Pages

Saturday, February 15, 2014

Hodak nafi khabar angin sertai Harimau Selatan

KEHADIRAN Bojan Hodak (baju putih) menonton perlawanan Liga Perdana di antara JDT II menentang PBAPP di Stadium Pasir Gudang, malam tadi menimbulkan tanda tanya.

KUALA LUMPUR - Desas-desus mengenai bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak akan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) atau JDT II sebagai jurulatih tidak benar sama sekali apabila dia menafikan perkara tersebut.

Menurut Hodak: "Ramai yang bercakap tentang saya akan melatih pasukan itu dan ini, tetapi semuanya tidak akan berlaku dan merupakan khabar angin yang sentiasa berputar-putar dalam arena bola sepak.

"Tidak ada sebarang tawaran dan keputusan mengenai perkara ini, saya hanya mahu pergi bercuti di Thailand, tetapi tidak jadi kerana ada perkara tertentu yang perlu diselesaikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ini bukan kali pertama Hodak dikaitkan dengan pasukan tertentu selepas meninggalkan Kelantan musim lalu selepas membimbing pasukan tersebut muncul juara Piala FA dan berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum kecundang kepada Pahang 0-1 di Stadium Shah Alam.

Sebaik meninggalkan Kelantan dia dikaitkan akan melatih pasukan T-Team dengan mendapat tawaran yang lumayan. Dia juga pernah dikaitkan menyertai pasukan yang baharu sahaja dinaikkan ke saingan Liga Perdana musim ini, Pulau Pinang.

"Buat masa sekarang saya tidak melatih mana-mana pasukan, saya hanya menaik taraf lesen jurulatih saya, sekarang seperti di zaman belajar dan perlu menghadapi peperiksaan akhir tahun," katanya.

Jurulatih berusia 42 tahun itu mula dikenali peminat bola sepak tempatan sejak melatih UPB-MyTeam dari 2006 hingga 2009, sebelum berhijrah ke Kemboja untuk melatih pasukan Phnom Penh Crown.

Dia juga pernah menjadi pembantu jurulatih dengan kelab China, Shandong Luneng Taishan sebelum kembali ke Malaysia untuk melatih The Red Warriors dari 2012 hingga tahun lepas dengan cemerlang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140215/su_06/Hodak-nafi-khabar-angin-sertai-Harimau-Selatan#ixzz2tNEDvXC3
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment