Pages

Saturday, February 15, 2014

ASB, ASN Harus - Tegas Majlis Fatwa


KUALA LUMPUR 14-Feb-2104 - Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin menyatakan rasa kesal majlis itu dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan dakwaan bahawa fatwa yang dikeluarkan berhubung pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) tidak mengikut syarak ekoran surat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata, orang ramai perlu faham terdapat perbezaan peranan antara kedua-dua badan itu yang mana Majlis Fatwa Kebangsaan badan pengeluar dan penyelaras hukum-hakam dalam hal ehwal berkaitan agama Islam.

Suruhanjaya Sekuriti pula, katanya, adalah badan yang memutuskan sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak.

Beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan pada 2008 bahawa hukum pelaburan ASB dan ASN adalah harus dan keputusan itu dibuat melihat ruang lingkup luas bagi menjaga kepentingan dan maslahah (faedah) umat Islam serta mengelak kemudaratan yang lebih besar terhadap sosioekonomi umat Islam.

"Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariah dan siasah syariah.

"Berbeza dengan metodologi Suruhanjaya Sekuriti dalam penyenaraian penuh sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaa dan tanda aras nisbah kewangan," katanya.

Katanya, ada pihak yang berceramah di merata tempat mendakwa hukum yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikut syarak kerana berhujah menggunakan maslahah.

"Adalah sangat tidak tepat jika ada pihak tertentu yang mendakwa bahawa hujah bersandarkan maslahah ummah mengetepikan prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak-pihak khususnya penceramah yang membuat dakwaan itu dinasihatkan menghentikan tindakan memprovokasi isu yang melibatkan hukum-hakam termasuk mengenai pelaburan ASB dan ASN.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140215/dn_03/Gesa-tindakan-terhadap-Comango#ixzz2tN9c1XqG
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment