk membolehkan para pelanggan memberikan kelainan pada City mereka.


City serba baharu ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Honda yang terletak di Melaka. Ops, seperti mana ulasan InfoKereta mengenai City edisi Thailand yang dipandu uji pada awal bulan ini, ternyata material yang digunakan terhadap komponen tempatan pada unit CKD untuk pasaran Malaysia lebih berkualiti tinggi dan diyakini. Pastinya model ini mampu meledak di pasaran kita dan mengulangi sejarah kejayaan model yang terdahulu memandangkan ia memiliki track record yang boleh dikatakan terbaik. Malah Honda Malaysia juga mensasarkan jualan sebanyak 2,500 unit sebulan untuk model ini.

Pada majlis pelancaran ini juga, Ueno turut mengumumkan bahawa Honda Malaysia bakal memperkenalkan varian City hibrid unit CKD yang dijangka bakal diperkenalkan pada suku kedua tahun ini.

Sumber: infokereta.com


MH370 - Petunjuk baru ditemui


SEPANG, 20 Mac (Bernama) -- Misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dipertingkatkan dengan petunjuk baharu yang boleh dipercayai muncul hari ini dengan dua objek dikenal pasti di selatan Lautan Hindi.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun pasukan penyiasat akan melayan semua petunjuk dengan tahap kepentingan yang sama, maklumat terbaru yang dikongsi Australia, di mana dua objek dilihat di laut, merupakan "petunjuk yang boleh dipercayai".


Bagaimanapun, beliau berkata pasukan penyiasat akan bekerja sepanjang malam untuk menyokong dan mengesahkan petunjuk terbaharu bagi pencarian pesawat atau kotak hitam.

"Perkara itu memberikan kita satu harapan. Selagi ada harapan, kami akan meneruskan (operasi mencari dan menyelamat). Sebab itu kenapa saya berkata ia merupakan satu keutamaan untuk mencari pesawat itu dan kemungkinan kotak hitam.


"Tetapi untuk berlaku adil kepada anggota keluarga, kami juga mesti menunjukkan kami tidak pernah berputus asa," katanya dalam persidangan media harian mengenai perkembangan terkini usaha mencari pesawat MAS Beoing 777-200ER yang hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang dalam pesawat.

Perdana menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang mungkin berkaitan dengan kehilangan Penerbangan MAS.

Abbott dipetik sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "bahawa maklumat baharu dan boleh dipercayai diperoleh berhubung misi mencari.. di selatan Lautan Hindi.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Kawasan pencarian diperluaskan meliputi kawasan yang luas di arah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi apabila diketahui bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asal selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.



Usaha itu kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; dan koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. - BERNAMA